Filem City of Life and Death mengundang kemarahan orang awam dan penulis blog yang mempersoalkan nilai patriotism pemilik-pemilik pawagam di China.
Seorang pelajar kolej, Chen Lin pernah mendengar berita tentang sebuah filem baru yang memaparkan kekejaman penyembelihan beramai-ramai kira-kira 300,000 orang awam di Nanjing, China oleh tentera Jepun pada era Perang Dunia Kedua.
Rakan-rakannya memberitahu, imej-imej yang ada dalam filem City of Life and Death itu sangat kejam. Misalnya, adegan kejadian rogol beramai-ramai, pembunuhan secara rambang, dipancung di hadapan orang ramai dan mangsa ditanam hidup-hidup.
Filem ini mungkin mengganggu emosi ramai penontonnya. Pengarahnya, Lu Chuan menggambarkan askar Jepun sebagai manusia biasa yang penuh dengan kelemahan. Sebahagiannya berdepan dengan konflik jiwa berikutan jenayah pembunuhan dan kekejaman yang dilakukan.
"Kawan saya menyuruh saya menontonnya. Dia memberitahu saya tentang peristiwa pedih yang sama, tetapi daripada perspektif berbeza," kata Chen.
Sejak tayangannya pada April lalu, kemarahan orang awam berterusan. Buktinya, ada penonton yang keluar panggung, sementara segelintirnya mempersoalkan nilai patriotism pemilik pawagam.
Filem ini diedar oleh China Film Group yang dikendalikan kerajaan negeri dan mendapat kelulusan Parti Komunis.
Selepas kebanyakan adegan-adegan kejamnya dipotong oleh unit penapisan, filem tersebut tetap mengundang kemarahan ramai penulis blog. Malah, Lu pernah menerima ugutan bunuh.
Pernah berdepan dengan askar-askar Jepun yang kejam dan tidak berperikemanusiaan, masih ramai yang belum bersedia untuk menerima interpretasi lebih seimbang mengenai kelemahan manusia.
Filem hitam putih itu dimainkan seperti laporan berita tahun 1930-an. Ia meneliti peristiwa pembunuhan menerusi kaca mata para pemegang karakter. Sebahagiannya difiksyenkan, sementara bakinya berdasarkan kisah benar.
Di samping mangsa-mangsa yang ketakutan, ada seorang tentera Jepun yang begitu terkesan dengan kekejaman dan kemudiannya membunuh diri.
China masih marah dengan ahli-ahli politik Jepun yang masih enggan memohon maaf dan mengakui penglibatan tentera mereka dalam insiden pembunuhan tersebut. Malah, sejarahwan Jepun telah memadamkan episod itu daripada buku teksnya.
Ramai juga yang tidak percaya dengan penyesalan pemegang karakternya.
"Saya tidak pernah terjumpa orang Jepun yang mempunyai etika seperti yang digambarkan dalam filem itu," selar seorang penulis blog.
"Lu Chuan...300,000 jiwa di Nanjing tidak akan memaafkan kamu. Kamu ialah pengkhianat China moden kerana membela pembunuhan beramai-ramai di Nanjing bagi pihak Jepun!" tambah penulis blog tersebut.
Di Nanjing, ramai warga tua dan mangsa yang terselamat mengakui serangan pada tahun 1937 itu meninggalkan kenangan yang amat pahit.
Zhao Zhengang, 87, memberitahu, askar Jepun yang sebenar langsung tidak menunjukkan belas kasihan seperti yang dipaparkan dalam filem.
"Penceritaannya bukan sahaja tidak konsisten dengan sejarah, malah seakan menunjukkan sikap memaafkan kekejaman mereka," katanya kepada pemberita.
Seorang penulis yang merupakan anak kelahiran Nanjing menyatakan, kebanyakan penduduk di sana percaya bahawa filem itu menyanjung askar-askar Jepun, tetapi dia merasai perasaan yang bercampur baur.
"Saya faham mengenai kebencian itu. Pembunuhan itu sangat kejam, tetapi tentera Jepun juga seorang manusia.
"Namun, bagi kebanyakan rakyat China, apa yang berlaku di Nanjing masih memberi kesan mendalam. Mentaliti mangsa membentuk semangat nasionalisme yang sempit. Keadaan itu sangat menyedihkan," jelasnya.
Pada tahun 2006, pengarah dan pelakon Clint Eastwood menerima kritikan senyap daripada sebahagian ahli parti Republikan Amerika terhadap pandangan simpatinya ke atas askar-askar Jepun dalam filem Letters From Iwo Jima.
Filem itu mendapat kritikan memberangsangkan di Jepun. Berbeza di China, tidak timbul kemarahan di kalangan orang awam di Amerika.
Pada masa yang sama, sebahagian penonton City of Life and Death menyatakan kekaguman mereka.
"Saya fikir ia sangat objektif. Kerajaan mengumumkan perang dan orang awam menentangnya," kata Chen, 22.
Pengurus Besar sebuah pawagam di Beijing, Li Ang berkata: "Sama ada anda menyukainya atau tidak, filem itu menunjukkan sejarah yang sebenar, bukan sekadar pandangan orang China. Ia juga tidak mempromosikan orang Jepun, malah lebih kepada menceritakan kebenaran yang tidak didedahkan."
Sementara itu, beberapa kritikan dari Jepun bersetuju bahawa masih ada ruang untuk visi Lu.
"Ini merupakan hasil karya artistik, jadi kita tidak boleh mengharap setiap perinciannya adalah benar," kata Wang Jinsi, ahli Persatuan Perang Menentang Jepun- China.
"China kini sudah menjadi masyarakat majmuk. Kita seharusnya membenarkan pandangan dan suara yang berbeza."
Lu ada memberitahu wartawan, bahawa kebanyakan pelakon Jepun dalam filem itu pada awalnya tidak bersetuju tentang skop jenayah yang dilakukan oleh askar Jepun. Mereka kemudiannya mendapati ia sebuah filem yang sukar.
"Mereka menangis dan minta untuk berhenti berlakon kerana adegan penyembelihan dan kekejaman dalam insiden pembunuhan beramai-ramai itu seperti merogol membuatkan mereka menjadi gila.
"Saya fikir, kesengsaraan dan kekeliruan itulah yang ingin saya tampilkan dalam filem."
Filem itu masih belum ditayangkan di pawagam-pawagam Jepun. Lu menyatakan dia mahu menawarkannya secara percuma kepada para pengedar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: