Tuesday, October 4, 2016

'Pagari Bulan' Terbitan Pekin Ibrahim Ditayang Di Kazakhstan



Pekin Ibrahim
PETALING JAYA: Filem pendek terbitan pelakon Pekin Ibrahim berjudul Pagari Bulan menerima penghormatan apabila dipilih untuk tayangan perdana sempena Festival Filem Antarabangsa Eurasia Edisi Ke-12 (Eurasiaiff) di Almaty, Kazakhstan.
Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 35, berkata, pemilihan filem pendek tersebut untuk ditayangkan di peringkat antarabangsa itu mampu membantu dunia melihat kehidupan budaya dan amalan segelinitr kaum di negara ini.
Pagari Bulan memaparkan tentang isu budaya kaum Bajau Laut yang jarang didengar oleh orang kita sendiri mahu pun pihak luar dan secara kebetulan pula ia bertepatan dengan moto yang cuba diangkat di dalam festival tersebut iaitu, “Love as the basis of human life and a path of harmonisation of cultures”.

“Kehidupan kaum Bajau Laut atau Sea Gypsie itu kami rakamkan sendiri di kawasan yang mereka diami iaitu Pulau Semporna sewaktu menghasilkan dokumentari filemMadness Of Borne .

"Secara tidak langsung, pihak luar dapat melihat sendiri keindahan Pulau Semporna menerusi sinematografi yang dipaparkan dengan cukup cantik di dalam filem pendek ini,” katanya. 

Pagari Bulan tentang kehidupan kaum Bajau Laut.
Sementara itu, pengarah filem pendek tersebut Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin tidak menyangka Pagari Bulan mendapat perhatian di festival luar.
“Sebetulnya Pagari Bulan dicetuskan untuk mewakili UUM untuk bertanding di dalamAsia Youth International Film Festival yang akan berlangsung pada 5 hingga 7 Oktober depan di Sintok, Kedah.

“Sebagai salah seorang pelajar yang mengikuti pengajian ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di UUM, saya dan beberapa rakan lain termasuklah Pekin Ibrahim berasakan kami perlu menghasilkan sebuah karya filem pendek yang mampu membuka mata pihak luar terhadap kemampuan kita.

“Pada masa yang sama ia juga diharap mampu menyuntik semangat serta daya saingan di kalangan pelajar-pelajar muda UUM lain terutama yang mengikuti jurusan filem atau industri kreatif sendiri untuk sama-sama menghasilkan karya filem yang baik,” katanya.

Filem pendek itu diterbitkan menerusi syarikat Centro Pictures dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pagari Bulan turut bersaing dengan 14 filem pendek daripada pelbagai negara termasuk China, Greece, Rusia Perancis, Israel dan Kazakhstan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: