Tuesday, October 11, 2016

Kampung Tok Ajam Bakal Jadi Pengeluar Udang Galah, Ikan Air Tawar




Gambar Hiasan
PASIR PUTEH: Jabatan Perikanan Kelantan melepaskan kira-kira 73,000 ekor anak ikan dan udang galah di sungai Kampung Tok Ajam, Jelor di sini, sebagai usaha menjadikan kampung itu pengeluar ikan dan udang galah.
Pengarahnya Mohd Zin Saad berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 60,000 ekor adalah anak udang galah, 10,000 ekor anak ikan lampam dan 3,000 ekor anak ikan baung.
"Ikan baung dan ikan lampam dipilih bagi memberi peluang kepada penduduk menghasilkan ikan pekasam manakala udang galah sebagai pendapatan sampingan harian mereka," katanya kepada pemberita di kampung berkenaan di sini, Selasa.
Mohd Zin berkata projek tersebut akan memberi faedah kepada lebih 70 nelayan air tawar di kawasan berkenaan.
Beliau berkata setakat ini, penduduk di kawasan itu meraih tangkapan sebanyak 4,625 kilogram bernilai kira-kira RM115,000 terutama udang galah dan ikan berkenaan, dalam tempoh sebulan dari sungai sepanjang lima kilometer itu.
Katanya ikan lampam dan ikan baung dijadikan ikan pekasam yang dipasarkan di Pasir Puteh, Tanah Merah dan Machang.
Sementara itu, Pengerusi Pasukan Sukarelawan Perikanan (Super) Kampung Tok Ajam, Mat Daud Mamat, 52, berkata Jabatan Perikanan Kelantan banyak membantu anggotanya termasuk pemberian bot, pukat, pejabat operasi dan kaedah pemprosesan ikan pekasam.
"Sebanyak 18 anggotanya menerima elaun nelayan darat sebanyak RM200 sebulan," katanya.
Beliau berkata pihaknya bercadang meningkatkan pengeluaran ikan pekasam untuk pasaran di seluruh negeri ini. 

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: