Saturday, June 27, 2009

Strategi Awie tidak menjadi?

MALAM Ahad lalu, berakhirlah pusingan suku akhir rancangan realiti Mentor 3, kumpulan B.Dalam mencari dua peserta yang bakal mengikut jejak langkah Fira dan Chaq ke peringkat separuh akhir, Keena terpaksa angkat kaki apabila diumumkan sebagai peserta yang tersingkir.

Kekecewaan jelas terpancar di wajah pemilik nama sebenar Suriana Abdul Wahab itu.

Gagal melayakkan diri ke peringkat seterusnya, kata Keena, kekecewaannya bertambah apabila dia gagal membuktikan kemampuan sebenarnya kepada mentornya, Awie.

Lambat melakukan perubahan drastik terhadap persembahan, apatah lagi mencuri hati peminat yang juga penonton setia rancangan itu, dilihat antara faktor utama Keena gagal menyerlah.

Ketika ditemui sejurus selesai siaran langsung konsert mingguan Mentor 3 malam Ahad lalu, Awie memberitahu, dia mempunyai perancangan dan strategi berperingkat dalam membentuk persembahan anak didiknya itu.

“Dalam perancangan, kami mahu melihat persembahan yang menampakkan peningkatan peringkat demi peringkat dan mungkin pada peringkat akhir kami mahu buat persembahan yang gempak.

“Bagaimanapun, saya tidak sangka boleh jadi begini sebab apa yang saya lihat, Keena berkemampuan membawa lagu-lagu yang berbagai irama. Memang ada sedikit kelemahan bagaimanapun kelemahan itu masih boleh diperbaiki.

“Dalam pembelajaran, bukan apabila hari ini belajar maka terus boleh jadi pandai. Pada hari ini dan semalam (Sabtu dan Ahad lalu), saya nampak persembahannya ketika latihan begitu meyakinkan. Cuma pada malam ini mungkin ada sedikit kesilapan di mana-mana,” kata Awie.

Dari segi pemarkahan, menurut Awie, ia terpulang kepada pihak juri untuk menilai kemampuan anak didiknya itu.

Malah katanya, sebagai seorang yang mempunyai pengalaman dalam seni dia menerima segala komen yang diberikan sebaiknya.

“Kebaikan yang Keena dapat mungkin sebahagiannya pergi kepada saya. Kalau tidak, saya rasa seperti tidak bekerja. Bagaimanapun harapan saya agar masyarakat di luar sana dapat menerima Keena.

“Kecewa memang ada tetapi inilah kehendak orang ramai. Kalau dari segi khidmat pesanan ringkas (SMS), kita memang tidak meminta-minta sebab hanya peminat yang berhak memilih. Lagipun kita tidak memaksa sesiapa menyukai ataupun membenci Keena.

“Bagi saya, mereka melihat daripada sudut apa yang mereka nampak dan ia terpulang kepada hak individu itu sendiri.

“Mengisytiharkan Keena kalah untuk persembahan tiga minit saya rasa itu tidak adil. Pada saya, dia kalah bermaruah. Kalau dia sampai ke peringkat akhir saya rasa dia boleh buktikan kemampuannya,” kata Awie lagi.

Bukan sahaja gagal menarik perhatian penonton, tetapi berdasarkan komen daripada juri profesional yang mengadili pertandingan pada minggu itu, Helen Yap dan Liza Hanim, pemilihan lagu yang dipilih oleh Keena pada malam tersebut gagal membawa impak yang sesuai dengan nada suaranya yang serak-serak basah.

Mengakui kecewa kerana usaha kerasnya berlatih siang dan malam untuk pertandingan itu gagal membuka peluang yang lebih cerah buat dirinya, menurut Keena kekecewaannya lebih dirasai kerana telah menghampakan harapan mentornya itu.

Bercerita tentang pemilihan lagu tradisional, Dia Datang, berduet dengan Datuk M. Daud Kilau bagi Awie memberi pendedahan kepada Keena kerana untuk menjadi penyanyi yang baik, lagu yang dianggap sebagai khazanah seni juga perlu diberi perhatian.

“Saya rasa dia dah buktikan yang dia punya sesuatu untuk dikongsikan. Tersingkir tidak semestinya kalah. Insya-Allah, pasti ada rezeki di mana-mana,” kata Awie menenangkan anak didiknya yang sebak di sisinya.

Mengulas mengenai penyingkiran itu, Keena mengakui, dapat merasakan yang dia bakal tersingkir pada malam tersebut.

Malah katanya, berdasarkan markah terkumpul dua minggu sebelum itu, ternyata dia menduduki tempat tercorot berbanding Black dan Thye.

“Memang saya kecewa sebab saya bekerja keras. Tambah kecewa apabila saya gagal penuhi harapan abang Awie.

“Saya menangis sebab nanti saya dah tidak boleh nak belajar lagi dengan abang Awie,” ringkas kata Keena sambil mengesat air matanya.

Baginya, pengalaman berlatih dengan mentornya yang cukup berpengetahuan dalam bidang seni itu membuka peluang untuknya mengumpul seberapa banyak ilmu dan pengetahuan yang diberikan.

“Saya suka cara pengajaran yang diberikan oleh abang Awie. Selalunya, kalau berjumpa orang, mereka akan tanya sama ada Awie garang atau tidak. Bagi saya, dia (Awie) nampak garang tetapi best,” kata Keena.

Pada malam tersebut, Black memperoleh markah terkumpul sebanyak 225.9 peratus diikuti Thye dengan 170.2 peratus manakala Keena ditempat tercorot dengan 149.9 peratus markah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: