"WAKTU bersamamu banyak benar
Kenangan yang kita ciptakan bersama…
Dan satu darinya ungkapan syahdu
Bahawa aku tak kan kehilangan mu..."
ITULAH antara bait-bait lagu Ramalanku Benar Belaka yang melonjakkan nama kumpulan Umbrella di persada muzik pada 1995.
Lagu yang dipetik dari album pertama Seribu Rahmat terjual hampir 100,000 unit.
Bahkan sehingga kini, ia masih menjadi lagu berhantu di kalangan anak muda.
Namun kedatangan kumpulan-kumpulan baharu sekitar awal tahun 2000, sedikit sebanyak telah menenggelamkan nama kumpulan ini.
Biarpun cuba beberapa kali kembali di dalam industri, namun nama Umbrella hanya  dikenali menerusi lagu tersebut dan lagu Bukalah Hatimu, yang juga dari album pertama.
Bagaimanapun program hiburan, Gegar Vaganza musim ketiga nampaknya telah berjaya menarik vokalis kumpulan tersebut, Zarul untuk kembali di dalam industri seni.
Masih kacak biarpun pada usia 43 tahun, Zarul atau nama sebenarnya, Zairulkeifli Husin berkata, dia sebenarnya sudah dilamar menyertai program itu sejak musim pertama lagi.
"Komitmen kerja pada ketika itu membuatkan saya rasa agak sukar untuk menyertai program ini.
"Apatah lagi ketika itu syarikat dalam proses membuat keputusan untuk membuang dan mengekalkan pekerja.
"Jadi saya rasa tidak sesuai untuk saya meminta cuti dan sebagainya.
"Namun selepas segala-galanya selesai, saya memberanikan diri untuk meminta cuti tanpa gaji selama sebulan dari syarikat, bagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap program ini," katanya yang berkhidmat bersama Malaysia Airlines (MAS) sejak 16 tahun lalu sebagai pramugara.
Zarul berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi, namun hanya berharap dapat membuat yang terbaik sepanjang program ini berlangsung bermula 16 Oktober ini.
Katanya, dia bagaimanapun membuat sedikit persediaan bagi memastikan mempunyai stamina untuk melakukan persembahan kelak.
"Saya tidak berani untuk berjanji apa-apa. Kata orang ikut apa yang diaturkan. Tapi saya akan cuba yang terbaik," katanya yang tidak lokek dengan senyuman.
Ditanya adakah penyertaannya di dalam program ini memberi bayangan Zarul akan kembali aktif, bapa kepada seorang cahaya mata ini berkata, ada perancangan untuknya kembali aktif dalam bidang seni.
"Tidak dinafikan saya ada merancang beberapa kali untuk kembali aktif, namun faktor komitmen dengan kerjaya sebagai pramugara membuatkan saya terpaksa membatalkan hasrat itu.
"Apa yang boleh saya katakan, saya bergantung dengan keadaan. Jika keadaan mengizinkan saya akan meneruskannya.
"Tapi buat masa ini, saya belum ada perancangan lagi untuk meninggalkan kerjaya sebagai pramugara. Kita tunggu dan lihatlah bagaimana nanti.
"Buat masa ini fokus saya hanya untuk program ini terlebih dahulu," katanya yang turut menegaskan, kumpulan Umbrella masih belum berkubur, biarpun mereka sukar untuk tampil bersama.