Friday, June 26, 2009

Tiga sebab pilih Malaysia




ADA sebabnya mengapa beratus-ratus peminat berkumpul di hadapan butik pakaian milik aktor dan penyanyi popular, Edison Chen pada Sabtu lalu. Berkampung dari pagi sehingga menyebabkan kesesakan teruk di sekitar Jalan Telawi 5, Bangsar, mereka mahu menunaikan hasrat untuk melihat bintang pujaan mereka itu pada majlis pembukaan butik Juice KL yang disempurnakan pada pukul 3 petang.

Bukannya Edison tidak pernah datang ke Malaysia sebelum ini. Namun, kemunculannya kali ini lebih dinanti-nantikan kerana ini merupakan kali pertama dia menjejak kaki ke Malaysia sejak tercetus kontroversi foto bogel dan aksi seksnya bersama beberapa aktres terkenal Hong Kong termasuk Gillian Chung dan Cecilia Cheung tersebar luas di Internet.

Maka, ini mengundang ramai pihak untuk tampil dan melihat keadaan Edison yang mendiamkan diri sejak skandal itu berlaku pada Januari 2008. 'Bersembunyi' di Amerika Syarikat selama tempoh 'pelariannya', Edison hanya pernah bercakap secara terbuka mengenai skandal tersebut menerusi program TalkAsia yang bersiaran di saluran berita CNN pada 1 Jun lalu.

Diberi peluang untuk bertemu Edison sebelum majlis pembukaan butiknya, para wartawan terlebih dahulu telah dihalang untuk bertanya sebarang soalan mengenai sejarah hitam itu. Turut dihadiri oleh wartawan dari serata Asia termasuk Hong Kong, sesi pertemuan itu dihadkan kepada 20 minit sahaja.


BANGKIT dari kontroversi yang telah menjejaskan karier seninya, Edison menerokai dunia fesyen dengan jenama CLOT Inc.


Butik Juice KL yang menjual jenama rekaannya, CLOT Inc merupakan pakaian eksklusif yang dikhaskan kepada remaja yang menggemari fesyen terkini. Malaysia bertuah kerana dipilih sebagai salah satu lokasi kedai yang pada masa kini hanya terdapat di Hong Kong.

"Ada tiga sebab mengapa saya memilih Malaysia sebagai lokasi kedai saya. Sebab pertama kerana terdapat ramai penduduk Cina di sini yang akan memakai fesyen saya. Keduanya, saya telah menemui rakan kongsi yang boleh dipercayai di Malaysia iaitu Edwin Choong.

"Sebab ketiga kerana budaya 'jalanan' yang semakin popular di Malaysia. Jadi saya rasa fesyen saya boleh berkembang di sini dengan adanya budaya 'jalanan'. Apa yang penting saya yakin dengan pasaran di sini," kata lelaki berusia 28 tahun itu.

Kelihatan lebih kurus, Edison ditemani ibu bapanya sepanjang majlis pembukaan. Disebabkan kesesakan, sebahagian wartawan hanya diberi kebenaran untuk memasuki butik pada pukul 4 petang. Sementara, kedai itu hanya dibuka kepada orang awam pada pukul 5 petang.

Walaupun tidak dibenarkan masuk, peminatnya tidak mahu berganjak malah asyik menjerit nama Edison di luar kedai. Ia membuktikan skandal gambar seks itu tidak sedikit pun menjejaskan populariti Edison yang membuat keputusan untuk bersara dari industri hiburan Hong Kong pada 21 Februari 2008.


EDISON CHEN mahu melupakan kesilapan yang telah dilakukan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh positif.


"Sebelum ini saya pernah bercakap ingin bersara pada usia 32 tahun. Namun, sekarang nampaknya perancangan itu tidak mungkin berlaku kerana insiden gelap itu. Tapi, rasanya saya boleh bersara pada usia 35 tahun. Cuma saya kena bekerja keras mulai sekarang," tambahnya yang berasal dari Kanada.

Popular menerusi filem Infernal Affairs, Infernal Affairs II dan Initial D, Edison yang boleh bertutur dalam bahasa Jepun turut pernah berlakon dalam filem Jepun, Under the Same Moon. Namun, apa yang penting baginya sekarang bukan lakonan tetapi kerja di belakang tabir.

Pada Februari 2007, Edison telah melabur sebanyak HKD$10 juta (RM4.6 juta) untuk menubuhkan syarikat multimedia, Clot Media Division Limited yang bertujuan untuk menerbitkan filem, iklan serta album.


EDISON (tiga dari kanan) membuktikan populariti dirinya masih mantap apabila kehadirannya kali ini menerima sambutan hangat daripada peminatnya.


"Sekarang saya hanya akan bekerja di belakang tabir sahaja. Membuka kedai di Malaysia bermaksud saya akan lebih kerap melawat Malaysia.

"Mungkin selepas ini saya melakukan banyak aktiviti seperti konsert, promosi budaya jalanan dan pastinya kerja amal," kata pemilik nama Edison Chen Koon-Hei itu.

Turut bekerjasama dengan Nike dan Adidas untuk meluaskan jenama pakaiannya, Edison memberitahu dia mula meminati lukisan sejak kecil tetapi tidak mahir melukis. Minatnya terhadap fesyen pula mula timbul sejak dia menyukai pemain bola keranjang NBA, Michael Jordan.

"Melihat baju-baju yang Michael Jordan pakai, saya mula menyukai fesyen. Namun, semasa saya mula menyertai industri hiburan Hong Kong pada usia 19 tahun, saya tidak dibenarkan untuk meneruskan minat saya terhadap fesyen.

"Kini selepas empat tahun menjalankan penyelidikan dan perancangan, saya akhirnya memiliki jenama sendiri. Ini adalah impian menjadi kenyataan," ujarnya sambil ditemani rakan kongsinya dari Malaysia dan Hong Kong.


EDISON (kanan) mengakui pernah berputus asa.


Ditanya apakah definisi fesyen masyarakat Malaysia, Edison mengambil masa yang lama untuk menjawab soalan itu. Selepas lama berfikir, Edison memberitahu, "Cara pemakaian orang Malaysia lebih menyerupai orang Taiwan.

"Mereka pentingkan fesyen terbaru dan bukan seperti orang Hong Kong. Orang Hong Kong lebih mementingkan jenama dan suka membeli pakaian mahal sahaja."

Mencipta logo pakaian CLOT Inc versi khas untuk pasaran Malaysia, logo itu dicipta dengan warna bendera Malaysia iaitu merah dan biru. Malah, Malaysia bakal memiliki rekaan khas yang tidak boleh diperolehi di negara lain.

"Setiap dua atau tiga bulan, kami akan menawarkan satu rekaan khas untuk pembeli Malaysia sahaja. Kali ini sempena pembukaan butik di Malaysia, kami telah mereka topi khas yang berharga RM199," jelasnya yang masih meluangkan masa untuk menimba ilmu tentang fesyen.


MEWAH. Dekorasi Juice KL di Jalan Telawi 5 memukau pandangan.


Berasa tertekan dan muram terutama semasa skandal foto seks itu mula tersebar, Edison mengakui dia pernah terfikir untuk mengalah. Dia pernah berputus asa. Namun, atas sokongan kawan-kawan rapatnya, Edison membuat keputusan untuk berdiri semula.

"Secara terus-terang, saya pernah berputus asa. Tapi atas sokongan yang diberikan oleh kawan-kawan di sekeliling, saya rasa bersalah untuk mengundurkan diri begitu sahaja. Ini adalah kehidupan yang saya kehendaki. Saya amat gembira sekarang," luahnya yang kini bercinta dengan Vincy Yeung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: