RIYADH  - ARAB SAUDI . Pindaan baharu telah diperkenalkan untuk bayaran visa di Arab Saudi selepas ia diumumkan Kabinet negara itu, kelmarin.
Struktur bayaran baharu itu termasuk visa sekali masuk yang menelan kos SAR2,000 (RM2,150) dikenakan ke atas kesemua pelancong kecuali jemaah kali pertama.
Selain itu, bayaran visa pelbagai kemasukan bagi tempoh enam bulan pula berjumlah SAR3,000 (RM3,326) manakala untuk tempoh setahun adalah SAR5,000 (RM5,377) dan SAR8,000 (RM8,603) untuk tempoh dua tahun.
Menurut jurucakap Kabinet, perubahan itu bagaimanapun tidak akan memberi sebarang kesan ke atas perjanjian dua hala yang telah ditandatangani oleh Riyadh bersama negara lain.
Difahamkan, beberapa pindaan lain turut diumumkan oleh kerajaan termasuk semakan semula denda dan bayaran baharu saman bagi individu yang melanggar peraturan lalu lintas di Saudi.