Friday, June 26, 2009

Semakin seronok jadi pelakon...Nurul


Nurul Huda Abdul Wahab

Nurul Huda anggap diri bertuah dapat berlakon dalam produksi MIG milik David Teo

ADA sebab mengapa penyanyi Nurul Huda Abdul Wahab begitu beriya-iya menerima undangan berlakon drama 20 episod E-Toyol.com yang sudah pun bersiaran sejak 16 Jun lalu.

Drama yang menghiasi slot Lagenda di TV3 dan TV9 itu adalah hasil buah tangan pengarah baru, Abdul Azizi Awang Ghazali dan diterbitkan MIG Beats Sdn Bhd, syarikat milik penerbit terkenal, David Teo.

Kata wanita berstatus ibu tunggal itu, dia sudah lama memasang angan untuk bekerja di bawah produksi MIG, namun peluang itu hanya datang pada tahun ini. Malahan, E-Toyol.com adalah drama lakonannya yang pertama pada 2009.

Tahun lalu, Nurul sempat memboloskan diri mengisi masa senggang untuk berlakon drama Rahsia Hati yang sedang disiarkan di Astro Prima ketika ini.

"Nurul sudah kenal lama dengan David Teo dan isterinya, Jane Lim dan kerana itu juga saya teringin sangat bekerja di bawah syarikat mereka. Nurul juga selalu mendengar cerita mengenai betapa profesionalnya syarikat itu menguruskan pelakon dan produksi.

"Dipendekkan cerita, Jane menghubungi Nurul dan dalam satu pertemuan di dalam mesyuarat yang diadakan, Nurul ditawarkan berlakon drama ini. Lucunya, tanpa bercakap banyak, kontrak terus diberikan kepada Nurul. MIG juga suka membuka peluang dan inilah masanya untuk saya menimba pengalaman di tempat yang sebetulnya.

"MIG juga sangat profesional dan soal pertindihan jadual juga dapat diatasi dengan baik kerana kami selalu berunding. Watak saya sebagai Mazlin dalam drama ini sangat ringkas, kelakar dan saya boleh membawakan watak itu sebaik mungkin," katanya yang ditemui Hip ketika sesi penggambaran drama terbabit dilakukan di sebuah restoran di Ukay Perdana, Hulu Klang baru-baru ini.

Menurut Nurul, dia tidak betah duduk diam dan membiarkan masa lapang dibiarkan begitu saja. Setidak-tidaknya ibu kepada Ayu Nazirah ini ada dua bidang yang boleh diberi perhatian iaitu berlakon dan menyanyi. Bagaimanapun, Nurul mengakui keutamaan masih lagi dalam bidang nyanyian yang mula memperkenalkan namanya di persada seni.

Apatah lagi, album solo terbarunya di bawah label syarikat Metadome yang turut disertai Liyana Jasmay, The Fabulous Cats dan Imran Ijmain bakal menerjah pasaranbulan depan. Album yang sudah siap sepenuhnya itu memuatkan tujuh buah lagu termasuk dua lagu bonus, Tangis Syukur dan Bukan Cermin Di Hati.

"Lagu Tika Cinta berkonsepkan Pop Jepun dipilih sebagai single pertama. Lagu lain yang turut dimuatkan di dalam album itu ialah Sepenuh Jiwa, Kala Hati, Jadikan Aku Bintang dan Tertutup Hati. Semua lagu yang termuat cukup sesuai dengan jiwa Nurul. Tak dinafikan Metadome tahu apa yang dikehendaki Nurul dan menepati selera pendengar muzik masa kini," katanya penuh semangat.

Kehidupannya kini cukup indah dikenang biarpun memegang status 'Miss J'. Terpancar riak kegembiraan di wajah hitam manisnya dan setiap cabaran serta dugaan dilalui dengan sebaik mungkin. Tekanan hidup diharunginya dengan penuh istiqamah. Cabaran dan pengalaman lalu yang terus mematangkan dirinya.

Disoal mengenai pengganti yang mengisi kekosongan hatinya selepas berpisah dengan bekas suami, Ajai, penyanyi yang popular dengan lagu Kerana Terluka itu secara berlapik tidak mahu terlalu mendedahkan kisah peribadinya.

"Kehidupan Nurul kini Alhamdulillah semuanya berjalan seperti seadanya. Bab pengganti yang perlu diganti itu, tiba masa yang sesuai, Nurul pasti akan umumkan. Lagipun, Nurul bakal muncul dengan album baru dan tidak mahu isu peribadi itu yang terlalu diperkatakan," katanya sambil tersenyum menunjukkan deretan gigi tersusun cantik.

Beralih cerita mengenai bekas suami yang khabarnya bakal menamatkan zaman duda tidak lama lagi, Nurul gembira dengan perkhabaran itu. Ajai dikatakan akan berkahwin dengan orang industri, Liza Ilias sebelum Ramadan ini. Malahan Liza kini turut bekerja di syarikat Ajai, Wake The Baby selepas tempat kerja lamanya, Maestro gulung tikar. Tambah Nurul lagi, dia tidak menolak untuk sama-sama meraikan hari bahagia Ajai itu jika dijemput.

"Sudah tentu Nurul akan pergi majlis kahwin mereka kalau berkesempatan kerana apa terjadi Nurul masih pentingkan dasar profesionalisme. Lagipun, Liza pernah jadi kawan dan bekerja dengan Nurul. Apa terjadi di antara Nurul dan Ajai bukan isu yang perlu diperbesarkan. Sudah jodoh mereka.

"Nurul masih hargai apa yang dilakukan Liza, malah, dia pun rapat dengan anak kami. Nurul pun tiada masalah dengan Ajai dalam soal penjagaan anak. Seboleh-bolehnya Nurul tidak mahu Ayu (anak) berasa kekurangan di atas perpisahan kami. Ayu pun sudah jadi anak dara dan dia boleh sesuaikan keadaan," katanya.

Mencari rezeki tanpa ada insan bernama suami, mahu atau tidak, Nurul perlu terus tegar berjuang tanpa menoleh ke belakang. Kata Nurul, wanita zaman sekarang terutamanya yang bergelar ibu tunggal perlu ada kerjaya supaya dapat menjana duit sendiri. Nurul juga sedang merancang pelbagai perkara dalam usaha memantapkan kerjaya seninya. Dunia seni katanya ibarat seperti percaturan dalam dunia perniagaan.

"Apa juga yang dilakukan, Nurul harus bekerja lebih supaya dapat menjamin masa depan yang terjamin. Di dalam kepala otak ini, macam-macam rangka perancangan yang nak dilaksanakan, cuma yang menjadi persoalan ialah untuk mencari pihak yang mampu merealisasikannya.

"Nurul pun seperti artis yang lain mahu melangkah jauh melangkaui Malaysia. Tipulah kalau Nurul tak mahu mencuba pasaran luar, tapi Nurul tak boleh mensasarkan ke mana negara yang mahu ditujui. Kalau ada rezeki di Indonesia, United Kingdom mahupun Amerika Syarikat, itu satu bonus dan peluang berharga," katanya.

INFO: Filem Zaiton Sameon

  • Jika jadi seperti dirancang, Nurul bakal memegang watak Zaiton Sameon di dalam filem terbitan Les'Copaque Production Sdn Bhd itu. Filem itu adalah filem keduanya selepas Sate dan tawaran itu diterima Nurul sejak Januari lalu.

  • Bagaimanapun setakat ini, Nurul belum menerima skrip dan sepatutnya Julai depan penggambaran dijadualkan bermula. Namun atas beberapa masalah teknikal yang dihadapi, ia masih tergendala buat seketika.

  • Susuk tubuh Nurul yang semakin mengecil turut disebabkan oleh tuntutan watak terbabit di samping kesibukan bekerja.

  • Kata Nurul, secara dasarnya filem ini akan memberi pengajaran dan menyelongkar kehidupan Zaiton Sameon yang terselindung selama ini. Ketika penyanyi yang popular dengan lagu Menaruh Harapan itu mengecapi kegemilangan, Nurul masih bersekolah rendah.

  • Besar kemungkinan akan meluangkan masa dengan Zaiton Sameon itu terus menghidupkan watak itu.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: