Tuesday, June 9, 2009

Minta tangguh dari kem terdekat


ABDUL Hadi (tengah) bersama para pelatih PLKN Siri 2 di KLIA, semalam.


SEPANG - Berkuatkuasa serta-merta, pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang ingin memohon penangguhan ataupun pengecualian boleh mendapatkan kebenaran dari kem latihan berdekatan dengan tempat tinggal masing-masing.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, proses tersebut merupakan salah satu penambahbaikan pihaknya kepada para pelatih dan ibu bapa PLKN.

"Mereka tidak perlu lagi datang ke ibu pejabat JLKN dan boleh pergi ke mana-mana 83 kem di seluruh negara untuk berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sempena Majlis Menyambut Ketibaan Pelatih-pelatih PLKN Kumpulan 2 Siri 6/2009 yang telah menamatkan latihan di Kem Similajau, Sarawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini semalam.

Jelas Abdul Hadi, para pelatih yang ingin pengecualian atau penangguhan bakal mendapat surat kebenaran sementara dari komandan kem atau pihak pengurusan tertinggi kem sebelum sijil sebenar dikeluarkan oleh JLKN.

"Surat tersebut akan dikeluarkan serta-merta sekiranya pemohon layak dan menepati semua syarat bagi membolehkan penangguhan atau pengecualian," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: