Nana, Brian bersyukur majlis berjalan lancar dan dihadiri ahli keluarga, sanak saudara serta rakan taulan
SEMPURNA sudah majlis dirancang dan terlerai sudah debaran yang memuncak di dalam hati selepas selesainya acara perkahwinan dirancang 6 Jun lalu. Tiga majlis iaitu pertunangan, pernikahan dan persandingan diadakan serentak pada tarikh terbabit.
Kini tanggungjawab besar menanti Nana dan Brian selepas sah menjadi suami isteri. Lalu, bermulalah fasa menjaga kerukunan, keharmonian dan kebahagiaan yang terus terbina ini. Mungkin masih terlalu awal untuk mengukur perjalanan kehidupan berdua mereka.
Mahu atau tidak, keputusan menamatkan zaman solo ini sudah muktamad dan ia langkah penuh nikmat yang harus diharungi penyampai radio Era itu.
“Apabila Nana mengambil keputusan untuk berkahwin, ia bermakna Nana sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri dan setakat ini Nana masih mencuba membiasakan keadaan baru menjadi pasangan sehidup semati kepada Brian. Semuanya masih terkawal dan seperti kebiasaan selesai saja kenduri kami kepenatan dan apa yang penting syukur majlis berjalan lancar seadanya.
“Paling indah apabila hari bahagia kami dihadiri ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan. Biarpun majlis ini berlangsung tanpa penaja, ia tetap meriah dan istimewa di hati Nana. Harapnya ikatan yang baru terpateri ini akan kekal sampai bila-bila dan kasih sayang kami akan bertahan selama-lamanya.
“Jika dulu, 10 minit saja amarah kami itu mungkin cepat terkesan dan mudah saja naik melenting. Tapi sekarang kami kena banyak bersabar dan sama-sama meniti ukhuwah dengan sebaiknya. Nana yakin dia (Brian) dan perkahwinan ini mampu pergi jauh dengan cinta di hati termasuk dorongan keluarga masing-masing,” kata Nana yang kembali memulakan kerjanya di Era FM pada 10 Jun lalu.
Nana atau nama sebenarnya Nurul Hana Che Mahazan, 26, sah menjadi isteri kepada Pengurus Program Hitz FM, Mohamed Raqeem Brian Abdullah itu tepat jam 11.02 pagi dengan hanya dua kali lafaz. Majlis bersejarah itu diadakan di kediaman keluarga Nana di Persiaran Bahagia, Jalan Abdul Rahman. Rumah itu didiami keluarga Nana sejak 2004 lagi.
Akad nikah dijalankan oleh Imam Masjid Jamek Sultan Ibrahim Muar, Azman Mo`min dengan dihadiri keluarga kedua-dua pengantin termasuk keluarga Brian dari Kuching, Sarawak, selain sanak saudaranya dari Australia dan Taiwan yang pulang ke tanah air semata-mata untuk menyaksikan majlis perkahwinan itu.
Lumrah seperti kebanyakan pengantin lain, Nana juga menitiskan air mata sewaktu majlis akad nikah dijalankan. Kata Nana, mungkin orang yang mengalaminya saja mungkin tahu betapa bernilai titisan air mata yang jatuh tertumpah itu.
“Nana sendiri tidak tahu nak menjelaskan bagaimana perasaan ketika itu. Ia cukup bercampur baur. Paling mengharukan apabila bapa (Che Mahazan Che Aik) berkata dia lepaskan Nana untuk dijaga suami. Perasaan memang berbeza kerana Nana kini sudah mempunyai ‘orang baru’ dalam hidup. Tapi ia bukan alasan untuk melunturkan kasih sayang Nana terhadap keluarga tersayang,” katanya yang akan menetap buat sementara waktu di rumah Brian di Puchong sebelum berpindah ke rumah teres yang dibeli dan dijangka siap akhir tahun ini di Bandar Puteri, Puchong.
Seperti kebiasaan yang dilakukan pasangan mempelai untuk memperingati hari perkahwinan mereka, Nana dan Brian juga tidak ketinggalan melakukan perkara penuh simbolik pada hari bahagia hujung minggu lalu. Anak tunggal perempuan daripada empat beradik itu melakukan kejutan dengan menghadiahkan Mercedez Benz C180 putih kepada ibunda tersayang, Rosnah Harun.
Hadiah itu diberi bersempena dengan sambutan hari lahir ibunya yang ke-48 tahun disambut 2 Jun lalu. Pada mulanya, Nana sendiri tidak mahu melaksanakan kejutan terbabit bimbang dikatakan mahu tunjuk lagak. Namun, kesungguhan bapanya yang banyak menguruskan proses membeli kereta itu akhirnya membuatkan Nana akur.
“Setidak-tidaknya, memori itu akan dikenang ibu setiap kali sambutan ulang tahun perkahwinan kami. Lagipun memang ibu sukakan kereta dan sebagai anak, apa salahnya Nana berbuat demikian. Kereta putih itu kereta terpakai dan Nana beli pun dengan bayaran secara ansuran,” katanya yang tidak kisah dikurniakan berapa orang anak sekalipun kerana ia berbalik kepada soal rezeki.
Mengenai suaminya, Nana memberitahu dia bertuah dapat memiliki Brian yang menjadi penjaganya kini. Pada akhir bicara, Nana sempat berseloroh mengatakan yang suaminya ada kala tersasul memanggil bapanya dengan panggilan ‘uncle’.
“Mungkin dia tidak biasa memanggil bapa Nana dengan panggilan abah tapi selepas ini kenalah dia membiasakan diri,” kata Nana yang mengikuti jejak rakan Akademi Fantasia yang menamatkan zaman bujang seperti Atie, Khai, Rosma, Mawi dan Aswad.
INFO: Perkahwinan Brian, Nana
- Rombongan pengantin lelaki membawa hantaran RM21,000 dengan tujuh hantaran dibalas sembilan hantaran daripada pihak perempuan termasuk gitar bernilai RM10,000.
- Turut hadir pada majlis perkahwinan itu ialah penyampai radio Era dan Sinar FM termasuk Aznil Nawawi, Din Beramboi, Adi Fashla dan Nila Kurnia serta penyampai radio Hot FM, Farah Fauzana yang turut menjadi pengapit pengantin perempuan.
- Nana dan Brian belum merancang untuk berbulan madu berikutan kesibukan tugas tetapi tidak menolak kemungkinan untuk bercuti di kepulauan menarik seperti Maldives, Mauritius, Krabi atau sekadar pulau di Malaysia seperti Tioman dan Perhentian.
- Nana turut menghadiahkan set gitar elektrik berharga RM10,000 kepada suaminya sebagai salah satu balasan barang hantaran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: