Imran rakam saduran lagu jarang didengar
MENGAMBIL lagu saduran dan diolah kembali mengikut muzik terkini daripada artis lama TIDAK bermakna menumpang populariti atau jalan singkat untuk dikenali.
Sekurang-kurangnya itulah pendapat penyanyi kelahiran kota Singapura, Imran Ajmain yang menyadur beberapa lagu dari penyanyi lama untuk dimuatkan ke dalam album terbarunya Punca Dan Tindakan.
Dia mempunyai jawapan tersendiri berbuat demikian untuk album keduanya dan kata Imran, tidak pernah terlintas di dalam hatinya untuk menumpang populariti artis lama dalam penghasilan album ini.
“Ramai yang beranggapan banyak lagu saduran yang saya olah ke dalam album ini dilakukan kerana tidak mempunyai idea selain menumpang populariti penyanyi lama.
“Namun secara terus terang, saya mengambil lagu lama yang orang jarang mendengarnya, dengan cara ini saya cuba untuk mengangkat kembali lagu lama ini agar ramai yang mengetahuinya siapakah penyanyi asalnya.
“Tidak sampai separuh pun lagu saduran saya muatkan ke dalam album ini cuma beberapa saja itupun lagu yang jarang diputarkan radio. Setiap lagu ini juga saya turut memasukkan siapakah penyanyi asalnya agar pendengar tahu siapa yang menyanyikannya.
“Walaupun saya dibesarkan dengan lagu R&B tetapi pada zahirnya jiwa saya sangat dekat dengan lagu lama. Saya senang dengan lagu lama kerana lirik dan melodinya mendalam sehingga membuatkan saya tenang apabila mendengarnya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya di No Black Tie, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Antara lagu saduran yang dimuatkan ke dalam album kedua ini adalah Menimbang Rasa oleh penyanyi asalnya Oslan Husein dan Harapan Kecewa oleh Datuk Ahmad Jais.
Bagi Imran sendiri, setiap penghasilan lagu yang dimuatkan ke dalam albumnya terlalu mementingkan kualiti. Jika tidak masakan lagu yang dinyanyikan Imran diminati ramai penerbit dan pengarah drama.
Ini membuktikan lagunya menepati cita rasa masa kini sehingga drama Keranamu Saerah, Siti Tivi dan Yusuff mengambil lagu nyanyiannya sebagai lagu tema drama.
“Alhamdulillah, beberapa lagu saya kini sudah menjadi lagu tema kepada drama hebat. Ia juga dianggap sebagai satu landasan memperkenalkan lagu saya menerusi televisyen. Selain radio dan akhbar, medium televisyen adalah saluran yang terbaik untuk memperkenalkan seorang penyanyi baru itu.
“Mungkin juga ramai yang masih belum mengenali saya sebelum ini. Namun selepas lagu menerusi album pertama saya keluar iaitu lagu Seribu Tahun menerusi drama Keranamu Saerah di TV3, saya semakin dikenali.
“Melalui drama itulah, ramai yang mencari siapakah penyanyinya. Dan saya juga bersyukur melalui album kedua ini jugalah iaitu lagu Yang Ku Perlu dan Jika Engkau Pergi turut mengikut jejak lagu Seribu Tahun,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: