PELAKON versatil, Datuk Jalaludin Hassan, mengakui tidak pernah menyangka dia masih lagi berada dalam industri selepas lebih dua dekad bergelar anak seni.
Biarpun ramai pelakon baru hadir silih berganti, namun  namanya masih lagi mendapat perhatian dan menjadi sebutan sehingga ke hari ini.
Memulakan kerjaya seninya sekitar hujung 1980-an menerusi sitkom popular Santan Berlada, Jalaludin kini telah berlakon hampir 100 buah drama dan filem.
Meskipun begitu sinonim dengan watak lelaki romantik dan penyayang, anak kelahiran Kuala Lumpur tidak menolak untuk menjayakan pelbagai karakter lain termasuk antagonis.
“Bukan mudah untuk berada di mana tempat saya berdiri sekarang ini. Apatah lagi untuk orang yang tidak ada ilmu dalam bidang lakonan macam saya ini.
"Saya hadir ke uji bakat semata-mata atas dasar minat dan semangat ingin mencuba. Saya memberanikan diri walaupun saya tahu peluang untuk saya mungkin tidak sebesar orang lain yang jauh lebih baik daripada saya.
“Namun mungkin tekad keberanian itu, saya mendapat peluang dan berjaya dalam uji bakat. Kejayaan itu membuatkan wujud satu semangat dalam diri saya untuk melakukan yang terbaik dalam bidang ini.
"Dari situ saya berusaha belajar dan mencari ilmu untuk memperbaiki lakonan saya. Saya tidak mahu ketinggalan dari rakan-rakan pelakon yang lain.
"Alhamdulillah lakonan pertama yang menampilkan saya sebagai hero menerusi drama Dian mendapat pujian ramai ramai,” imbasnya yang banyak mendapat tunjuk ajar daripada pelakon senior Allahyarham Datuk Aziz Singah.
Menurut Jalaludin lagi, penglibatan awalnya dalam bidang seni pada mulanya mendapat tentangan daripada keluarganya yang mempunyai latar belakang Islamik di mana bapanya, Tan Sri Hassan Azhari merupakan tokoh guru Al-Quran yang ternama.
“Awalnya memang ada sedikit tentangan daripada keluarga saya. Mereka terkejut kerana saya memilih untuk menceburi bidang seni walaupun sebelum itu saya sudah mempunyai pekerjaan yang stabil sebagai seorang penyelia di sebuah syarikat swasta.
"Namun selepas saya memenangi anugerah Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Sri Angkasa menerusi drama Jejak Perantau di mana ketika itu saya bergandingan dengan pelakon kegemaran saya, Datuk Rahim Razali, keluarga akhirnya dapat menerima.
“Bapa saya menyatakan restu dan sokongannya kepada saya jika itulah kerjaya yang saya pilih untuk menyara keluarga. Ketika menceburi bidang lakonan, saya telah pun berkahwin dan mempunyai tiga orang anak.
"Paling saya tidak dapat lupa apabila dia memberi pesan agar saya tidak melupakan agama walau apa pun kerjaya yang saya pilih. Kata-kata itu menjadi azimat buat saya sehingga ke hari ini,” katanya.
Belajar Dari Kesilapan
Pelakon yang bakal tampil dengan filem terbaru lakonannya, Desolasi tidak lama lagi ini turut mengakui terlalu banyak cabaran yang pernah dilaluinya sebagai anak seni.
“Cabaran pertama semestinya untuk memberikan yang terbaik dalam segala kerja yang kita lakukan. Jadi saya berusaha untuk mengatasi kelemahan dalam lakonan.
"Bayangkanlah saya  daripada tidak tahu tahu apa-apa datang bersaing dengan orang yang sudah berpengalaman. Jadi saya perlu bekerja dua kali ganda lebih dari orang lain.
"Saya banyak terhutang budi dengan nama-nama seperti Kamarul AR, Datuk Nordin Hassan, Zakaria Hussain dan ramai lagi yang membantu saya untuk menjadi lebih baik dalam lakonan.
“Cabaran kedua adalah apabila saya sudah dikenali ramai dan mempunyai ramai peminat, saya mengalami kejutan budaya. Saya hanyut seketika dengan kemilau glamor yang dilalui sehingga saya tanpa sengaja telah melukakan hati isteri saya.
"Namun Alhamdulillah berkat doa isteri dan keluarga saya tersedar dari kesilapan itu dan kembali berpijak di bumi yang nyata. Kesilapan itu saya jadikan panduan untuk menjadi manusia yang lebih baik selepas itu,” katanya yang pernah mengacarakan program Who Wants To Be a Millionaire.
Biarpun sudah mempunyai nama yang besar di dalam industri dan aktif dalam lakonan komersial, Jalaludin dilihat sentiasa memberikan sokongan kepada aktiviti seni dan budaya. Malah beliau mengakui cukup aktif dalam pementasan bangsawan.
“Saya cukup meminati teater bangsawan kerana ia merupakan salah satu daripada seni budaya bangsa kita. Jadi biarpun sibuk dengan tawaran berlakon drama dan filem, saya sentiasa cuba cari masa untuk terlibat dalam pementasan bangsawan.
"Biarpun hanya sebagai pelakon jemputan untuk satu atau dua babak, saya tidak ada masalah untuk menerimanya. Malah saya pernah berlakon tanpa sebarang bayaran semata-mata untuk menyokong rakan-rakan yang cuba mengangkat teater bangsawan untuk lebih ke depan,” akuinya yang mempunyai kumpulan teater bangsawan sendiri iaitu Kumpulan Hidayah.
Menyentuh tentang pengalamannya bekerja dengan bakat-bakat baru hari ini, Jalaludin menyifatkan diri sebagai bertuah kerana berpeluang untuk berlakon dengan generasi baru dari pelbagai peringkat umur.
“Saya tidak ada masalah bekerjasama dengan bakat-bakat baru hari ini. Meskipun kadang-kala ada sedikit perbezaan cara bekerjasama dan sebagainya kita selesaikan dengan cara yang terbaik.
"Sebagai pelakon yang lebih senior, saya seharusnya memberikan contoh yang terbaik buat mereka dalam apa juga perkara,” katanya lagi.