Saturday, June 27, 2009

Aguilera berlakon akhirnya


CHRISTINA AGUILERA


AKHIRNYA penyanyi bersuara mantap, Christina Aguilera menceburkan diri dalam bidang lakonan setelah sedekad menjadi seorang penyanyi.

Sebelum ini, Aguilera pernah mengumumkan dia belum bersedia untuk bergelar pelakon biarpun rakan seperjuangannya, Britney Spears mengorak langkah berbuat demikian menerusi filem Crossroads pada tahun 2002.

Alasan Aguilera ialah dia mahu memberi tumpuan terhadap karier nyanyian serta mengukuhkan namanya terlebih dahulu sebagai penyanyi.

Jika hendak berlakon sekalipun, Aguilera menegaskan, dia amat mementingkan kualiti skrip yang bersesuaian dengan dirinya.

Filem sulung Aguilera yang berjudul Burlesque bakal menjalani penggambaran tidak lama lagi.

Apa yang menariknya, pemenang Grammy itu bakal bergandingan dengan bintang terkenal, Cher.

Burlesque merupakan sebuah filem muzikal kontemporari yang juga bakal menyaksikan kemunculan semula Cher di layar perak selepas kali terakhir muncul menerusi filem Stuck On You pada tahun 2003.

Filem ini mengisahkan seorang remaja wanita dari Iowa, Amerika Syarikat (lakonan Aguilera) yang bercita-cita mahu menjadi penyanyi bersandarkan kepada bakat dan suaranya yang cukup hebat.

Cher pula memegang watak sebagai pemilik sebuah kelab tarian yang pernah mengecapi populariti dan kemewahan sebagai seorang penari tersohor di zaman kegemilangannya.

Penggambaran hanya akan dimulakan sebaik sahaja Aguilera menyiapkan rakaman album terbarunya yang dijangka berada di pasaran sebelum penghujung tahun ini.

Cher yang juga seorang penyanyi pula pernah menerima Oscar untuk kategori Aktres Terbaik menerusi filem Moonstruck pada tahun 1988.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: