KUANTAN - Walaupun pada mulanya berat hati terpaksa mengeluarkan wang simpanan anaknya sebanyak RM2,500 sebagai modal permulaan, namun Ariff Fikhri Abd Rashid, 30, kini boleh tersenyum gembira apabila bergelar pembekal utama pau cendawan viral Putrajaya di pantai timur.
Menceritakan kisahnya, bekas pekerja industri minyak dan gas itu berkata, dia memulakan perniagaan berkenaan pada 17 Ogos lalu setelah menganggur selama beberapa bulan.
"Saya jadi buntu selepas berhenti kerja. Sejak pau cendawan jadi viral di Putrajaya, saya nekad cuba buat sesuatu yang baru dengan ajakan seorang kawan.
“Saya gunakan RM2,000 duit simpanan anak untuk beli pau dan RM500 lagi beli pengukus. Saya langsung tak ada ilmu masak pau ni, hanya pandai makan saja. Tapi saya tak putus asa buat beberapa percubaan ketika mengukus dan akhirnya menjadi.
“Hari pertama saya sediakan 500 biji pau untuk dijual di Tanah Putih Baru, habis licin. Itupun saya hadkan pembelian sebanyak tiga biji seorang," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kini selepas beberapa bulan, dia dan isterinya, Nurul Huda Hidayah, 31, berjaya membuka tiga lagi gerai di Batu 6, Bukit Rangin dan terbaru di Pekan.
"Alhamdulillah, bermula dengan 500 biji sehari, sekarang kami boleh jual 5,000 biji sehari.
“Saya dapatkan pau ini daripada pembekal di Puchong Perdana. Setiap tiga hari sekali saya ke sana dapatkan dalam skala lebih besar. Syukur saya buat keputusan tepat selepas beberapa bulan menganggur," katanya penuh ceria.
Ariff Fikhri berkata, pau cendawan itu dijual dengan harga RM3.80 sebiji berintikan cendawan, keju, sup cendawan, isi ayam serta bertoppingkan coklat.
Tambahnya, pada peringkat awal dia juga bimbang tidak ada pembeli kerana bimbang pelanggan keliru dengan rupa paras pau seperti cendawan.
“Memang pada mulanya pelanggan takut dan berat nak makan kerana rupanya. Tapi bila dah cuba, mereka kata pau ini gebu dan intinya sangat sedap,” katanya yang turut menjual pau putih dengan tujuh perisa iaitu kacang merah, kelapa, kaya, coklat, ayam, daging dan durian dengan harga RM2.50 sebiji.
Dalam pada itu, Ariff Fikhri berkata, perniagaannya kini lebih mencabar apabila lebih ramai pihak menghasilkan pau yang sama.
"Tapi saya yakin dengan keistimewaan pau kami kerana intinya berbeza selain lebih lembut.
“Ini adalah antara cabaran perlu saya hadapi. Namun saya lega kerana pau ini telah dipatenkan oleh pemiliknya," katanya
.