PESTA Malam Indonesia (PMI) memasuki musim ketiga penganjurannya dengan menampilkan band-band ternama Indonesia iaitu Padi, Andra & The Backbone, Sheila On 7 (SO7), Gigi serta Dewa.
Berlangsung hujung minggu lalu di perkarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur turut ditampilkan adalah Lucky Laki yang dianggotai Al, El dan Dul yang juga putera kepada Ahmad Dhani daripada kumpulan Dewa.
Memulakan acara seawal pukul 3 petang, PMI 3 memberi penghormatan kepada band tempatan iaitu Jinbara dan Aku bagi persembahan pembukaan.
Bagi band Indonesia, Padi yang muncul selepas Jinbara mula menaikkan lagi momentum pesta dengan mendendangkan 11 buah lagu.
Lagu-lagu tersebut adalah Sang Penghibur, Mahadewi, Sesuatu Yang Indah, Semua Tak Sama, Jangan Datang Malam Ini, Kasih Tak Sampai, Harmony, Indonesia Pusaka, Terluka, Menanti Sebuah Jawaban dan Sobat.
Bagaimanapun, biar namanya agak popular di negara ini, kehadiran Andra & the Backbone di pentas PMI 3 sedikit mengecewakan.
Ini kerana lagu-lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan itu agak asing didengari melainkan hanya sebuah lagu berjudul Sempurna.
Berehat seketika bagi memberi laluan kepada waktu solat Maghrib, SO7 kembali menghangatkan suasana dengan lagu-lagunya yang segar.
Membawa 10 buah lagu antaranya Kita, Seberapa Pantas, Sahabat Sejati, Bila Kau Tak Disampingku dan Melompat Lebih Tinggi, ia seakan mempopularkan kembali SO7 yang sebelum ini agak merundum namanya di negara ini.
Bagaimanapun, keasyikan menyaksikan persembahan SO7 agak terganggu dengan satu insiden pergaduhan kecil antara penonton.
Sementara itu, dikenali dengan lagu-lagu seperti Perdamaian dan 11 Januari, Gigi kemudiannya mengambil alih tempat SO7 yang mengakhiri persembahan mereka melalui lagu berjudul Betapa.
Bukan sekadar terpacak di atas pentas mendendangkan lagu-lagu hangatnya, Gigi menerusi vokalisnya Armand Maulana tidak lupa menyelitkan sedikit mesej yang punyai makna cukup besar khususnya membabitkan hubungan dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia.
“Ini adalah malam persaudaraan Malaysia dan Indonesia. Jangan gaduh-gaduh. Dengan muzik, kita selalu pesan agar hidup dengan aman,’’ jelasnya yang menggunakan loghat Melayu.
Sebelum menutup tirai dengan persembahan kumpulan Dewa, tiga putera Ahmad Dhani terlebih dahulu berada di atas pentas mendendangkan lagu Munajat Cinta serta Bukan Superman.
Walaupun masih kanak-kanak, keupayaan mereka menyanyi di samping bermain alat muzik amat dikagumi oleh hampir 10,000 penonton yang berhimpun menyaksikan pesta berkenaan.
Pangeran Cinta, Separuh Nafas, Pupus, Dewi, Mati Aku Mati, Sedang Ingin Bercinta, Perempuan Paling Cantik Di Indonesia dan Arjuna pula merupakan lagu-lagu pertaruhan Dewa yang hadir selaku penutup PMI 3.
Pesta Malam Indonesia 3 anjuran Fatboys Record Sdn. Bhd. dan ditaja Telekom Malaysia Berhad (TM) bertambah manis untuk dikenang oleh dua penonton yang memenangi cabutan bertuah berupa gitar elektrik yang mempunyai tandatangan vokalis serta anggota band-band terlibat.
SO7 masih wujud
Dalam pada itu, SO7 yang ditemui media sejurus selepas tamat konsert tidak berhenti melahirkan rasa terima kasih kepada penganjur kerana mengundang mereka ke PMI 3.
Jelas Duta selaku vokalis, meskipun kehangatan munculnya SO7 agak berbeza daripada dahulu, SO7 baginya tetap bersyukur kerana masih mendapat perhatian untuk diterbangkan ke sini menjayakan pesta terbabit.
“SO7 masih ada. Jun ini genap setahun album kami berjudul Menentukan Arah telah dipasarkan di Indonesia.
“Sememangnya kami cukup terharu dan teruja untuk datang ke Malaysia melalui PMI 3,’’ katanya.
Menurut Duta, walaupun di Indonesia muncul band-band baru yang makin memuncak popularitinya, SO7 tidak perlu gentar dengan situasi tersebut.
Apa yang penting bagi SO7, ujarnya, adalah sentiasa aktif dan produktif dalam menghasilkan lagu-lagu baru.
Album ke-17 dan buku biografi Gigi
Bagi Gigi pula, 15 tahun bertapak dalam dunia seni, kumpulan itu baru sahaja muncul dengan album ke-17 pada Mac lalu.
Menariknya, kehadiran album berjudul Gigi itu turut disertakan dengan pelancaran sebuah buku biografi yang memuatkan kisah perjalanan Gigi setebal 400 muka surat.
Jelas Armand, buku yang sepenuhnya berwarna dan album berkenaan bakal dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi.
“Kalau sesiapa yang mahukan info mengenai buku serta album itu, mereka boleh melayari laman web Gigi di www.gigionline.com,’’ katanya.
Mengenai PMI 3 pula, ujarnya, meskipun dia dan beberapa anggota Gigi agak kurang sihat, semuanya itu diketepikan bagi memberi kepuasan kepada penonton.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: