Selepas julung kalinya memegang watak utama di layar perak menerusi filem Belukar yang akan ditayangkan pada awal tahun 2010, pengacara dan aktres jelita, Daphne Iking, 31, ingin membawa watak baru yang disulami dengan peranan berbeza. Tutur penolong produser dan hos rancangan The Breakfast Show di ntv7 itu, dia amat ‘dahagakan’ kelainan untuk lebih mengasah bakatnya dalam bidang lakonan.
”Saya tidak mahu memegang watak stereotaip. Saya ingin mencari cabaran baru dan lebih menyeluruh. Saya juga ingin mencurahkan apa-apa yang baru.
”Saya ingin jadi seperti Jennifer Aniston, yang selalu cari kelainan dari segi watak. Tetapi, saya masih terbuka untuk menerima sebarang tawaran berlakon,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra pelakon-pelakon filem Belukar di Hard Rock Cafe baru-baru ini.
Di dalam filem Belukar, Daphne memegang watak sebagai Eva, seorang wanita Sabah yang merupakan penipu insurans profesional.
Mengulas lanjut tentang watak itu, kata Daphne, Eva sebenarnya merupakan mangsa yang terperangkap di dalam situasi tertentu. Namun begitu, katanya, watak Eva itu amat kontra dengan personalitinya yang sebenar.
Sebagai contoh, kata Daphne, untuk salah satu adegan, dia tidak berani untuk terjun dari sebuah jeti sehinggalah terpaksa ditunjukkan dulu caranya oleh pengarahnya, Jason Chong.
Apabila menyentuh isu rumah tangganya yang dikatakan sedang dilanda gelora, beliau akui perkara itu ada kebenarannya.
“Dia (suami) selalu ke China atas urusan perniagaan dan saya sering sibuk dengan penggambaran program TV dan filem. Oleh sebab kami jarang berjumpa,” jelasnya.
Daphne menambah: “Bagaimanapun kami masih lagi suami isteri. Saya mesti percaya pada hubungan kami dan selalu berdoa agar hubungan kami berkekalan.”
Menurutnya, sebagai seorang wanita, bidang seni tidak kiralah sebagai penyanyi, pelakon, penyampai atau apa sekali pun, cabaran dan dugaan yang datang amat berat. Pasangan seharusnya memahami kerjaya masing-masing.
Ditanya tentang projek terbarunya selepas ini, ibu kepada Isobel Daniella Iking-Chong yang kini berusia setahun setengah menjelaskan bahawa beliau cuba untuk meluangkan lebih banyak masa bersama anak perempuannya itu dan suaminya, Ryan Chong yang kini berada di Beijing, China.
”Dia membesar dengan begitu cepat. Saya ingin mengajarnya supaya fasih dalam bahasa Melayu terutama dalam fasa pembesaran kini,” katanya
Tambah Daphne, anak perempuannya itu agak lasak dan nakal.
”Isobel amat meminati muzik dan suka menari. Maklumlah saya masih menari dan menyanyi semasa mengandungkannya,” kata Daphne yang turut tercalon di dalam kategori ‘Favorite TV Host’ dan ‘Hot Chick’ di Shout! Awards anjuran 8TV.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: