Wednesday, June 10, 2009

Farid nekad kembangkan bakat

‘KAMIKAZE!’. Itulah istilah yang digunakan oleh pelakon baru yang sedang meningkat naik, Farid Wari untuk menceburi bidang lakonan. Beliau nekad mengembangkan bakatnya dalam seni lakonan walaupun terpaksa untuk menangguhkan sesi pembelajarannya di universiti.

Farid yang sedang mengikuti kursus Diploma Seni Lakon Layar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) memilih untuk menangguhkan pembelajarannya kerana ingin membina nama dalam industri hiburan tanah air.

“Bukan saya tidak pentingkan pelajaran, tetapi saya cuba untuk mengukuhkan karier saya dahulu sebelum menamatkan pelajaran,” jelasnya kepada wartawan Sinar Harian.

Jelas Farid lagi: “Prinsip saya, sekiranya membuat sesuatu keputusan, saya tidak mahu susahkan sesiapa. Sebab itu saya tangguhkan dahulu (pembelajaran) agar tidak timbul masalah dengan jadual saya, pihak UiTM dan juga produksi yang membuat tawaran.”

Pemuda yang berasal dari Kuala Lumpur ini baru berusia 22 tahun. Beliau yang mengaku masih mentah lagi dalam dunia lakonan menjelaskan bahawa banyak lagi perkara yang perlu dipelajari.

Menurutnya, beliau yang menjadikan Rosyam Nor sebagai idola, mengimpikan untuk menjadi seorang pelakon yang berkarakter dan serba boleh.

Menyoroti bibit-bibit awal penglibatannya dalam dunia lakonan, Farid menjelaskan bahawa beliau menghadiri ‘casting’ untuk sebuah iklan TV. Selepas berjaya membintangi iklan tersebut, barulah beberapa tawaran berlakon untuk drama tempatan muncul.

Terbaru, Farid ditawarkan untuk membintangi filem arahan pensyarahnya yang juga pengarah terkenal, Prof A Razak Mohaideen yang bertajuk 4 Madu terbitan LineClear Motion Pictures.

”Walaupun hanya melakonkan satu babak sebagai ah long, saya perlu memberikan impak yang mendalam untuk menggerakkan keseluruhan cerita,” tegasnya sambil menyatakan 4 Madu merupakan filem pertamanya.

Julai ini, telemovie terbaru lakonannya, ‘Mohd Jackson’ dan juga telemovie arahan Othman Ali, Cinta Lima Bintang akan ditayangkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: