Tuesday, June 9, 2009

Soseh Soseh: Terbantut tonton Anak Wayang


SS gembira apabila melihat ada pihak bersungguh-sungguh untuk memartabatkan dunia lakonan tempatan dengan menerbitkan program realiti memperkayakan barisan pelakon pelapis pada masa akan datang.

Bercerita mengenai rancangan realiti, SS teringat program terbaru Astro, Anak Wayang. Sabtu lepas, SS berkesempatan menonton program realiti terbaru Astro itu.

SS suka konsep serta pembaharuan yang dibuat Astro bagi melahirkan lebih ramai generasi pelakon baru untuk mewarnai lagi pentas seni lakonan tempatan. Justeru, SS fikir dengan adanya program sebegini, tidaklah bosan melihat pelakon sama saja untuk setiap drama mahupun filem.

Bagaimanapun, keseronokan menonton program realiti Anak Wayang terbantut apabila melihat gaya pengacaraan Rusdi Ramli. SS tengok, perjalanan program sudah menepati kriteria tetapi Rusdi pula dilihat merosakkan kelancaran Anak Wayang.

Ini kerana, Rusdi kelihatan kelam-kabut serta kerap tersasul ketika mengacarakan program realiti itu dan ini membuatkan SS bosan menonton. SS faham, ini adalah kali pertama Rusdi diberi peluang untuk mengacarakan program TV.

Tetapi, apabila melihat caranya mengendalikan Anak Wayang, nampak Rusdi tidak bersedia menghadapi tugas itu. Mungkin gugup, namun SS fikir Rusdi sudah lama dalam dunia lakonan tempatan justeru sedikit sebanyak akan membantunya menghadapi senario berkenaan.

SS hairan kenapa pihak Astro tidak mengutamakan kriteria pengacara dipilih kerana ia juga memainkan peranan penting dalam menghidupkan suasana menonton. Apatah lagi, program realiti itu adalah julung kalinya di negara ini.

SS tidak bermaksud mengutuk Rusdi kerana jauh di sudut hati, SS harapkan ada pembaharuan yang akan ditampilkannya nanti. SS faham, bukan semua yang membabitkan diri dalam sesuatu bidang, terus jadi pandai. Kalau semua terus jadi pandai, maju dan amanlah dunia ini.

Apa yang SS katakan ini adalah teguran ala nasihat ikhlas kepada Rusdi. SS yakin Rusdi akan berusaha memperbaiki kesilapan itu. Lagipun, setiap orang mempunyai kelemahan namun diatasi dengan sentiasa berusaha ke arah kebaikan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: