MESKIPUN tidak lagi sibuk dengan program rancangan realiti, Akademi Fantasia (AF), bekas guru vokal AF, Siti Hajar Ismail mengakui kini menemui cinta baharu bagi mengisi ruang dalam hidupnya.
Mengenali Rumah Ngaji sejak awal 2016, Siti Hajar berkata, banyak masanya kini dihabiskan untuk menyertai program Rumah Ngaji yang digerakkan oleh  Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI).
Bertindak sebagai Panel Penasihat Rumah Ngaji, Siti Hajar, 47, berkata, Rumah Ngaji lebih mendekatkan dirinya kepada ALLAH,selain dapat membantu peserta Rumah Ngaji memperkukuh bacaan al-Quran.
“Saya bersama dengan Rumah Ngaji sejak beberapa bulan yang lalu. Walaupun saya masih mempunyai komitmen dalam kelas vokal melibatkan bidang nyanyian, namun kini saya lebih banyak mengisi masa dengan kelas-kelas vokal melibatkan bacaan al-Quran.
“Sudah cukup (penglibatan saya) bersama AF. AF bagi saya sudah bertapak terlalu lama dan saya sudah terlibat dengan program tersebut selama tujuh atau lapan tahun,” katanya ketika ditemui Sinar Online, di sini, hari ini.

Bersama Rumah Ngaji, Siti Hajar mengakui pengajaran dan pembelajaran yang dipraktikkan dalam setiap kelas Rumah Ngaji berguna untuk dirinya serta orang lain.
“Kehendak bekerja saya lebih kepada keberkesanan terhadap apa yang saya sampaikan. Dalam bidang nyanyian, kadang-kala susah bagi saya untuk nampak keberkesanan ilmu yang saya sampaikan kepada mereka.
"Kadang-kala pelajar faham apa yang telah saya ajarkan, tetapi pihak lain pula seperti juri dan sebagainya  ajar perkara lain yang bertentangan dengan ajaran saya. Pelajar jadi keliru.
“Sebab itu saya lebih suka dengan Rumah Ngaji. Kerana mengaji ni kita kena ada disiplin. Nyanyi pun kena ada disiplin, tetapi membaca al-Quran kena dengan hukum.
"Bermakna bila kita baca al-Quran, kita bersama hukumnya,” katanya lagi.