KUNJUNGAN diva popular tanah air ini di gedung fabrik terkemuka Jakel, disambut mesra oleh Pengarah Pemasaran Jakel Kuala Lumpur, Norhana Sharkhan dan dua orang pereka, Rizman Ruzaini dan Amir Luqman.
Sebaik sahaja penyanyi yang kini popular dengan lagu Di Taman Teman itu memasuki aras empat yang menempatkan fabrik mewah, jenama dan eksklusif, kedua-dua pereka terlibat terus mengadakan proses perbincangan.
Sementelah Amir memadankan seleksi fabrik di tubuh Datuk Siti Nurhaliza, pereka Rizman dan Ruzani pula membuka beberapa koleksi majalah yang memaparkan variasi fesyen untuk tatapan anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu.
Itulah antara situasi yang dilihat apabila kedua-dua pereka muda ini berusaha mempamerkan rekaan yang terbaik, bagi menyerlahkan keanggunan dan penampilan Siti sempena konsert eksklusif solo beliau, Satu yang bermula pada malam ini hingga 28 Jun 2009 di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur.
"Konsert kali ini cukup bermakna. Buat pertama kalinya, saya menyanyikan lagu saya sahaja dan menyelitkan elemen teater.
"Penonton bakal dihiburkan dengan seleksi lagu popular ketika di awal kemunculan saya di persada seni sehinggalah lagu-lagu dari album terbaru, Lantera Timur," ujar Siti yang tidak ketinggalan menjalani latihan nyanyian dan tarian serta menitikberatkan soal busana yang bakal digayakan.
Dalam konsert tersebut, Siti Nurhaliza bakal menyarung tujuh busana indah hasil rekaan Rizman, Ruzaini, Amir Luqman dan tidak ketinggalan Michael Ong. Lebih menarik lagi, fabrik busana rekaan Rizaman Ruzaini Creations dan Amir Luqman itu ditaja sepenuhnya oleh Jakel.
Biarpun sibuk mengadakan perbincangan bersama pereka terlibat, Siti tidak menyekat bahkan memberi kebebasan kepada mereka untuk memilih fabrik yang sesuai dengan lakaran rekaan seperti yang dirancang.
Pastinya, para penonton bukan sahaja dibuai dengan kelunakan suara Siti mengalunkan lagu, malah akan terpesona dengan busana beliau yang dihiasi jemeki batu swarovski yang direka khas dengan menggunakan tangan.
Menurut Rizman dari label Rizman Ruzaini Creations, dia memuji tindakan Siti yang tidak pernah memperlekehkan pereka muda sepertinya dan Amir Luqman.
Jika sebelum ini, Rizman dan Ruzaini pernah memasang impian untuk menghasilkan busana konsert Siti maka pada malam ini, impian yang disemat itu menjadi realiti.
"Impian ini timbul selepas menyaksikan konsert Siti Nurhaliza yang berlangsung di Bukit Jalil, pada 1999. Sejak itu, saya berhasrat untuk bekerjasama dengan Siti untuk konsert beliau yang seterusnya.
"Pada konsert ini nanti, penampilan Siti bukan sekadar dibaluti dengan dua helai busana berkonsepkan tradisional dan moden kontemporari. Tetapi, ia turut dihiasi dengan aksesori kepala dan tudung yang bersesuaian dengan imej beliau pada hari ini," tambah Rizman yang banyak bermain dengan rona coklat keemasan dan memilih fabrik sutera sifon Itali, renda bermanik jenama Solstiss, renda Perancis asli dan super crepe.
Dianggarkan fabrik tajaan Jakel itu berharga RM38,OOO.
Sementara itu, pereka berkulit hitam manis, Amir Luqman, tidak ketinggalan menceritakan terujaannya menyiapkan tiga helai busana Siti yang bernilai RM63,000. Menyifatkan Siti merupakan seorang ikon dan penyanyi unggul di Malaysia, Amir telah memilih beberapa jenis fabrik yang sesuai dengan personaliti itu.
Antaranya adalah fabrik renda Perancis jenama Marco Lagatolla, sifon polos Itali, kain kapas asli dan renda bermanik jenama Solstiss tajaan Jakel.
"Saya amat berbesar hati diberi kepercayaan mereka cipta tiga helai busana khas untuk Siti Nurhaliza. Biarpun memiliki pengalaman menghasilkan himpunan busana di bawah label Amir Luqman, tetapi 'pekerjaan' kali ini dirasakan begitu mencabar.
"Sebelum menghasilkan rekaan, saya mencari idea dengan mengenali karakter dan mendengar seleksi lagu Siti yang bakal didendangkan di konsert ini terlebih dahulu," jelas pereka muda, Amir Luqman yang sedang mencipta nama di Malaysia dan Indonesia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: