KEHIDUPAN seorang remaja berusia 13 tahun yang menghidap penyakit pelik di mana lehernya seakan-akan patah akhirnya berubah.
Leher Mahendra Ahirwar begitu lemah sehingga kepalanya menjadi senget 180 darjah dan menyebabkan dia terpaksa bergantung kepada orang lain untuk melakukan tugas harian.
Kisahnya yang mendapat perhatian seluruh dunia termasuklah Julia Jones dari Liverpool yang membantu mengumpul dana £12,000 untuk melakukan pembedahan dan pembedahan tersebut berjaya.
Bapanya Mukesh memberitahu MailOnline, ia adalah satu keajaiban apabila lehernya kembali lurus dan hidupnya kini berbeza.
"Dia kini berada dalam keadaan baik. Adalah sesuatu yang menyedihkan melihat keadaan dia sebelum ini. Malah kami berasa seperti akan kehilangannya.
"Sebelum ini dia malu untuk bercakap dengan orang ramai kerana keadaanya, tapi sekarang keyakinannya semakin meningkat. Dia sangat gembira," ujar Mukesh.
Sementara ibunya, Sumitra, 36, berkata, dia tidak sangup lagi melihat anaknya itu menderita
"Melihat hidupnya dahulu adalah sesuatu menyedihkan, dia tidak mampu melakukan apa-apa sendiri, duduk dalam bilik bersendirian sepanjang hari," ujarnya
Pembedahan yang dijalaninya berjaya dan kini kehidupan Mahendra berubah malah dia kini sudah bersekolah bersama adik beradiknya yang lain Surendra,11, dan Manisha, 14 tahun.
Julia, 35, individu yang bertanggungjawab membantunya berkata, dia membaca artikel mengenai Mahendra tahun lalu dan berasa sangat sedih.
"Keluarga diberikan kerusi roda, pendakap leher serta segala yang perlu untuk membantunya," katanya yang merupakan penyelaras di Fazakerley High School di Liverpool.