MARANG – Keadaan tenang sebuah keluarga sedang berehat di halaman rumah bertukar menjadi kecoh dengan kehadiran seekor ular tedung selar yang dilihat cuba memasuki rumah melalui tingkap bilik di Gelegoh di sini, malam tadi.
Salah seorang ahli keluarga terbabit, Rohaya Mohd Nor, 31, yang ditemui berkata, kehadiran reptilia mampu membunuh itu hanya disedari ibu saudaranya ketika mahu menutup tingkap di dalam bilik tidur berkenaan kira-kira jam 7.00 malam.
“Terkejut dengan keadaan itu, ibu saudara saya terus berlari keluar dari bilik tidurnya untuk memaklumkan mengenai perkara itu kepada suaminya (bapa saudara) yang ketika itu masih berada di luar rumah,” katanya kepada Sinar Harian.
Rohaya berkata, bapa saudaranya itu kemudiannya segera membuat pemeriksaan dari bahagian luar rumah dan mendapati ular tedung selar itu sedang melingkar di tingkap dan kepalanya sudah memasuki bilik tidur rumah tersebut.
“Sebelum ini, belum ada lagi insiden seperti ini berlaku dan kejadian ini amat mengejutkan kami. Saya segera menghubungi pejabat APM Marang kerana bimbang keselamatan keluarga bapa saudara saya terancam,” katanya.
Rohaya berkata, keluarganya dan keluarga bapa saudaranya itu tinggal berjiran malah turut berjiran dengan adik beradik lain di tiga rumah di kawasan berkenaan dan mereka sering duduk berehat sambil berbual bersama di halaman rumah.
“Pada masa kejadian kami lewat masuk ke rumah dan masih berada di luar rumah. Mujurlah mak saudara saya perasan kehadiran ular itu di rumahnya. Jika ular sudah berjaya masuk ke dalam bilik ketika itu, saya tidak tahu apa nasib keluarganya,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marang, Mohd Zabri Abd Razak berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan bergegas ke lokasi dan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap ular berkenaan.
“Tiga anggota bertugas berjaya menangkap tedung selar itu dan memasukkannya ke dalam karung guni sebelum dibawa ke Pejabat APM Marang untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ular tedung selar itu dianggarkan sepanjang lebih kurang tiga meter manakala beratnya pula dianggarkan melebihi 10 kilogram.