PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mencatat satu lagi kejayaan apabila tempahan untuk kereta sedan kompak pertama syarikat itu, Perodua Bezza telah mencecah 19,000 unit.
Dalam satu kenyataan, Perodua berkata,  6,000 unit Bezza juga telah berada dalam proses penghantaran.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh berkata, sehingga Jumaat lalu, sebanyak 5,000 unit telah dihantar sejak pelancaran pada 21 Julai lalu dan menjangkakan untuk menghantar 1,000 unit lagi pada hari yang sama.
"Kami sangat berterima kasih dengan sokongan pengguna yang memilih kami sebagai jenama automotif pilihan.
"Kami kini sedang memberi tumpuan kepada usaha untuk menepati semua penghantaran," katanya.
Purata penghantaran merangkumi 42 peratus Perodua Bezza 1.3L edisi Advance, 43 peratus Perodua Bezza 1.3L Premium X dan 15 peratus untuk varian Perodua Bezza 1.0L.
Perodua melaburkan RM300 juta untuk membangunkan Bezza sejak 2014 dengan kerjasama Daihats Jepun menggunakan 95 peratus peralatan tempatan.
Harga Perodua Bezza bermula RM37,300 untuk 1.0L standard G (transmisi manual) sehingga RM50,800 bagi varian Advanced 1.3L (automotik).