Bakal terbit album kompilasi mengandungi lagu popular dendangannya pada 9 Julai
PENYANYI yang mula merakamkan EP pada 1969, Zaleha Hamid tidak pernah ‘bersara’ daripada dunia nyanyian. Sehingga kini pun, dia aktif menyanyi di mana saja ada undangan untuknya.
Bahkan pada 9 Julai nanti, sebuah album kompilasi lagu nyanyian artis veteran ini akan dilancarkan di Kuala Lumpur. Memuatkan banyak lagu popular dendangannya, album itu dibuat semula dengan rakaman muzik dan vokal yang baru.
"Insya-Allah, saya sendiri akan hadir dan menyanyikan sebuah lagu pada majlis itu nanti," katanya yang turut berkunjung ke ibu kota setiap kali ada tawaran menyanyi diterima daripada penganjur sebelah sini.
Menurutnya, sesuai dengan usia dan penghijrahannya ketika ini, hanya tawaran yang membabitkan persembahan di luar kelab saja akan diberikan perhatian olehnya.
"Karier nyanyian di kelab berakhir kira-kira 10 tahun lalu, apabila sebuah kelab di Johor Bahru menjadi tempat terakhir saya menyanyi. Selama sebelas tahun saya mencari rezeki di kelab berkenaan. Apabila pemiliknya meninggal dunia, karier nyanyian saya di kelab juga berkubur. Kini, biarlah saya mencari rezeki dengan cara lebih afdal," katanya ketika ditemui di majlis bacaan Yasin dan tahlil bagi memperingati tokoh seni negara dan menghargai sumbangan serta jasa bakti mereka dalam memartabatkan kesenian dan kebudayaan negara diadakan pada 29 Mei lalu di Kompleks Finas Hulu Klang.
Dianjurkan Arkib Negara di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, majlis sempena Hari Seniman Kebangsaan ini dihadiri kira-kira 300 tetamu, termasuk Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais; Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Kamaruddin Siaraf dan Senator Tan Sri Jins Shamsudin.
Sempena majlis terbabit juga, acara penyampaian Skim Belaan Artis dan karyawan seni turut diadakan. Seramai 20 penggiat seni menerima bantuan pada malam itu, yang disampaikan sendiri oleh Dr Rais. Antara penerimanya ialah penyanyi dangdut terkemuka era 70-an dan 80-an, Zaleha Hamid.
Penyanyi veteran berkenaan menerima sumbangan RM5,000, yang membolehkannya menampung pembiayaan rawatan penyakit batu karang dalam hempedu yang dihidapinya sejak sekian lama.
Februari lalu, Zaleha yang sudah lebih 40 tahun menceburkan diri dalam dunia seni menjalani pembedahan membuang batu karang di Hospital Kuala Lumpur, yang seterusnya memaksa doktor turut mengeluarkan hempedu daripada badannya apabila organ itu rosak.
"Sebenarnya, penyakit ini sudah saya hidap sejak tahun 80-an lagi. Cuma pada tahun lalu, kesannya cukup terasa yang memaksa doktor melakukan pembedahan. Daripada tiga batu yang ditemui, dua daripadanya melekat pada hempedu. Kini, tanpa hempedu, saya tidak boleh makan makanan berlemak dan benda yang keras," katanya.
Begitupun, Zaleha yang cukup popular dengan lagu Dangdut Reggae bersyukur apabila pembedahan itu berjaya dilakukan dan dia sendiri kini berada dalam keadaan lebih baik.
"Satu ketika dulu, ada masanya apabila penyakit menyerang, saya tidak boleh berdiri dan berjalan tanpa bantuan orang lain. Apabila ada panggilan yang menawarkan saya peluang menyanyi pula, saya terpaksa memberikan alasan sudah terikat dengan persembahan atau agenda lain. Takkan saya hendak beritahu saya sedang sakit?" dedah Zaleha.
Menerusi nyanyian jugalah, penyanyi yang bakal mencecah usia 54 tahun tidak lama lagi ini membesarkan dua anaknya, Ungku Chik Ungku Sulaiman, 22, dan Ungku Nor Mohammad Danial, 12.
Antara lagu yang pernah dinyanyikan Zaleha sepanjang kariernya ialah Gadis Zaman Sekarang, Inang Di Aidil Fitri, Jangan Tenung Tenung, Joget Hari Raya, Joget Lama Tak Jumpa, Kerana Budi, Semurni Kasihmu Sesuci Kasihku, Bertemasya, Jangan Bang Suka Berjanji, Jikalau Abang Merindu dan Mahameru.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: