Lapan peserta akhir sudah bersiap sedia untuk merebut trofi juara pertandingan akhir Bintang RTM 2009. |
Malam kemuncak berlangsung Ahad ini di Stadium Negara
HUJUNG minggu ini, selepas mengharungi tempoh yang agak panjang dan berjaya melepasi pelbagai peringkat saringan, lapan peserta akan melangkahkan kaki ke pentas di Stadium Negara untuk menentukan siapakah paling layak bergelar juara Bintang RTM 2009.
Dibekalkan dengan dua lagu bagi setiap peserta, pastinya mereka bakal berhempas pulas untuk mempamerkan persembahan nyanyian dan aksi yang terbaik, bukan saja demi memikat perhatian juri tetapi juga penonton di stadium dan TV kerana ia turut disiarkan secara langsung menerusi TV2, jam 8.30 malam.
“Apa yang penting saya tidak mahu membuat banyak kesilapan pada persembahan malam itu nanti,” kata Nur Azilla Mohd Ibrahim atau Zilla, seorang daripada lapan peserta yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir BRTM2009.
Keazaman Zilla tentu ada sebab kerana dia mahu membuktikan kejayaannya layak ke peringkat akhir bukan kerana nasib semata-mata. Ini kerana berbanding enam peserta lain, dia dan seorang lagi pesaingnya iaitu, Arnizam Micheal (Nizam) ‘dibawa’ masuk menerusi undian SMS daripada penonton program ini.
Kedua-duanya akan mengiringi Jo-Anna Sue Henly Rampas (Anna); Nur Ernie Shahirah Zakri (Ernie), Nur Fatin Nabila Noor Sazley (Fatin), Saidatul Aina Jamaluddin (Aina), Mohd Ikbal Abdul Hatam (Ikbal) dan Mohamad Adlizan Baharudin (Adli).
IBRAHIM (memegang trofi BRTM) bersama peserta akhir dan pasukan penerbitan untuk pertandingan akhir Bintang RTM 2009 pada Ahad ini. |
Anna dilihat bakal menjadi pilihan kerana dianggap mempunyai pakej yang lengkap untuk menjadi penyanyi. Selain memiliki personaliti menarik, peserta dari Kota Kinabalu, Sabah berusia 20 tahun ini, turut mempunyai vokal yang mantap.
Dalam pertandingan akhir nanti, Aina akan membawakan lagu yang dipopularkan oleh Faizal Tahir iaitu Bencinta dan Because of You nyanyian asal daripada Celine Dion.
“Apa yang penting pada malam itu nanti ialah memastikan kesihatan saya dalam keadaan terbaik. Saya tidak risau untuk membuat persembahan tetapi hanya bimbang kalau pada waktu itu nanti kesihatan saya kurang memuaskan,” katanya.
Namun begitu laluan Anna untuk meraih kemenangan pastinya tidak diberikan laluan mudah oleh pencabarnya yang lain. Fatin boleh memberi kesukaran kepada Anna. Biarpun baru berumur 17 tahun, peserta kelahiran Kluang, Johor dilihat berupaya menampilkan persembahan terbaiknya.
Ini berdasarkan pengalaman Fatin yang sering menyertai pertandingan nyanyian dan kini menjadi seorang daripada anggota sebuah kumpulan muzik di tempat kelahirannya. Di peringkat akhir nanti, Fatin membawakan lagu nynyian Jaclyn Victor iaitu Wajah selain dua lagu yang disampaikan secara medley, Mencintaimu dan Asmara.
“Dalam persembahan peringkat akhir nanti, saya mahu menjadi diri sendiri tanpa mengikut orang lain, mencari identiti sendiri dan ingin menjadi penyanyi yang berilmu,” katanya.
Tidak kurang menariknya nanti ialah persaingan daripada Adli yang akan menyanyikan lagu Sempurna selain This Love dan I Hate Myself For Loving You. Peserta berusia 23 tahun dari Kulim, Kedah ini adalah lepasan Akademi Seni, Budaya dan Warisan (Aswara) dalam jurusan Diploma Muzik.
“Apa yang saya pentingkan adalah persembahan pada malam akhir itu nanti akan dapat menghiburkan penonton dan diri saya sendiri pada tahap yang maksimum,” tegasnya.
Di peringkat akhir nanti, Ernie menyanyikan lagu Kau Yang Istimewa dan Cahaya; Ikbal (Laguku Untukmu dan Kata); Aina (Hanya Satu dan Destinasi Cinta), Zilla (Bertamu di Kalbu dan Saving All My Love For You) dan Nizam dengan lagu Sampai Syurga dan Malam Minggu Yang Mesra.
Pertandingan akhir BRTM 2009 kali ini memperlihatkan kreativiti setiap peserta yang akan membuat persembahan selama tujuh minit dengan tiga minit lagu wajib (lagu dalam bahasa Melayu ciptaan komposer tempatan) dan empat minit lagi lagu pilihan. Persembahan setiap peserta akan diiringi oleh Orkestra RTM.
Bagi mengekalkan tradisi dan kualiti pertandingan, penggunaan penjurian profesional dikekalkan untuk memilih pemenangnya. Namun bagi Pemenang Bintang Paling Popular, ia akan ditentukan oleh penonton menerusi undian SMS.
Pengacara pertandingan akhir BRTM 2009 kali ini ialah Izwan Pilus digandingkan dengan Alissya dan Muaz. Ia turut dimeriahkan oleh Jamal Abdillah, Jaclyn Victor, Dia Fadila, Asmidar, Rey dan Candy Cheah.
Pertama kali di luar Angkasapuri
MEMENTINGKAN kualiti bakat dalam semua pertandingan nyanyian sememangnya menjadi objektif utama Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Sejarahnya bermula menerusi pertandingan Bintang Radio sekitar tahun 60-an sehingga kini sudah 35 tahun Bintang RTM diadakan.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya berkata, RTM tidak akan menjadi stesen televisyen lain dalam matlamatnya melahirkan bakat nyanyian yang mampu bertahan lama dalam industri ini.
“Bagaimanapun BRTM tetap RTM iaitu merujuk kepada matlamat kita mencungkil bakat peserta. RTM tidak akan menjadi stesen TV lain kerana kita betul-betul menumpukan kepada kualiti vokal peserta. Saya percaya dengan kebolehan semua tenaga kerja, bermula pencarian bakat sehingga ke peringkat akhir,” katanya.
“Ini sebenarnya menjadi tanggungjawab saya dan pasukan penerbitan dalam memastikan pertandingan Akhir Bintang RTM: Malam Seribu Bintang di Stadium Negara pada 28 Jun ini berjaya. Ini kali pertama BRTM diadakan di luar Angkasapuri dan sememangnya kita mahukan satu pembaharuan untuk penonton merasai sendiri kelainannya,” katanya.
Komen peserta
Ikbal - “Terserah kepada rezeki yang sudah ditentukan untuk saya pada malam itu. Kalau juri pemilih saya untuk jadi juara, maka inilah rezeki saya.”
Aina - “Saya lebih menumpukan kepada latihan vokal dan pergerakan di atas pentas. Saya mahu menjadi yang terbaik daripada semua peserta.”
Zilla - “Apa yang penting saya tidak mahu membuat banyak kesilapan pada persembahan malam itu nanti.
Nizam - “Saya mempunyai tubuh yang agak besar, apa yang penting ialah stamina saya harus kuat untuk persembahan pada malam itu nanti.”
Fatin - “Mahu menjadi diri sendiri tanpa mengikut orang lain, mencari identiti sendiri dan ingin menjadi penyanyi yang berilmu.
Anna - “Saya akan pastikan kesihatan saya sentiasa baik. Saya pun masih belum betul-betul sihat kerana demam.
Ernie - “Kemenangan itu nanti akan jadikan bekalan untuk saya mencapai cita-cita sebagai pensyarah vokal”
Adli - “Apa yang pentingkan persembahan saya pada malam akhir nanti dapat menghiburkan penonton dan diri saya sendiri”.
INFO: Hadiah BRTM 2009
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: