TAIPING - Sebuah kandang kambing gurun yang dijangka siap bulan depan di Zoo Taiping & Night Safari akan dijadikan pusat pembiakan baka kambing gurun.
Pengarah zoo, Dr Kelvin Lazarus berkata, pihaknya telah membina enam bilik dengan ketinggian kira-kira 10 meter yang amat sesuai untuk dijadikan pusat pemeliharaan dan pembiakan kambing gurun.
Beliau berkata, kandang kambing gurun itu merupakan antara 12 kandang haiwan lain yang telah siap dibina membabitkan peruntukan RM3.8 juta daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam memajukan industri pelancongan di bandar Taiping.
Spesis kambing gurun dilihat semakin pupus dan usaha pembiakan bakanya perlu dijalankan bagi membolehkan ia dilindungi, katanya.
Beliau berkata pihaknya juga kini sedang bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi menempatkan spesies kambing gurun yang hampir pupus itu.
"Kita dengan Perhilitan telah mengenal pasti satu kawasan hutan di ibu kota yang mempunyai spesis kambing tersebut.
"Kita telah memasang perangkap sejak sebulan lalu untuk menangkap kambing berkenaan kerana kawasan habitatnya itu sedang dalam pembangunan," katanya kepada Bernama.