Wednesday, January 28, 2009

Remy, Ummi ada apa-apa ke?

SEWAKTU Papa menghadiri majlis pelancaran butik dan kafe milik pelakon jelita, Umie Aida dan adiknya, Betty baru-baru ini, Papa nampak ramai jugalah artis yang hadir memberi sokongan dengan berpakaian merah dan hitam mengikut tema majlis berkenaan.

Yelah, kalau rakan artis sesama sendiri yang tidak menyokong siapa lagi kan. Memang meriahlah majlis tu dan lebih istimewa lagi, setiap tetamu membawa pulang sebuah bekas tisu berbentuk bibir berwarna merah lagi seksi.

Sedang asyik berbual dengan rakan-rakan Papa, tiba-tiba Papa terpandang kelibat pelakon kacak yang kini semakin menempa nama, siapa lagi kalau bukan Remy Ishak yang turut hadir pada malam itu.

Pada waktu itu, Remy sudah berangkat pulang tetapi, dia tidak pulang seorang diri sebaliknya ditemani oleh seorang pelakon wanita, Ummi Nazeera.

Kemudian, seorang kawan Papa yang comel dan gebu pun membuka cerita apabila dia berbual seketika dengan Remy sewaktu sedang makan malam pada majlis itu.

Remy memberitahu dia hadir lewat ke majlis kerana sedang menjalani penggambaran drama di Tampin, Negeri Sembilan.

Lantas, kawan Papa bertanyakan kepadanya adakah dia hadir seorang diri dan Remy menjawab dia datang dengan seorang kawan.

Kebetulan pada waktu itu, Ummi melintas di depannya dan terus kawan Papa itu tadi bertanya kepadanya, “Adakah kawan yang awak maksudkan itu Ummi?” tanya kawan Papa kepada Remy.

Pelakon bertubuh tegap itu tidak menjawab tetapi sebaliknya, hanya melemparkan sekuntum senyum penuh makna dan berlalu pergi.

Menariknya, Remy dan Ummi masing-masing berpakaian mengikut tema pada malam itu. Remy memakai kemeja berkotak merah manakala Ummi pula dengan gaun pendek hitam di bawah paras lutut.

Hai, ada apa-apa ke Remy dan Ummi? Yelah, Remy dan Ummi pun masing-masing masih solo dan sejak masuk dalam dunia seni, tidak pernah pula dengar masing-masing ada hubungan dengan sesiapa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: