Penyanyi dipilih bagaikan tidak buat persembahan rapi
SEKADAR persembahan lagu pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman Haji Arshad tanpa disokong pengisian mantap membuatkan Konsert Untukmu Sudirman yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) dari 4 hingga 6 Jun lalu hambar dan kurang mengesankan.
Keterujaan untuk menghayati konsert yang memberi penghargaan kepada penghibur nombor satu Asia seakan terbenam apabila berlaku banyak kesilapan, membuatkan ramai tertanya apa sebenarnya yang terjadi?
Juga mengecewakan apabila beberapa penyanyi yang dipilih tidak membuat persediaan rapi, sebaliknya cuma memberikan persembahan sekadar melepas batuk di tangga.
Lebih meresahkan dan merimaskan kerana persembahan malam pertama pada 4 Jun lalu seakan menonton sesi latihan apabila beberapa penyanyi masih memegang kertas lirik, membuatkan nyanyian mereka terganggu. Apa masalah mereka?
Agak menyedihkan apabila pentas gemilang seperti Istana Budaya yang sentiasa mengangkat naskhah serius dan hebat, malangnya prestij itu dirosakkan segelintir kelompok yang tidak ‘menghormati’ karya seni.
Justeru, jangan salahkan peminat jika cuma memandang sebelah mata kehadiran segelintir penggiat seni kerana mereka sendiri tidak menghormati karier dan karya berharga dalam galur industri hiburan.
Realiti yang berlaku dalam Konsert Untukmu Sudirman seharusnya dipandang serius Istana Budaya supaya tidak hanya mengangkat unsur komersial semata-mata untuk menjulang nama pentas prestij itu.
Aspek lain seperti kualiti dan kewibawaan seseorang anak seni juga harus dititikberatkan supaya kredibiliti Istana Budaya tidak diperkecilkan dan ditertawakan.
Maaf kerana apa yang dipersembahkan dalam Konsert Untukmu Sudirman tidak mencapai standard untuk bertakhta di istana seni itu gara-gara sikap tidak profesional sebahagian yang terbabit pada persembahan itu.
Lebih menyentap apabila lagu yang sememangnya sinonim dengan Sudirman, malah kerap diputarkan serta masih menjadi siulan tetapi di pentas Istana Budaya ia seakan dipersembahkan di pusat karaoke.
Penerbit Eksekutif Konsert Untukmu Sudirman, Siti Khadijah Ibrahim atau Eja berkata, dia tidak dapat berbuat apa-apa jika penyanyi gagal melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.
Katanya, perkara itu tidak sewajarnya berlaku kerana setiap penyanyi sudah diberi senarai lagu lebih awal supaya mereka lebih bersedia apabila tampil pada persembahan sebenar.
“Mungkin ada penyanyi kurang selesa dengan lagu diberikan. Tetapi kami tidak boleh melakukan rombakan senarai lagu sewenang-wenangnya kerana setiap satu sentuhan menyimpan makna dan jalan ceritanya tersendiri.
“Namun, saya tidak menyalahkan mereka 100 peratus kerana banyak kelemahan terutama dari segi teknikal membuatkan konsert pada malam pertama mempunyai banyak kelemahan,” katanya.
Akui Eja, kelemahan itu turut berpunca daripada kekurangan waktu latihan disebabkan sela masa dengan persembahan terdahulu yang agak singkat.
“Sepatutnya kami mempunyai beberapa sesi latihan, malangnya ia tidak dibuat kerana kesuntukan waktu. Berdasarkan persembahan pertama, kami akan melakukan beberapa olahan dan rombakan supaya persembahan seterusnya lebih baik serta kemas,” katanya.
Berlangsung lebih dua jam, Konsert Untukmu Sudirman menampilkan 56 lagu sebahagian besarnya dipersembahkan secara medley diiringi 11 pemuzik pimpinan Lee Zee Wan.
Pujian sewajarnya diberikan kepada barisan artis muda seperti Mila, Iqwal dan Haziq, selain Adibah Noor, Atilia dan Rahim Maarof yang berjaya memberi nyawa kepada persembahan malam itu.
Mila yang membuka tirai persembahan mengalunkan penuh bertenaga pilihan lagu seperti Gadis Kilang, Mat Disko dan Kul It disusuli Iqwal yang membawakan Horey Horey, Balik Kampung, Toyol dan Gerimis Di Lautan.
Bagaimanapun, momentum persembahan yang mula membara beransur suram apabila Kaza muncul bersama Achong mengalunkan Bila Wajahmu Aku Bayangkan.
Begitu ketara mereka tidak membuat persediaan rapi apabila lagu itu gagal dilunaskan dengan baik, membuatkan sebahagian penonton kecewa apatah lagi ia bukan sebuah persembahan percuma.
Pemilihan pakaian yang kurang bersesuaian, malah Achong yang tampil bersubang mengundang pertanyaan apakah tiada pihak bertanggungjawab yang memantau kemunculan artis di Istana Budaya?
Mengulas mengenainya, Eja berkata, ada perkara yang terlepas pandang, malah akur setiap artis mempunyai kelebihan serta kekurangan namun berjanji untuk lebih berhati-hati supaya tidak timbul sebarang pertikaian.
“Kaza ialah penyanyi asal lagu Milik Siapa Gadis Ini yang dibawakan dalam filem Hambali Seorang Jeneral cuma ia tidak dirakamkan dalam bentuk album sehinggalah arwah merakamkan lagu itu,” katanya.
Kehebatan Adibah
ADIBAH yang mengakui agak takut untuk berdiri di pentas itu kerana tanggungjawab berat yang tergalas di bahunya, bagaimanapun berjaya memukau khalayak dengan kekuatan vokalnya.
Dia memberikan sepenuh jiwa dan raga sebagai tanda penghargaannya kepada seniman tiada tandingan itu lewat lagu Antara Hujan & Air Mata serta Sepetang Di Pinggir Bukit.
Atilia juga tampil meyakinkan menerusi One Thousand Million Smiles, Twinkle Twinkle Little Star dan Di Manakah Nilai Cintamu selain Haziq yang mempersembahkan medley lagu Melayu Deli pernah dirakamkan Allahyarham Sudirman antaranya Berdendang Anak Dara, Anak Dagang, Penyu Menangis dan Joget Kenangan Manis.
Andy Flop Poppy juga gagal memberikan persembahan memuaskan, malah nyanyiannya kerap terganggu terutama ketika membawakan lagu Pelangi Petang disebabkan gagal mengingati lirik.
Namun, semua kelemahan itu ditutup kemas Rahim Maarof yang memberikan nyawa pada penutup persembahan menerusi lagu Dir.
Kenangan mengusik jiwa
BAGI kakak Allahyarham, Datin Rodziah Arshad, 66, persembahan itu mengocak jiwanya kerana setiap lagu yang dibawakan membuatnya tersenyum, menangis dan menyentuh perasaan.
“Semua lagu Allahyarham mengusik jiwa membuatkan saya terharu kerana setiap penyanyi bekerja keras untuk menjayakan persembahan itu.
“Apa yang utama bagi kami sekeluarga, dia masih diingati dan itu sudah cukup menggembirakan. Ia lebih bermakna daripada sebuah penghargaan kerana lagu nyanyiannya masih mampu menghiburkan ramai.
“Saya cuma berharap semangat dan kerja keras arwah menjadi contoh dan diikuti peminatnya. Saya akui memberi tumpuan sepenuhnya ketika persembahan berlangsung membuatkan saya tidak sedar tiba-tiba ada air mata mengalir mengenangkan pemergiannya.
“Pinta saya, sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah setiap kali mengingatinya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: