Mana Setangginya temui khalayak teater pada 13 Jun
SATU dekad yang lalu, karya Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan atau dipanggil Cikgu Noordin, Mana Setangginya dikatakan pernah ditolak untuk dipentaskan di Panggung Negara (kini Istana Budaya).
Sebenarnya karya ala Lord of The Rings Melayu itu bukanlah ditolak seperti mana yang diketahui umum tetapi sengaja ditarik kembali kerana Cikgu Noordin mengerti tidak semua pengarah mampu mentafsirkan karyanya seperti yang diinginkan.
Ditambah dengan kelengkapan teknologi yang canggih di IB pada masa itu membuatkan beliau tidak meyakini anak tempatan mampu mengeksploitasi kemudahan teknikal ketika itu.
Menurut Cikgu Noordin, tidak sedikitpun perasaan kecewa lahir dalam dirinya apabila Mana Setangginya gagal menjadi pementasan pertama di IB pada masa itu.
“Saya tidak kecewa malah saya sendiri yang menarik karya itu agar tidak dipentaskan pada masa itu. Ramai yang menganggap karya saya itu ditolak oleh pihak atasan agar tidak dipentaskan.
“Saya sebenarnya kurang senang dengan beberapa cadangan yang ingin mengubah terlalu banyak karya saya sehingga lari daripada apa yang ingin saya sampaikan dan tidak yakini ada pengarah yang boleh mentafsir apa yang ingin saya paparkan dalam karya itu, bimbang disalah mengertikan.
“Walaupun karya itu sudah berusia satu dekad tetapi ia sebenarnya masih relevan untuk dipaparkan kepada generasi masa kini memandangkan isu itu tidak akan ada penghujungnya,” katanya yang ditemui baru-baru ini.
Dalam usia mencecah 80 tahun itu, Cikgu Noordin yang dilihat semakin uzur kerana mengidap radang paru-paru dan serangan jantung, tetap berusaha mengerahkan kudratnya untuk menerima undangan IB mengaturkan perjumpaan dengan pihak media.
Menurutnya, sepanjang usia banyak dihabiskan dengan menghasilkan pelbagai karya baik dalam bentuk drama mahupun teater. Setiap karya yang dihasilkan bukanlah sengaja untuk disajikan sebagai bahan hiburan semata-mata.
Siapa yang pernah menganalisis karya beliau mungkin mengerti apakah perjuangan yang ingin disampaikan pada setiap karyanya kerana menyelitkan banyak natijah yang mengajak kita berfikir.
Menyentuh mengenai karya Mana Setangginya yang dihasilkan pada tahun 1999, Cikgu Noordin tidak kedekut untuk menceritakan macam mana idea itu diperolehnya.
“Setiap karya yang ditulis sebenarnya berkaitannya dengan peristiwa yang sedang berlaku di negara kita termasuklah Mana Setangginya, yang saya hasilkan 10 tahun lalu.
“Sebenarnya idea itu sudah bermain di dalam kotak fikiran saya sejak sekian lama sekitar tahun 1969 lagi. Saya rasa tergerak untuk menulis skrip Mana Setangginya selepas menghadiri suatu majlis yang dihadiri ramai golongan elit Melayu.
“Apa yang membuatkan saya tertarik pada majlis itu adalah satu insiden di mana salah seorang daripada golongan elit itu ketika memberikan ucapan. Malangnya, ucapan yang dibaca itu sebenarnya sudah diketahui umum lebih-lebih lagi tetamu yang hadir pada majlis itu kerana ucapan itu pernah diterbitkan di dalam surat khabar.
“Teman saya berkata, sebenarnya orang Melayulah yang merosakkan bangsanya sendiri. Saya fikir ia ada betulnya, di mana senario itulah yang sedang berlaku pada hari ini.
“Saya menulis kesemua karya sebegitu bukannya mahu menunjukkan kelemahan orang Melayu, tetapi ia sebagai suatu peringatan supaya mereka lebih sedar akan kealpaan mereka selama ini,” katanya yang berusaha menitip rasa kesedaran bangsa Melayu menerusi karyanya.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu masyarakat memandang serong terhadapnya apabila menghayati atau mentafsir karyanya.
Menurut Cikgu Noordin, beliau pernah menulis drama bertajuk Bila Lalang Ditiup Angin sewaktu sedang mengajar di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak pada tahun 1969.
“Ia ditulis berdasarkan tragedi 13 Mei iaitu rusuhan kaum yang terburuk di negara ini. Tetapi itu tidak bermakna saya ini seorang penulis yang membawa sentimen perkauman.
“Bagi saya, semua orang sama saja tidak kira apa juga bangsa dan agama. Cuma yang membezakannya adalah sama ada orang itu baik atau sebaliknya.
“Tetapi selepas 40 tahun lebih, saya dapati apa yang saya cuba paparkan dalam karya saya itu memang benar-benar berlaku hari ini. Malah, ia lebih dahsyat lagi,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: