PERTAMA sekali, Papa ingin mengucapkan tahniah kepada juara One In A Million musim kedua (OIAM 2), Ayu yang baru sahaja melancarkan album pertamanya, Inspirasi.
Jangan tak tahu. Papa sudah pun membeli album berkenaan dan kalau nak tahu, semua lagu-lagu dalam album itu memang bagus dan sedap didengar terutama lagu-lagu baladanya.
Sememangnya kekuatan vokal Ayu terletak kepada penyampaian lagu-lagu balada dan tiga lagu dalam album itu yang Papa suka adalah Inspirasi, Cinta dan Hidup serta Ku Miliki Abadi.
Vokal Ayu dalam album itu pun sudah banyak berubah dan kedengaran cukup matang. Malah, kalau mendengar kali pertama, pasti ramai yang tidak menyangka itu adalah suara Ayu.
Seharusnya Ayu bersyukur kerana dikurniakan dengan bakat yang tersendiri dan imej barunya pun memang sesuai dengan dirinya.
Namun, bukan itu yang mahu Papa ulas lanjut.
Sebaliknya adalah sikap Ayu yang Papa rasa tidak menunjukkan sebarang perubahan terutama sekali apabila berdepan dengan wartawan.
Bukan apa. Ada teman Papa yang berkulit gebu dan mulus mengadu kepada Papa, dia agak terkilan dan kurang berpuas hati dengan cara Ayu memberikan jawapan kepada soalan-soalannya.
Katanya, Ayu seolah-olah tidak serius dan tidak tahu apa yang diperkatakannya. Padahal syarikat rakamannya, Monkey Bone sudah pun menyediakan tutor untuk Ayu bagi mengajarnya cara berkomunikasi sebaik sahaja bergelar juara OIAM 2.
Bukan itu sahaja. Apabila disuruh untuk memberikan pose yang menarik ketika penggambaran, Ayu bagaikan mengeluh dan mengatakan begitu sukar sekali untuk bergaya di depan kamera.
Tidak bolehlah macam tu Ayu. Awak masih muda dan waktu inilah untuk awak belajar dan membuat pemerhatian. Kenalah rajin bertanya dan membaca kerana semua itu untuk kebaikan diri awak juga.
Sayang sekali sebab awak ada bakat tetapi kalau ia tidak selari dengan disiplin serta komitmen untuk menjadi seorang artis yang baik, alamatnya memang susah untuk awak kekal lama dalam industri.
Papa harap kalau Ayu membaca ruangan ini, anggaplah ia sebagai satu teguran untuk Ayu dalam membentuk diri menjadi seorang penyanyi yang baik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: