Terpaksa melupakan seketika dunia lakonan, Ida Nerina yang membuktikan usia tidak pernah menghalang wanita kekal aktif, semakin pulih selepas kecederaan tergelincir di tangga rumahnya baru-baru ini.
DUNIA kecantikan tiada sempadannya. Di kalangan wanita, wajah yang berseri, kulit yang anjal atau tubuh badan yang aktif adalah definisi kecantikan.
Wanita turut meletakkan aspek kesihatan sebagai intisari dalam pesona yang dizahirkan.
Ini kerana, seri pada seseorang individu bukan hanya terletak pada penampilannya semata-mata tetapi juga kesihatan tubuh badan termasuklah kekuatan tulang.
Tanpa regim kesihatan yang betul, semakin usia bertambah, ketumpatan tulang juga semakin berkurangan. Apatah lagi di kalangan kaum wanita, berdepan dengan alam menopaus menyebabkan mereka lebih terdedah dengan osteoporosis.
Situasi itu kebiasaannya akan mengehadkan pelbagai aktiviti wanita. Namun, itu bukan satu masalah bagi pelakon terkenal Ida Nerina Hussain.
Terkenal sebagai pelakon yang versatil, wanita itu menambah cabang kerjayanya yang menuntut hidup penuh aktif sebagai pengarah, penerbit dan terbaru tenaga pengajar dalam program realiti, Akademi Fantasia 7.
Namun, apa yang lebih menarik apabila beliau membuktikan usia tidak pernah membataskan aktiviti lasaknya.
Tahun lalu pada usia 44 tahun, beliau menyertai program Amazing Race Asia musim ketiga bersama teman baiknya, Tania Khan, 37.
Lebih manis, mereka menewaskan banyak pasangan lain yang lebih muda untuk mendapat tempat ketiga. Ujar Ida Nerina mengenai rahsia aktif dan tulang kuatnya ialah senaman yoga dan segelas susu Anlene sehari.
Bagaimanapun, Pesona baru-baru ini menerima khabar dukacita apabila Ida Nerina mengalami kecederaan akibat tergelincir sewaktu menaiki anak tangga di kediamannya di Persiaran Syed Putra, Kuala Lumpur.
|
|
Akibat kemalangan itu, beliau mengalami kecederaan tulang belakang dan perlu menjalani pembedahan.
Walaupun, beberapa akhbar tabloid melaporkan Ida Nerina mungkin lumpuh akibat kejadian itu, bagaimanapun dalam satu pertemuan terbaru media bersama aktres tersebut Selasa lalu mendapati keadaan beliau kini semakin stabil.
Malah, beliau sudah boleh berbicara dan ketawa bersama teman media yang mengunjunginya di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Terima kasih kepada regim kesihatan terbaik yang menjadi amalan wanita jelita itu.
"Saya memang seorang yang aktif dan tidak boleh duduk diam sejak daripada kecil lagi. Sebelum ini pun, tulang pada buku lali kaki dan lutut pernah mengalami keretakan.
"Selepas itu, saya mula menjaga kesihatan dengan mengamalkan yoga pada tahun 2000.
"Tidak semestinya dengan beryoga sahaja seseorang wanita itu akan kekal sihat. Ia perlu diselarikan dengan pengambilan makanan dan minuman kesihatan. Justeru, sebagai tambahan saya mengambil satu cawan susu Anlene setiap hari," ujar Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 2005 sewaktu diajak berkongsi rahsia tubuh sihat dan aktif beliau.
Biarpun usianya telah menginjak 45 tahun, namun kekuatan yang dimiliki wanita berbintang Capricorn itu bukan calang-calang.
Rahsianya adalah penjagaan kesihatan yang diamalkan Ida Nerina setiap hari iaitu yoga dan susu.
"It is about yourself. Bagi saya, penjagaan kesihatan tulang bermula daripada diri kita sendiri.
"Walau sibuk macam mana sekalipun kena ada masa untuk memanjakan tubuh badan," katanya kepada Kosmo!.
Isteri kepada jurutera muzik, Sha'arin Mohammed Razali ini mengakui, tabiat minum susu yang diamalkan setiap hari banyak membantunya kekal sihat dan aktif melakukan pelbagai aktiviti.
|
|
"Bagi Ida, susu pada asasnya adalah makanan berkhasiat yang lengkap dan penting. Ingat lagi masa kecil, seorang Benggali akan datang menjual susu dan mak Ida tidak akan terlepas membelinya untuk anak-anak.
"Sejak itu, Ida sangat suka minum susu," kata anak sulung kepada bekas tokoh politik wanita terkenal, Marina Yusoff itu.
Jelas artis lulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari International University Europe Watford, England itu, susu juga membekalkan kalsium untuk membina dan mengekalkan kesihatan tulang. Ia membantu mencegah osteoporosis.
Justeru, ia perlu diambil bukan sahaja di peringkat kanak-kanak sahaja bahkan, sepanjang hayat.
"Selain itu, pengambilan makanan yang seimbang dan juga senaman yang berterusan amat penting supaya tubuh kekal cergas dan sihat.
"Ida sendiri jarang mengambil nasi. Syukur, suami juga memang menitikberatkan soal kesihatan," katanya yang mempunyai minat yang sama dengan suami iaitu bersenam dan menyelam.
Ida Nerina dan suaminya bekas ahli kumpulan Black Rose mendirikan rumah tangga pada 2 Jun 2006.
Dalam pada itu, Ida Nerina yang sepatutnya berlakon dalam teater Inggeris bertajuk The Good Body arahan Susan Lankester, terpaksa menarik diri kerana kecederaan yang dialaminya.
Selain Ida Nerina, teater tersebut juga dibintangi oleh Joanna Bessey, Samantha Schubert, Joanna Bessey, Bella Rahim dan Anrie Too.
Teater yang diterbitkan oleh Meggie Teoh dan Angie Teoh itu telah dipentaskan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur sejak 18 Jun lalu dan akan berakhir pada 28 Jun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: