ALOR GAJAH - Sukar untuk percaya, namun dengan hanya RM1 anda mampu membeli sehelai pakaian bundle di kedai bundle ‘Habib Store’ yang terletak di Pekan Tebong Stesyen, Alor Gajah.
Habib Store beroperasi sejak dua minggu lalu bukan sahaja menjual pelbagai pakaian bundle seperti kot, baju T, blause, selendang, apron dan lain-lain lagi malah turut menjual cadar, selimut, toto dan langsir dengan harga RM1.
Pemilik kedai, Mohd Yusof Satardin, 65, lebih dikenali sebagai Pak Habib berkata, inisiatif membuka kedai pakaian itu bertujuan memberi kemudahan kepada penduduk kampung termasuk masyarakat Orang Asli di kampung berkenaan, untuk membeli pakaian dengan harga murah dan sehingga kini terdapat lebih 2,000 pakaian ada di kedainya.
Menurutnya, walaupun pakaian dijual pakaian bundle namun terdapat juga pakaian baharu selain beberapa jenama terkenal seperti Guess, Levis, Renoma, Adidas, Ralph Lauren, Zara, Giordano dan lain-lain yang terdiri dari pelbagai saiz dan peringkat umur daripada bayi hingga dewasa.
Katanya, sambutan yang diterima begitu menggalakkan dan kedainya sering menjadi tumpuan ramai terutama pada hari Jumaat malam Sabtu, kerana ketika itu dia akan membelah atau dipanggil memecah guni bundle dari Jepun.
“Jika bernasib baik pelanggan dapat memilih baju yang cantik serta berkualiti.
“Bagi saya RM1 sudah mampu beri keuntungan kepada saya. Lagi pun di sini belum ada kedai yang menjual pakaian dan jika penduduk ingin beli baju di bandar Melaka mereka terpaksa menempuh perjalanan lebih 30 kilometer.
“Sejak beroperasi di sini saya gembira bila pelanggan pelbagai peringkat umur termasuk Orang Asli membeli di sini. Mereka juga gembira dengan adanya kedai bundle ini,” katanya.
Berniaga secara jujur
Penjual bundle juga sebenarnya berdepan dengan risiko kemungkinan pakaian yang terdapat dalam guni terkoyak, buruk dan sebagainya namun itu bukan alasan untuk mengambil kesempatan terhadap pelanggan dengan menjual pakaian tersebut.
Pak Habib berkata, setelah guni bundle dibuka dia akan mengasingkan pakaian mengikut kategori termasuk mengasingkan pakaian terkoyak supaya pelanggan berpuas hati dan tidak rasa tertipu.
Menurutnya, kehidupannya yang sukar sebelum ini mengajar untuk menjadikan dirinya lebih jujur, lebih-lebih lagi melihat masyarakat yang sederhana dan berpendapatan rendah datang ke kedainya untuk membeli pakaian.
“Jauhila sikap menipu, jika baju itu memang koyak, kita perlu beritahu. Jika pelanggan mahukan juga saya tidak akan menghalang.
“Kasihan, mereka yang datang kebanyakan berpendapatan sederhana dan dalam keadaan ekonomi semasa saya harap dapat membantu lebih ramai untuk membeli pakaian dengan harga berpatutan,” katanya.
Hasil jualan sara lima anak
Dia yang memulakan perniagaan bundle pada 1986 bersyukur dan percaya rezeki ALLAH SWT begitu luas dan kerana hasil menjual pakaian bundle, dia bukan sahaja dapat mengerjakan umrah malah dapat menyara lima anaknya termasuk dua yang bekerja sebagai jurutera.
Pak Habib berkata, pada ketika itu, kehidupannya begitu sukar dan dia kemudian mendapat idea untuk menjual baju bundle setelah dia membeli pakaian bundle untuk anaknya.
“Ketika itu saya ambil upah tanam pokok akasia dan bertemu dengan seorang peniaga bundle di Jasin sebelum membeli baju untuk anak-anak.
“Bila pulang ke rumah saya melihat anak gembira dan kualiti baju pun bagus sebelum bertemu dengan penjual itu semula. Saya belajar jual pakaian bundle dengan dia,” katanya.
Tambahnya, tanpa mempunyai kedai dia membeli seguni bundle dengan harga RM380 dan menjual di depan rumah.
“Alhamdulillah sambutan baik ketika itu dan saya turut berkongsi berniaga pakaian bundle dengan seorang anak lelaki saya,” katanya.
Sementara itu pelanggan, A Darmaselen, 60, berkata, dia menyambut baik pembukaan kedai bundle di kampung itu, sekali gus membantu penduduk lebih berjimat.
Menurutnya, pakaian yang terdapat di kedai berkenaan bukan hanya murah malah pelbagai termasuk jaket, baju sejuk dan sebagainya.
“Senang membeli di sini, kalau saya ingin membeli seluar saya akan minta Pak Habib mengukur pinggang saya untuk mudahkan mencari saiz sesuai dengan saya,” katanya.
Bagi Nur Faradilla Mohamad, 26, dia berasa tertarik untuk berkunjung kerana terdapat juga pakaian yang berjenama.
“Cuma yang penting kena pandai memilih dan mencari dalam longgokan pakaian yang bertimbun-timbun,” katanya
.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: