Nita tidak mahu mendesak, terpulang kepada juara Akademi Fantasia itu untuk merencana hubungan mereka
HAJAT di hati pada mulanya mahu saja fotografi pasangan kekasih, Zahid dan Nita ini dilakukan dalam persalinan formal yang memerlukan juara Akademi Fantasia musim kedua itu mengenakan sut manakala bintang Malaysian Idol itu pula melaram dengan gaun rekaan pereka fesyen Calvin Thoo, diikuti pakaian yang lebih santai.
Namun, saat terpandang gaun pengantin putih yang dipamerkan di hadapan butik milik pereka popular itu di Lot 10 di tingkat empat, perancangan asal berubah sekelip mata. Lantas ingatan Hip mula terbayang pasti molek gaun 'couture' itu jika disarungkan ke susuk tubuh Nita yang tinggi lampai ibarat supermodel.
Keinginan itu tidak ditolak malah pasangan sama comel itu bersedia merealisasikan apa yang dihajati. Begitu sporting mereka melayan permintaan Hip tanpa banyak kerenah untuk menyarung busana pengantin itu sebelum menukar ke persalinan santai kedua .
Bagaimanapun jangan tersalah anggap kerana gaya mereka umpama Raja Sehari itu tidak ada kena mengena dengan kemungkinan pengumuman detik tarikh perkahwinan yang dinanti-nantikan ramai pihak. Tapi tidak salah mengambil mood itu sebagai langkah awal sebelum benar-benar bergelar pengantin baru. Sayangnya, sehingga kini, baik Zahid mahu pun Nita, agenda berkahwin belum ada dalam diari hidup mereka.
Menyegarkan ingatan, Nita mencelah memberitahu yang hubungan mereka mula berputik selepas Zahid sendiri menyatakan hasrat untuk melamarnya sebagai permaisuri hati. Tanpa disedari hubungan mereka bagaikan sudah lama terpateri hinggakan ramai yang tidak sabar menanti detik hari bahagia mereka mula bersemi sedangkan hubungan mereka baru saja mencecah dua tahun pada Oktober nanti.
Bahagia mendakap kehidupan Nita dan Zahid kini, namun jujur mereka akui, perancangan menamatkan zaman bujang masih belum difikirkan. |
"Ketika itu, Nita ingatkan dia (Zahid) main-main ajak kahwin. Namun, hakikatnya dia benar-benar mahu menjadikan Nita sebagai kekasihnya dan Insya-Allah sebagai isterinya kelak. Nita nampak kesungguhan dan kejujuran dia dalam tempoh kami bercinta. Cuma terus terang Nita cakap, soal nak kahwin itu belum pernah kami bincangkan secara serius ketika ini. Tapi memang masa dia nak mengurat Nita, dia pernah berseloroh ajak kahwin.
"Sebagai perempuan, Nita tak nak paksa dan terlalu gelojoh dalam soal membincangkan perkahwinan. Nita biarkan saja dia memikir panjang apa juga pengakhiran hubungan kami. Nita pun tahu golongan lelaki sepertinya tidak suka didesak. Nita hanya mengikut aliran dalam perhubungan. Lagipun, soal kahwin, cakap memang senang tapi empunya badan yang bakal menanggung bukan main kepalang sukarnya," ungkap Nita yang nampak anggun dan ayu dengan persalinan itu.
Manakala Zahid sendiri tidak mensasarkan tarikh tertentu untuk menamatkan zaman bujang. Lelaki bermata cantik yang bertakhta di hati Nita itu percaya kepada ketentuan Ilahi dan jodoh.
"Tunggulah dulu semua perkara selesai. Selepas penutupan Maestro, saya sendiri terkontang-kanting meneruskan kerjaya sendirian. Banyak lagi benda yang saya ingin lakukan dan capai. Saya juga teringin berjinak-jinak sebagai komposer dengan mencipta lagu termasuk memiliki syarikat sendiri.
DITAKDIRKAN bertemu Zahid adalah episod indah yang singgah dalam hidup Nita. |
"Jauh lagi semua itu. Apapun, setakat ini saya yakin jodoh kuat menyatukan kami. Masing-masing faham dengan kehendak dan keinginan yang mahu dipenuhi," katanya yang kembali berisi kerana selalu masuk kampung mengikuti jelajah Gempak Desa Astro sambil menikmati juadah kampung yang menjadi kegemarannya.
Lancar Studio Cafe Ahad ini
SEBALIKNYA apa yang ingin diumumkan pasangan sebaya berusia 29 tahun ini ialah mengenai pembukaan Studio Cafe. Malah, kini mereka sibuk menguruskan persiapan minit terakhir sebelum melancarkan Studio Cafe ala Planet Hollywood dan Hard Rock Cafe Ahad ini.
Penyanyi Yuna yang semakin dikenali dengan lagu Dan Sebenarnya turut diundang membuat persembahan pada malam itu di samping Nita dan Zahid.
Beroperasi di Blok 3 D, No 9, Jalan Wangsa Delima 10, Wangsa Link, Pusat Bandar Wangsa Maju, pengunjung yang hadir pada malam pembukaan (bermula jam 8 malam) itu akan diberi diskaun 15 peratus untuk pilihan makanan dan minuman yang ditawarkan.
Baik Nita mahupun Zahid, mereka sangat berdebar menanti tarikh keramat itu. Kata Nita, dia turut membantu Zahid terutamanya dalam soal jemputan rakan media.
"Biarpun Nita bukan rakan kongsi, Nita menolong Zahid dan membahagi tugas apa yang patut. Oleh kerana Nita penyanyi kelahiran Malaysian Idol, maka Nita bertindak menjemput rakan media di Media Prima dan dia pula memberi tumpuan di Astro. Nita tahu orang lelaki macam dia itu selalu terlepas pandang bab yang remeh temeh.
"Nita pun tak sabar menanti maklum balas orang ramai, peminat dan rakan wartawan terhadap pembukaan premis hiburan itu. Ia beroperasi mulai 12 tengah hari hingga 12 tengah malam dengan menghidangkan menu tempatan dan Barat.
"Antara menu istimewa ialah Nasi Goreng ZA8 dan BBQ ChickeNita. Harga yang ditawarkan berpatutan sekitar RM15 hingga RM20 sekepala. Kepada peminat jemputlah beramai-ramai pada malam 28 Jun nanti," kata Nita yang masih di bawah pengurusan 8Unit hingga 2011. Kontrak Nita dengan syarikat Suria Records khabarnya berakhir hujung bulan ini dan selepas sebarang keputusan diperoleh Nita mungkin akan menghasilkan single sendiri.
Menurut Zahid, perancangan membuka Studio Cafe itu sudah mula difikirkan sejak Jun tahun lalu. Tawaran itu datang daripada rakan kongsinya yang bercadang mahu membuka sebuah restoran yang pada mulanya mahu menggunakan nama Zahid sendiri.
"Akhirnya baru Januari lalu proses akhir merealisasikan Studio Cafe terlaksana. Di restoran itu turut diwujudkan ruangan Hall Of Fame yang mengabadikan barangan selebriti tempatan. Zahid sudah kumpul barangan daripada kumpulan Flop Poppy dan bintang Akademi Fantasia. Nita pun ada mengumpul koleksi menarik artis seperti Daniel Lee.
"Sebenarnya sudah lama Zahid ingin membabitkan diri dalam perniagaan sebegini dan apabila peluang datang di depan mata, Zahid tidak lepaskan begitu saja. Perniagaan pun antara satu cabang dan punca rezeki. Ia sebagai jaminan pada masa mendatang dan kalau dapat sambutan, siapa tahu boleh buka cawangan Studio Cafe yang lain," kata Zahid yang turut membuka tadika di Nilai, Salak Tinggi sejak 2006 yang diuruskan kakaknya.
Dalam perkembangan lain, Zahid juga seperti Nita bercadang untuk merakamkan single sendiri.
"Album baru Zahid pun sudah siap tapi selepas penutupan Maestro ia tergantung buat seketika. Zahid pun tak boleh komen lanjut dan bergerak sendiri saja buat sementara. Nasib Zahid pun lebih kurang Nita apabila menyentuh soal syarikat rakaman. Dengan pengalaman yang ditimba selama hampir enam tahun berada di dalam industri, Zahid banyak belajar untuk terus berjuang di dalam liga seni," kata Zahid yang bakal muncul dalam sebuah telefilem Aidilfitri berjudul Cinta Meriam Buluh arahan Rahila Ali di samping pelakon Ajai, Alyah, Marsha, Mila dan Nabil Raja Lawak
INFO: Zahid dan Nita
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: