Sarimah anggap bercerai lebih baik sebelum perasaan kasih bertukar benci
DIA memberikan analogi mudah bagi menggambarkan kisah perceraiannya yang disiar di muka depan akhbar Metro Ahad, baru-baru ini. Tanpa mahu menyalahkan sesiapa, pelakon dan pengacara, Sarimah Ibrahim menegaskan perceraian mereka bukan disebabkan kehadiran orang ketiga atau rasa sayang yang semakin luntur dalam diri tetapi berpunca daripada tiadanya keserasian antara mereka.
“Kami terjun ke dalam kolam bersama, pernah basah dan berenang bersama, tapi apabila keadaan menjadi semakin tidak selesa, lebih baik kami cepat-cepat keluar sebelum kedua-duanya lemas,” ungkap Sarimah separuh berkias kala dihubungi Hip, petang Isnin lalu.
Selepas tiga tahun bergelar isteri kepada Amir Andrew Abdullah, barulah pengacara program Diari Akademi Fantasia 7 ini mengakui bahawa mereka sebenarnya lebih serasi menjadi kawan daripada hidup bersama atas nama perkahwinan.
Justeru, tegas Sarimah biarpun terluka kerana terpaksa berpisah dengan lelaki yang pernah bertakhta di hatinya, namun sebelum perasaan kasih bertukar menjadi benci, mereka lebih rela berpisah dengan cara seperti ini.
Hip: Kenapa selepas lima bulan bercerai baru sekarang mengumumkannya?
Sarimah: Sebenarnya kalau boleh, saya memang tak mahu mengumumkan perceraian ini. Sebab itulah saya mengambil masa agak lama untuk melakukannya. Namun, apabila keluarga saya meminta untuk berbuat demikian atas alasan tidak mahu nenek saya di kampung tertanya-tanya mengapa saya sering jalan berseorangan sejak kebelakangan ini, lalu saya pun turuti kehendak mereka. Faktor lain yang turut menyumbang ke arah itu adalah saya sendiri agak sibuk menguruskan pelbagai perkara antaranya membuat persiapan mengacarakan Diari AF7. Lagipun, untuk membuat keputusan ini bukan mudah. Puas kami cari jalan penyelesaian iaitu pergi bercuti bersama, berbincang bersama keluarga tetapi kami masih belum bertemu akan jawapannya.
Hip: Tentunya ramai yang ingin tahu apakah punca sebenar perceraian Sarimah dan Amir?
Sarimah: Perceraian kami bukan kerana orang ketiga atau disebabkan perbezaan latar belakang agama atau budaya. Cuma kami tiada keserasian walaupun sudah mengenali selama tujuh tahun. Semasa berkawan, kami berasakan dengan berkahwin akan lebih bahagia. Apabila sudah disatukan, ia tidak seperti diimpikan. Waktu itu baru saya dapat rasakan alangkah elok jika kami kekal sebagai sahabat. Keputusan diambil ini bukanlah terburu-buru kerana kami sudah membincangkannya dari hati ke hati dan bukan atas dasar terpaksa.
Hip: Bagaimana Sarimah menyimpan rahsia ini?
Sarimah: Keluarga dan kawan terdekat tahu perkara ini tapi bukan pihak media. Seperti yang saya katakan, perkara seperti ini bukanlah untuk diberikan publisiti besar-besaran. Cerita ini tersebar apabila ada rakan media yang perasan dengan apa yang berlaku. Macam saya sendiri, saya tidak akan sesekali bercerita jika wartawan tidak bertanya apatah lagi untuk membuat sidang media bagi mengumumkan berita perceraian. Oh! Saya bukan orangnya. Saya bercerita hal ini pun kerana keluarga saya yang memintanya. Bagaimana saya berdepan dengan keadaan ini? Terus terang saya adalah orang yang lebih pentingkan kerja. Saya tidak suka campuradukkan soal kerja dengan masalah peribadi. Malah, pihak Astro sendiri hanya tahu mengenai berita perceraian saya sehari sebelum ia disiarkan di akhbar. Prinsip saya, walau sesukar mana pun, saya perlu kelihatan ceria. Andai saya bersedih, saya menangis puas-puas. Kemudian saya akan pastikan keadaan saya pulih seperti biasa sebelum masuk dalam set rakaman. Kalau boleh saya tak mahu penonton atau krew produksi nampak mata saya bengkak. Jadi, apabila bekerja, saya pastikan semuanya okey. Saya mahu penonton melihat saya seperti Sarimah yang mereka kenal, ceria dan gembira.
Hip: Mungkin ada beranggapan perkahwinan dengan lelaki Inggeris memang sukar untuk bertahan lama.
Sarimah: Saya tidak berfikiran begitu. Berdasarkan kajian dan statistik, faktor berlakunya perceraian bukan disebabkan bangsa atau agama. Kalau melihat kajian yang pernah saya lihat sewaktu mempelajari ilmu psikologi tidak lama dulu, kebanyakan yang bercerai adalah pasangan sebangsa. Dalam kes saya, keluarga saya sendiri pun adalah hasil perkahwinan campur tapi mereka bahagia sampai sekarang. Jadi isunya di sini perceraian bukanlah disebabkan lelaki asing. Ia cuma bagaimana kita melayari rumah tangga kita.
Hip: Apakah serik untuk berumah tangga?
Sarimah: Saya tidak pernah serik dan kalau ada jodoh saya tetap berkahwin. Cuma buat masa ini biarlah saya tumpukan sepenuhnya perhatian pada kerjaya.
Hip: Masih berhubungan dengan bekas suami?
Sarimah: Perceraian kami berlangsung dalam keadaan yang tenang. Kami bukannya bergaduh besar sebelum bercerai. Dia memang lelaki yang baik cuma jodoh kami saja yang tak panjang. Apabila memikirkan perkara itu, memang sedih. Namun, saya bersyukur kerana kami masih mampu menjadi kawan baik biar apapun yang berlaku.
Hip: Apakah Sarimah sudah bersedia menghadapi dugaan kerana bergelar janda?
Sarimah: Terus terang, saya sendiri berasa pelik dengan gelaran itu. Namun tak mengapa, kerana saya percaya gelaran itu bukan halangan untuk saya mencapai apa yang saya cita-citakan. Saya harus tabahkan diri dan andai ada dugaan mendatang, saya harus kuat menempuhinya dan tak akan sesekali mengalah kerananya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: