Datuk Siti Nurhaliza singgah gedung tekstil Jakel, tinjau fabrik sesuai untuk digayakan pada Konsert Eksklusif Satu pada 26 Jun
SEHELAI demi sehelai fabrik dari pelbagai corak dan warna disusun di depan matanya menanti untuk dipilih. Sambil melihat majalah fesyen di tangan, sesekali penyanyi tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza meminta pandangan pengurusnya, Rozi apakah fabrik yang terbentang di depan matanya itu bersesuaian dengan konsep yang diinginkan.
Bukan saja pandangan dari pengurusnya yang diperlukan tetapi si pelantun Di Taman Teman ini turut mendapat nasihat dua pereka terkenal iaitu Amir Luqman dan Rizman Ruzaini corak atau jenis fabrik yang sesuai untuk digayakan pada malam Konsert Eksklusif Satu yang akan dijayakannya pada 26 Jun depan selama tiga hari di Istana Budaya.
Melihat kepada himpunan tekstil yang dilambakkan di depan matanya, tidak dinafikan Siti memang bertuah. Bukan saja nampak cantik dan berada di kelas tersendiri, tetapi harga yang dipamerkan bukan calang-calang.
Semuanya mencecah ratusan ribu ringgit memandangkan kebanyakan fabrik yang dipilih adalah rekaan terkini dan dihiasi jemeki dari batu swarovski dan perincian seperti itu amat sesuai dengan konsert Siti yang cukup eksklusif itu.
Itulah dia Siti Nurhaliza, bukan saja kesungguhannya dalam melakukan sesuatu kerja tetapi juga begitu menjaga penampilan supaya sentiasa nampak bergaya. Dan apa yang lebih penting, semua itu ditaja oleh gedung tekstil ternama Jakel Kuala Lumpur yang terletak di kawasan Jalan Masjid India.
Hampir sejam melihat dan memilih, barulah Siti berjumpa dengan apa yang berkenan di hati dan kini tugas seterusnya diserahkan kepada dua pereka tadi untuk menjadikan fabrik yang dipilih tadi sebagai busana yang indah apabila dipakai menjelang konsert Satu nanti.
“Alhamdulillah, untuk konsert ini Siti menerima maklum balas yang begitu banyak terutama dari soal penajaan. Dari segi pakaian misalnya, Jakel Kuala Lumpur begitu bermurah hati untuk menaja fabrik mewah dan terkini.
“Siti juga akan menggunakan khidmat tiga pereka yang sudah biasa bekerjasama dengan Siti sebelum ini seperti Rizman Ruzaini, Amir Luqman dan Michael Ong. Setiap mereka akan menghasilkan pakaian mengikut konsep konsert Siti pada malam itu,” katanya.
Menurut Siti, setiap pereka sudah ditetapkan segmen masing-masing dan dia menyerahkan bulat-bulat mengikut kreativiti mereka.
“Mereka yang dipilih menjayakan projek ini semuanya pernah bekerjasama dengan saya dan saya tahu hasil kerja mereka. Begitu pun, untuk mendapatkan hasil yang terbaik, kami berbincang dan berkongsi idea. Mana yang terbaik, itulah yang kami lakukan,” ujar Siti.
Mengulas rekaan yang ditampilkan untuk Siti, Amir berkata untuk menghasilkan pakaian penyanyi terkenal itu, dia perlu mengenali karakter Siti dan lagu nyanyiannya.
“Tugas kali ini memang mencabar kerana saya perlu menghasilkan pakaian berdasarkan kesesuaian rentak lagu yang dinyanyikan Siti. Jika pereka lain lebih gemar membuat lakaran awal pakaian yang direkanya tetapi saya lebih gemar mengenali Siti menerusi perwatakan serta lagu nyanyiannya.
“Berdasarkan elemen itu barulah ilham saya datang dan menterjemahkan semua itu menjadi sehelai pakaian yang menarik serta bersesuaian dengan konsep konsert serta imej Siti ketika ini. Setiap pakaian yang saya reka juga akan disediakan dengan kasut berkonsepkan adi busana (couture). Semua rekaan itu adalah eksklusif untuk Siti.
“Sementara dari segi pemilihan warna pula, saya menggunakan warna yang bersesuaian dengan kulit Siti seperti keemasan, merah serta merah dan hitam,” cerita Amir yang sebelum ini banyak bekerjasama dengan Siti untuk majlis pelancaran album serta sesi fotografi.
Berbeza dengan Amir, Rizman menjelaskan rekaannya untuk Siti pada malam itu adalah berkonsepkan tradisional.
“Pun begitu, konsep tradisional yang dipilih lebih ke arah kontemporari. Tidak ada sanggul seperti kelaziman dan ia adalah gabungan timur dan barat serta dilengkapi pelbagai aksesori. Pun begitu sentuhan kemelayuan tetap ada dan warna yang dipilih adalah tembaga keemasan,” kata Rizman yang cukup bangga dan teruja apabila berpeluang berkolaborasi dengan Siti untuk Konsert Satu ini.
Tiket konsert laris
BARANGKALI tentu ada yang skeptikal apakah Siti mampu menghasilkan sebuah persembahan menarik selepas dia muncul dengan imej berselendang. Dan tentunya juga ada yang tertanya-tanya apakah Siti berjaya mengembalikan semula nostalgia peminat yang begitu mengagumi konsert Mega Siti Nurhaliza di Bukit Jalil yang dijayakannya sekitar lapan tahun lalu.
Ketika diajukan persoalan ini kepada si empunya diri, Siti berkata apa yang akan dilakukannya dalam konsert ini sudah pasti berbeza dan dia yakin konsep teaterikal yang ditonjolkan nanti mempunyai keistimewaan tersendiri serta mampu menarik minat ramai.
“Sudah pasti saya tak akan mengulangi apa yang pernah saya buat dalam konsert ini. Cuma apa yang ingin saya tekankan, ini adalah konsert pertama di mana saya akan menyanyikan lagu saya sendiri dan konsep teaterikal yang diperkenalkan adalah lain dari yang lain.
“Dari segi persembahan, saya akan menari jika lagu yang dinyanyikan itu adalah lagu rancak. Memandangkan konsep ini adalah berbentuk teaterikal, persembahan saya nanti diiringi dengan visual, simbahan cahaya yang mengikut mood irama lagu yang didendangkan,” ujar Siti.
Memandangkan tarikh konsert yang akan mengetengahkan Aubrey Suwito ini sudah semakin menghampiri, Siti berkata latihan intensif sedang giat dijalankan.
“Sebelah pagi Siti menjalani latihan nyanyian manakala di sebelah petang pula Siti memperuntukkan masanya untuk berlatih menari. Selain itu, Siti juga melakukan senaman untuk meningkatkan stamina.
“Maklum sajalah Siti pun sudah lama tidak mengadakan konsert apatah lagi konsert ini yang akan menampilkan Siti secara solo tanpa penyanyi undangan lain,” ujarnya.
Dek kerana sudah lama tidak mengadakan konsert solo, konsert amal yang dianjurkan Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd ini nampaknya mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada peminat penyanyi bervokal mantap apabila tiket bernilai RM80, RM120, RM180, RM250 sudah habis terjual.
“Yang tinggal ketika ini adalah tiket bernilai RM300. Siti berharap mana-mana peminat yang ingin menyaksikan konsert ini, bolehlah membeli tiket sementara masih ada. Walaupun berkemungkinan konsert ini dirakamkan dalam bentuk VCD atau DVD tapi ia takkan sama dengan melihatnya secara live di atas pentas,” kata Siti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: