|
|
BENARLAH, untuk menjadi sebuah karya besar, naskhah seni itu tidak boleh lari daripada budaya dan sistem sosial masyarakat yang dipamerkannya.
Naskhah teater Mana Setanginya juga antara karya yang mewakili satu sistem sosial yang sangat dekat dengan masyarakat sekeliling. Atau mungkin masyarakat lain secara global.
Sepuluh tahun naskhah yang asalnya 'pembuka panggung' Istana Budaya itu terperap dan hanya baru-baru ini sahaja karya Sasterawan Negara, Datuk Nordin Hassan itu kembali menebarkan harum wanginya.
Dipentaskan selama sembilan malam bermula pada 13 Jun, di tangan Zaifri Husin, Mana Setanginya membalas dendam kepingin untuk beraksi di pentas penuh gah bernama Panggung Sari.
Uniknya juga, naskhah yang sudah 10 tahun dihasilkan serta menurut penulis skrip, isunya dipinjam daripada kitab Taurat itu masih relevan dengan persekitaran semasa.
Isu fitnah, ketamakkan, gila kuasa, keagamaan, kezaliman, lupa diri serta homoseksual wujud di mana-mana dan Mana Setanginya menterjemah kesemua isu berkenaan dalam wadah tersurat dan tersirat serta subteks yang penuh nilai artistik.
Noordin Hassan terkenal dengan naskhah-naskhah teater dan drama pentas yang besar. Ada juga karya beliau tiada sempadan dari segi pentakrifan.
Seperti Mana Setanginya, sengaja kostum, latar budaya dan sosial yang dibina sebagai pengisi perut teater itu dilarikan jauh daripada budaya yang ada di Malaysia. Ada sesetengahnya termasuk kostum dan prop yang digunakan menyerupai apa yang sering dilihat di Asia Barat, Mesir mahupun zaman epik purbawara yang tidak boleh ditentukan latar masanya. Yang pasti, latar zaman yang diperlihatkan tidak melambangkan zaman kedatangan Islam sebagai penyuluh hidup manusia.
Masyarakat yang mewakili teater epik itu adalah masyarakat di sebuah perkampungan nelayan di tepi pantai. Penduduknya menyara hidup dengan menangkap ikan dan menjual hasil pohon setangi. Bawah pemerintahan Ibra, penduduk tidak dibenarkan menangkap ikan pada hari Sabtu kerana menurut mimpi Iriam (anak gadis Ibra), hari Sabtu perlu diisytiharkan sebagai hari beribadat.
Kumpulan nelayan yang derhaka bawah pimpinan Hawar telah berpindah ke atas bukit. Hawar menggelarkan bukit itu sebagai provinsi baru mereka dan diberi nama Kota Gemilang. Hidup mereka mewah, tidak mengendahkan hari ibadat, mereka boleh makan babi dan membina kota yang gemilang.
Malangnya, pohon setangi yang ditanam di provinsi baru mereka tidak mengeluarkan hasil, tidak berbau wangi seperti yang terdapat di kawasan kampung pesisir pantai.
Konflik masyarakat meningkat apabila Juda, anak kepada Hawar mengahwini Iriam, anak kepada Ibra atas alasan untuk bermuka-muka. Silbi dan Subat pula ibarat iblis yang gemar menabur fitnah tentang asal-usul Iriam.
Juda dan ayahnya, Hawar mahu penduduk kampung nelayan yang bertaburan mengiktiraf kedudukan mereka sebagai raja. Mereka yang menentang akan diserang dan sesiapa yang ingkar akan menjadi makanan belut gergasi yang dipelihara oleh Uzza.
Paderi yang menasihatkan Hawar dan Juda telah ditangkap oleh Uzza. Ibra dan Iriam yang datang untuk membebaskan paderi telah dikenakan syarat 10 bakul ikan sebagai tebusan. Sebelum syarat itu ditunaikan, Iriam perlu diserahkan kepada Uzza. Juda menjadi suami dayus apabila sanggup menyerahkan isteri untuk ditukarkan dengan kedudukan dan wanita cantik yang lain.
Di akhir cerita, turunlah ribut yang maha dahsyat serta halilintar membelah suasana. Belut gergasi yang dibela Uzza akhirnya memakan tuannya sendiri serta membunuh Hawar.
Juda juga telah menemui 'sodom wa gamurahnya'.
"Sodom sodom wa gamurahnya bermaksud dua kota tempat berlakunya peristiwa manusia lupa kepada Tuhan dan mendapat balasan bencana daripada Tuhan. Dua peristiwa itu ada tercatat dalam kitab Taurat," kata Zafri.
Meninggalkan panggung Mana Setanginya seperti banyak berbaki pelbagai persoalan yang tidak selesai. Di minda berdetik seribu persoalan, terutama bagaimana watak pengisi naskhah berusia 10 tahun itu seperti biasa ditemui dalam drama semasa di Malaysia.
Watak seperti Hawar, Juda, Uzza, Iriam, Hawar, Mira, Ibra, Paderi, Sami, Megda, Menteri Pembiakan Zuriat, Pemuda Seberang Laut, Esau dan banyak lagi seperti satu bayangan kepada watak-watak yang masih berdrama dalam masyarakat sekeliling.
"Isu kuasa dan fitnah ada di mana-mana, pada bila-bila masa tak kira bangsa atau agama," kata Zaifri mengiakan apa yang bermain di fikiran.
Tambahnya lagi: "Pemahaman teater Mana Setanginya bergantung kepada pemikiran setiap penonton. Ada yang datang hanya nampak kostum yang cantik atau set yang sungguh artistik, itupun sudah cukup bagus. Ada yang kata, pencahayaan yang dilakukan untuk teater ini kelihatan cemerlang, itu juga satu pencapaian buat kami.
"Jika ada yang mendasari apa yang selebihnya, lebih dalam lagi, itu juga satu daripada matlamat naskah berkenaan."
Paling utama, naskhah yang diarahkan oleh Zaifri selepas 10 tahun terperap itu langsung tidak ditokok-tambah. Tidak dimanipulasi atau diadaptasi dengan perkembangan semasa. Zaifri tidak mahu dikatakan ingkar terhadap gurunya.
Itulah antara manisnya harum skrip Mana Setanginya. Ia langsung tidak ditokok-tambah. Zaifri sedikitpun tidak mengutarakan selain apa yang termaktub dalam skrip asal.
Apa yang berlaku cuma beberapa perulangan atau kepanjangan dialog dipendekkan mengikut kesesuaian. Bagi memberikan pengukuhan, ada sesetengah dialog pelakon utama diulang sebutannya oleh pelakon-pelakon tambahan.
"Bukan saya sahaja yang tidak melakukan tokok-tambah, bahkan pelakon juga tidak dibenarkan membuat tokok-tambah atau keluar daripada momentum yang telah saya tetapkan. Ia penting supaya, keselarian teater itu dapat ditentukan," ulas Zaifri tentang teater arahannya itu.
Bukan sekadar menunaikan janji, bahkan Nordin yang mesra membahasakan diri sebagai Cikgu Nordin banyak memuji usaha Zaifri.
"Anda setia kepada kepada skrip", begitu luah Cikgu Nordin kepada Zaifri, usai belau menonton skrip nukilannya pada malam kedua pementasan.
Itu bukti bahawa skrip yang ditulis lebih 10 tahun lalu itu tidak menerima sentuhan falsafah milik Zaifri. Menyesuaikan skrip itu mengikut suasana semasa, jauh sekali. Jadi, apa maknanya apabila banyak kritikan serta isu yang mengisi Mana setanginya ibarat cermin politik semasa?
Selesai menonton Mana Setanginya pada salah satu malam pementasan di IB, saya berbisik kepada teman di sebelah. Bunyinya begini: "Nostradamus sungguhlah teater ini."
Maksudnya, saya menilai naskhah berkenaan sebagai sebentuk ramalan atau Cikgu Noordin sendiri sememangnya seorang peramal dan penterjemah sosial budaya masyarakat menerusi karyanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: