Cita rasa pendengar mudah berubah sebabkan persaingan sengit
BANYAK sebab kita mendengar radio tetapi selalunya lebih bersifat peribadi. Ada yang memilih radio sebagai 'teman', tetapi kebanyakannya sekadar mahu hiburan saja.
Bagi individu yang peka dengan perkembangan atau hal ehwal semasa, radio diharapkan boleh menjadi sumber berita dan maklumat, tetapi ini jarang berlaku. Tidak banyak stesen radio di negara ini dapat menyalurkan maklumat yang diharapkan dari semasa ke semasa. Ini kerana penyampai atau juruhebah dalam konti radio bukanlah wartawan penyiaran.
Mereka jarang berada di lokasi sesuatu peristiwa. Sumber berita dan maklumat yang disampaikan kepada pendengar bergantung kepada skrip yang disediakan oleh penerbitnya. Sebab itulah, imej penyampai atau juruhebah radio lebih dilihat sebagai personaliti radio.
Memang ada radio yang menyiarkan berita secara khusus seperti Radio24. Radio Klasik Nasional pula bersifat rencam. Siaran beritanya secara berkala iaitu setiap sejam atau dua jam sekali. Itupun berita yang diulang, bukan berita terbaru.
Radio Ikim.FM pula menyediakan pilihan kepada pendengar yang ingin mencari kelainan, terutama berkaitan dengan kerohanian dan kefahaman mengenai agama lebih jelas. Harus diingat, kefahaman yang disampaikan oleh Ikim.FM bukanlah setakat mengenai urusan ibadat saja tetapi membabitkan isu perundangan, kekeluargaan, kemasyarakatan dan sebagainya.
Saluran radio itu memang kurang popular. Namun begitu, ia bukan bermakna apabila tidak popular stesen radio ini dianggap sebagai tidak bagus. Sebaliknya, stesen radio popular pula bukan bermakna mereka sebagai saluran radio yang baik.
Kebelakangan ini, beberapa stesen radio sudah menggunakan wang untuk ‘membeli telinga’ pendengar. Pada setiap pagi, apabila mendengar beberapa saluran radio tertentu, kita akan dipelawa atau ditawarkan dengan peraduan yang menawarkan hadiah wang tunai.
Bermula dengan RM50 sehingga RM100 sehari, ia boleh terkumpul menjadi sehingga lebih RM10,000. Ia jumlah lumayan dan memang menggiurkan pendengar.
Kita tidak bermaksud cara itu tidak betul. Ia antara kreativiti daripada stesen radio dalam usaha memikat pendengar kerana persaingannya yang semakin sengit. Apa yang penting peraduan seperti ini tidak menyalahi undang-undang iaitu dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak ada unsur perjudian, pertaruhan dan penipuan.
Wang juga bukanlah segala-galanya. Ada stesen radio tidak menawarkan hadiah wang tetapi berjaya meletakkan kedudukan sebagai stesen radio pilihan kedua keseluruhan.
Ketika ini, dengan menggunakan angka-angka yang diberikan oleh AC Nielsen, dua stesen radio popular ketika ini, EraFM dan HotFM masing-masing mendakwa sebagai stesen nombor satu negara.
Berada di kedudukan tempat pertama memang penting bagi setiap stesen radio, tetapi ia agak kurang bermakna kepada orang ramai dan pendengar. Kita mungkin boleh berubah dengan tiba-tiba bertukar kepada stesen radio di tempat ke-9 atau ke-10 kerana persembahannya pada waktu itu memenuhi cita rasa pendengar.
Dan, kepada stesen radio yang mendakwa sebagai nombor satu, apa lagi yang mereka boleh berikan kepada pendengar?
Ada yang mengatakan nombor satu tidak semestinya sebagai terbaik. Ertinya, nombor satu itu daripada sudut dan perspektif yang bagaimana? Selalunya, nombor satu dari segi populariti, bukan daripada kualiti.
Kualiti juga memberikan definisi yang luas. Tapi dalam konteks radio, kualiti mungkin bermaksud dari aspek pengisian bahan yang disiarkan, cara penyampaian oleh juruhebahnya dan sejauh mana ia benar-benar boleh dijadikan sumber maklumat paling berkesan, terbaik dan boleh dipercayai oleh pendengar.
Tidak apalah berebut-rebut untuk menjadi stesen radio nombor satu kerana apa yang penting ialah jangan lupa dengan tanggungjawab sosial dan meletakkan radio sebagai betul-betul tempat untuk menyalurkan maklumat berguna kepada pendengar, bukan sekadar lagu atau hiburan saja. Apabila nombor satu, bermakna ramailah pendengarnya. Apabila ramai pendengar, bukan saja penting sebagai saluran mengiklankan produk tetapi pada masa lebih elok juga dimanfaatkan dengan menyalurkan info, berita, ilmu dan pengetahuan berguna kepada pendengar.
Bukannya hanya bangga jadi nombor satu, dua atau tiga tetapi selepas itu tidak memberi apa-apa sumbangan berguna kepada pendengar dan masyarakat yang menyokongnya.
Dalam pada itu, di mana pula kedudukan stesen radio RTM? Entah apa silapnya, radio RTM semakin ketinggalan dalam persaingan ini. Agak malang juga kerana radio RTM tidak berada sekurang-kurangnya dalam senarai lima tempat teratas secara keseluruhan. Slot atau segmen daripada pelbagai radio RTM masih kurang mencengkam.
Radio RTM seperti yang sedia maklum sudah melakukan proses penjenamaan sejak empat atau lima tahun lalu. Namun, pertukaran nama dan slogan stesen saja masih belum memadai.
Radio RTM perlu pro-aktif dalam pelbagai aktiviti dalam industri hiburan tanah air yang akan dan sedang berlangsung untuk memastikan kewujudan mereka terus disedari oleh masyarakat. Mereka perlu mengambil bahagian secara langsung atau tidak langsung supaya stesen radio tidak dipinggirkan atau terpinggir.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: