KEPALA BATAS - Diarak menaiki kereta antik sambil diiringi puluhan motosikal berkuasa tinggi antara detik indah yang mengisi majlis perpisahan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muda, Mohd Noor Yusof, semalam.
Penyelaras program, Yusof Ahmad berkata, majlis bertemakan Kesultanan Melayu Melaka itu dimulakan dengan perarakan dari dewan besar diiringi paluan kompang dan gendang.
Menurutnya, pengetua kemudian diusung pelajar lelaki menggunakan tandu ke kereta antik, sebelum diarak mengelilingi pekan Penaga hampir sejam dengan diiringi lebih 20 motosikal berkuasa tinggi dari kelab Northern Versys Owners Group and Friends (NVOG).
“Ini merupakan kombinasi terbaik apabila menampilkan elemen lama dan baru, tambah meriah apabila guru turut berpakaian bak hulubalang.
“Majlis ini diadakan hasil perbincangan antara guru, PIBG dan alumni sekolah, yang sepakat untuk membuat kejutan memandangkan banyak jasa Mohd Noor kepada sekolah ini. Alhamdulillah, majlis diadakan dengan jayanya, sekali gus meninggalkan memori indah kepada semua yang terlibat,” katanya.
Menurut Yusof, Mohd Nor mula berkhidmat sebagai pengetua di sekolah itu sejak lima tahun lalu.
Katanya, sepanjang perkhidmatan, beliau amat disenangi guru, kakitangan am dan juga pelajar.
“Beliau disifatkan sebagai ayah dan pemimpin yang tegas, tapi ketegasan itu disulami dengan kelembutan dan penuh mendidik,” katanya.