|
|
Konsep adiwira atau superhero adalah watak yang mulanya dikembangkan oleh komik. Watak ini mulanya mengambil ilham daripada kekuatan Hercules sebagai gambaran positif seorang adiwira.
Watak adiwira yang memiliki definisi sebenar dengan kekuatan yang luar biasa adalah watak Superman atau Clark Kent daripada buku komik tersebut yang terbit pada 1938.
Komik mempunyai kelebihannya yang tersendiri dalam mengemukakan konsep adiwira ini berbanding medium yang lain disebabkan komik mampu mengangkat elemen fantastik pada tahap atau peringkat realisme yang sama yang dianggap sukar diterima dalam medium lain dengan tidak dilihat membodohkan.
Umpamanya watak adiwira ini yang memakai kostum yang kelihatan ganjil tidak kelihatan aneh sebaliknya normal pada panel lukisan komik berbanding medium yang lain.
Malah kemunculan watak adiwira dengan kostumnya yang tersendiri yang berbeza dengan watak-watak yang lain sebenarnya kelihatan “melucukan” dalam medium filem atau televisyen sendiri.
Di sini komik mempunyai kelebihan dalam mengangkat elemen realistik dan non-realistik secara seimbang.
Dengan kekuatan fizikal yang ada pada watak adiwira ini, maka adiwira selalunya lahir dengan matlamat yang tersendiri, umpamanya watak Superman mempunyai matlamat mempertahankan orang yang tertindas.
Pada awalnya watak-watak adiwira dalam naratif genre adiwira digambarkan sebagai adiwira dengan ideologi untuk orang-orang biasa pada era kemerosotan ekonomi.
Hero-hero ini menentang ahli politik dan kerajaan yang menekan dan korup, syarikat perniagan yang tamak dan selalunya mengutamakan kebajikan masyarakat daripada tekanan kuasa-kuasa jahat tersebut.
Bagaimanapun selepas perang dunia kedua ideologi adiwira ini mulai berubah, imej orang biasa itu telah bertukar kepada gambaran imej Amerika dalam menentang tekanan, militerisme dan penentangan daripada kuasa-kuasa jahat.
Kemudian watak-watak adiwira ini meneruskan ideologi perjuangan anti-komunisme, cuba mencegah perang atom dan juga penguasaan kapitalisme.
Dalam konteks masyarakat Melayu konsep watak adiwira sebenarnya telah wujud dalam penceritaan tradisi atau cerita penglipur lara.
Watak-watak seperti Badang, Hang Tuah malah wira-wira seperti Awang Sulung merah Muda atau Malim Deman adalah watak-watak adiwira yang mempunyai kemahiran dan kekuatan fizikal yang luar biasa.
Bukan itu sahaja watak-watak ini lahir dalam suasana yang luar biasa. Tetapi watak superhero dalam penceritaan tradisi Melayu ini berbeza dengan watak adiwira barat dari segi penampilan dan juga ideologi.
Sementara watak adiwira Melayu ini masih kekal dalam bentuk yang tradisinya dalam hikayat-hikayat, tetapi watak adiwira Barat yang lahir kemudian dalam bentuk komik telah meneruskan “kehidupannya” dalam medium yang lain seperti filem.
Sebenarnya perkembangan teknologi perfileman telah membantu kepada kebangkitan semula watak-watak adiwira ini bermula dengan Superman dan kemudian diikuti oleh Batman.
Cicak-Man 2 sebenarnya meneruskan kisah daripada filem Cicak-Man (2006). Watak Cicak-Man iaitu adiwira dalam filem ini adalah Hairi (Saiful Apek) yang memperoleh kekuatan dan kuasa luar biasa dengan tabiat seperti sifat cicak adalah kesan daripada kesilapan yang berlaku semasa ujian Danny (Yusri Abdul Halim yang telah meninggal dunia dalam Cicak-Man pertama) dalam makmalnya.
Seperti yang pernah saya tulis tentang filem Cicak-Man yang awal dahulu, watak adiwira ini tidak lahir dari tradisi komik sepertimana watak-watak adiwira Barat seperti Superman, Batman atau Spider-Man.
Plot yang nipis
Malah Cicak-Man juga bukan kesinambungan daripada cerita-cerita tradisional penglipur lara Melayu. Cicak-Man hanyalah peniruan total daripada watak-watak adiwira Barat.
Tetapi Cicak-Man juga tidak mengangkat satu kerangka pemikiran yang jelas tentang apa yang dimahukannya.
Bukan sahaja watak adiwira Cicak-Man ini tanpa matlamat yang jelas, malah watak musuhnya atau watak ‘villain’ yang penting iaitu Professor Klon (Aznil Haji Nawawi) yang muncul semula juga tidak mempunyai ideologi yang jelas.
Dalam naratif adiwira Barat watak musuh adiwira bukanlah jahat dalam erti kata sebenar tetapi satu watak dengan identitinya yang tersembunyi yang asalnya mempunyai niat yang baik tetapi kerana obsesinya menyebabkan tindakannya memberikan kemudaratan kepada orang ramai.
Professor Klon mewakili salah satu ‘Supervillain’ yang lazim terdapat dalam genre adiwira ini iaitu watak saintis gila. Dalam konteks naratif watak supervillain ini selalunya bersifat proaktif dengan mengemukakan pelbagai tindakan gila dan kemudian akan mendapat tindak balas daripada hero yang sebenarnya mewajarkan tindakan keras dan ganas si adiwira.
Oleh itu sering juga dilihat bahawa musuh adiwira yang hebat dan luar biasa kuatnya adalah dicipta sebagai reaksi daripada luar biasaan yang ada pada adiwira.
Kemunculan Professor Klon kali ini dengan usaha untuk mencemarkan air dan kemudiannya menukar bumi menjadi hitam. Pembantu Professor Klon kali ini adalah Rrama (Tamara Blezynsky) seorang wanita dengan kekuatan luar biasa dan dilengkapkan dengan motosikal berkuasa tinggi.
Manakala watak Gingerman muncul dalam bentuk bayangan tetapi masih mampu membahayakan Cicak-Man.
Filem Cicak-Man 2 arahan Yusri Abd. Halim ini bergerak atas plot yang nipis sekadar menyambung kisah hero itu yang dahulu. Tidak ada usaha Yusri untuk mengubah plotnya menjadi lebih kompleks dengan paparan matlamat Professor Klon yang jauh lebih hebat dan perwatakan yang lebih bijak.
Malah kemunculan Rrama tidak dijelaskan asal usulnya serta tujuannya selain daripada menjadi rakan kepada Professor Klon, dan bagaimana hubungan antara mereka berdua boleh berlaku juga tidak dijelaskan.
Adegan perlawanan antara Cicak-Man dan Rrama serta Professor klon untuk menyelamat Iman (Sharifah Amani) yang dicolek oleh Rrama hanya bising hasil daripada kesan bunyi tetapi tidak menyerlah pada aspek visualnya.
Watak Cicak-Man menjadi lemah kerana tidak ada keseriusan pada watak Hairi yang menyedari sifat luar biasa yang ada padanya dan bagaimana kuasa yang ada padanya dapat digunakan untuk membantu orang ramai.
Ini kelemahan yang ketara dan tidak seharusnya berlaku dalam Cicak-Man 2. Tanpa plot yang menarik, filem ini cuba bergantung pada imej dan kesan khas yang dijana melalui bantuan teknologi imej janaan komputer.
Bagaimanapun IJK dalam Cicak-Man 2 terasa kurang berkesan berbanding terdahulu. Inilah cabaran yang harus dilalui bagi sebuah filem genre adiwira yang bergantung pada kekuatan IJK.
Penonton sentiasa menuntut kesan dan imej yang jauh lebih hebat yang mungkin boleh menyelamatkan filem itu jika jalan ceritanya begitu lemah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: