Wednesday, June 10, 2009

Murah rezeki




Sikap Eira Syazira dan Mas Muhaini disenangi pengarah, kru produksi

ADA sebab mengapa dua pelakon yang pernah membintangi drama bersiri Embun Mutiara tersenyum manis. Masakan tidak apabila tawaran untuk berlakon bagaikan tak putus. Begitulah apabila murah rezeki. Rezeki juga banyak bergantung kepada sikap. Kalau sikap disenangi, Insya-Allah rezeki menjadi.

Tawaran itulah juga yang memastikan hayat seseorang pelakon itu di gelanggang seni. Bukan senang mewujudkan kepercayaan penerbit mahupun pengarah, namun selagi ada keserasian dan tidak mendatangkan masalah, jalinan kerjasama itu pasti ada.

Demikian gambaran diberikan Eira Syazira, 25, dan bakat baru, Mas Muhaini, 23. Daripada satu lokasi penggambaran ke lokasi penggambaran lain, mereka cukup bertuah kerana kehadiran disedari, lantas mencipta populariti yang manis untuk dikenang.

Berlainan dengan Eira, seperti kakak yang sudah lebih dulu makan garam, Mas pula umpama adik masih hijau usia pembabitan seninya. Baik Mas mahu pun Eira, mereka pantas mencipta kemesraan dan kebetulan pula masing-masing tidak mempunyai kekasih hati kerana berpendapat bukan masanya untuk bercinta.

Eira melihat kehadiran pelakon baru seperti Mas sesuatu yang sihat dan perlu digalakkan. Tidak timbul soal mahu membayangi atau mencuri perhatian kerana setiap watak diberikan mempunyai kekuatan tersendiri. Malah, kata Eira, sekecil-kecil watak diterima tetap akan memberi kesan andai setiap entiti pelakon dan produksi memainkan peranan masing-masing.



“Eira pun pernah berada di tempat Mas dulu, lalu, Eira tahu perit jerih bermula daripada bawah sebelum mencapai tahap sekarang. Dalam setiap sudut, Eira juga masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Selagi Eira mampu berkongsi pengalaman yang ada ini, Eira akan memberi tunjuk ajar dan apa yang patut. Mas mempunyai potensi untuk bergerak lebih jauh. Dia berbakat dan senang menerima tunjuk ajar,” kata Eira yang belum lagi ada rezeki untuk berlakon filem.

Eira yang sedang sibuk menjalani penggambaran drama terbaru arahan Heykal, juga di bawah terbitan Radius One menerusi drama 44 episod berjudul Cinta Balqis berkata, dia tidak mahu terus-terusan dibayangi watak klise.

Sudah banyak watak dicubanya termasuk peranan antagonis mahupun protagonis, namun bekas kekasih Isa GT Boyz ini tidak pernah berpuas hati dengan hasilnya. Eira yang mula menyerlah menerusi drama Meniti Bara itu tetap komited bekerja keras.

“Bimbang juga kalau saya selalu bawa watak jahat, nanti dicop stereotaip. Lalu, saya harus sesekali mengimbangi watak jahat dan baik supaya penonton dan peminat tidak jelak. Biarpun belum rezeki Eira untuk ke layar perak, Eira akur sebab rezeki lebih cenderung di kaca TV.

“Bagi Eira tak kisah sama ada tawaran filem atau drama, yang penting watak itu perlu diberi keutamaan termasuk skrip yang ingin dipersembahkan. Eira bersyukur percaturan sejak usia 19 tahun memasuki arena lakonan berbayar dan alhamdulillah, semuanya semakin bertambah baik,” katanya yang selesa bergerak sendiri menguruskan kerjaya seni. Sesekali adik beradiknya akan menemaninya ke lokasi atau ke sesi fotografi.

Teater landasan asah bakat lakonan

MENGALIH bicara kepada Mas, dia mula menerjah persada seni selepas diperkenalkan Prof Dr Hatta Azad Khan menerusi filem sulung lakonannya berjudul Wayang. Membawa watak Melor yang digambarkan berasal dari Kelantan dan bercakap sengau, Mas mula menarik perhatian penggiat seni termasuk mengikat kontrak di bawah pengurusan Metrowealth (MIG).

Meletak kepercayaan penuh kepada MIG, Mas yakin syarikat itu mampu memperkembangkan lagi bakatnya pada peringkat yang lebih jauh. Malah, dengan sokongan syarikat milik David Teo, Mas perlahan demi perlahan mampu bertapak dengan penuh bergaya.

Semakin selesa dengan kerjaya yang baru ditempuhi itu, gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah ini pernah terbabit dengan persembahan teater menerusi projek universiti. Kata Mas, dia tidak menidakkan bahawa teater menjadi landasan terbaik untuk mengasah bakat dalam dunia lakonan.

“Masih jauh lagi perjalanan saya dalam bidang seni. Saya belum mampu tersenyum puas dengan apa yang saya sudah pamerkan, namun saya memanjat kesyukuran kerana tawaran berlakon datang tak henti-henti. Berkat pengalaman berlakon teater, ia menjadi asas terbaik untuk saya berlakon secara komersial,” kata Mas yang turut berlakon filem Jangan Pandang Belakang Congkak.

Mengenai Eira, Mas berkata, dia senang dapat berlakon di sisi pelakon itu kerana menyifatkannya sebagai seorang yang tidak lokek ilmu. Katanya lagi, sejak hari pertama penggambaran Embun Mutiara, mereka sudah mula cepat serasi.

“Banyak juga ilmu dikongsinya kepada saya termasuk soal membina karakter dan mood lakonan. Dia juga tidak sombong dan mudah mesra, malah ia antara punca yang terus mengeratkan hubungan kami sebagai rakan artis,” kata Mas ringkas mengenai Eira yang dikenalinya.

Eira Syazira

  • Nama penuh: Syazira Shuhaimi
  • Nama Komersial: Eira Syazira
  • Tarikh Lahir: 19 Julai 1984
  • Tempat Lahir: Kuala Lumpur
  • Adik beradik: Anak kedua daripada enam beradik
  • Teater: Lorong 2/90 dan Bangsawan Lela Manja
  • Filem: Bisikan Remaja
  • Drama: Gerak Khas, Sembilu, Ibu Kota Cinta, Kaca, Lesen, Meniti Bara, Senja Kala, Assignment, Dosa Haniza, Seteguh Kinabalu, Elly, Jejak, Temu Janji, Penama Kedua, Sindarela, Abang Misi, Issandra, Tangisan Bulan Madu, Ku Milik Mu, Embun Mutiara dan Melukut Tepian Gantang


Mas Muhaini
  • Nama penuh: Mas Normuharni Sheikhah Mohd Sattar
  • Nama komersial: Mas Muhaini
  • Tarikh lahir: 8 September 1986
  • Tempat lahir: Sungai Petani, Kedah
  • Adik beradik: Anak keempat daripada lima beradik
  • Pendidikan: Diploma Seni Persembahan (Seni Lakon), UiTM, Shah Alam
  • Filem: Wayang, Jangan Pandang Belakang Congkak, Aman
  • Drama: Embun Mutiara, Jangan Pandang Belakang

1 comment:

  1. blueq... eira syazira... cewek kelate uwekkkksss...

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: