Wednesday, August 3, 2016

Raysha Rizrose Tak Terkilan Belum Dikenali Sebagai Pelakon



Raysha Rizrose tidak terkilan namanya masih belum menyerlah sebagai pelakon.
PETALING JAYA: Pelakon baharu Raysha Rizrose tidak berasa terkilan apabila namanya masih belum menyerlah berbanding rakan-rakannya yang menyertai pertandingan Dewi Remaja pada tahun lalu.
Raysha, 18, sebaliknya berkata, situasi berkenaan memberinya peluang untuk belajar daripada bawah dan membuktikan diri bahawa kemunculannya dalam industri seni bukan sekadar tempelan.
"Tiada sebab kenapa saya perlu terkilan kerana ini semua berbalik kepada soal rezeki masing-masing.
"Fasa ini juga saya ambil untuk mempersiapkan diri dan belajar daripada bawah kerana saya masih baharu sebagai pelakon.
"Banyak perkara yang perlu saya perbaiki lagi namun Alhamdulillah karier saya berada dilandasan yang baik," katanya.

Raysha muncul dengan filem pertamanya berjudul Dukun Doktor Dani yang menggandingkannya dengan barisan pelakon hebat seperti Fasha Sandha, Sabri Yunus, Taufik Batisah dan Amirul Affendi.
Raysha dan Fasha Sandha.
Ia sedang ditayangkan di pawagam sejak 28 Julai lalu.

Dalam pada itu, Raysha berkata, dia tidak kisah apabila kehadirannya dalam industri seni sering dibayangi oleh dua kakaknya iaitu Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose.

Kata Raysha, dia tidak dapat mengubah kaitan di antara diri mereka namun mengakui perlu bekerja keras untuk membuktikan kredibilitinya tanpa diperbandingkan dengan kakaknya itu.

"Pada saya dibayangi oleh kakak-kakak saya bukan satu masalah kerana saya tidak boleh ubah hakikat bahawa mereka adalah ahli keluarga saya.

"Macam mana pun orang tetap akan kaitkan saya dengan mereka tetapi apa yang pasti saya perlu berusaha atas kaki sendiri untuk berjaya kerana ikatan kekeluargaan yang ada tidak menjamin kedudukan saya selesa," ujarnya.

Sementara itu, Raysha berkata, dia bertuah kerana diberi kepercayaan oleh pengarahDukun Doktor Dani iaitu Sabri Yunus apabila menawarkannya berlakon dalam filem berkenaan.

Kata Raysha, bukan semua artis baharu dapat bekerjasama dengan pengarah berkaliber itu dan banyak belajar daripada pelakon dan pengarah berpengalaman itu.

"Saya dapat tawaran berlakon naskah ini ketika saya sedang bertanding dalam Dewi Remaja lagi dan perasaan gemuruh dan teruja itu tidak dapat saya gambarkan.

"Bukan sahaja ia filem pertama saya tetapi akan berada dibawah arahan Sabri yang kita tahu cukup berpengalaman.

"Alhamdulillah banyak selok-belok tentang lakonan yang saya pelajari daripadanya terutamanya dari segi pemahanan dialog dan kepentingan menghafalnya," jelasnya.

Malah kata Raysha, dia bakal muncul dalam sebuah lagi karya Sabri yang berjudul Pok Dogo selain baharu sahaja selesai menjalani penggambaran filem keduanya iaitu Mulukbersama Saiful Apek.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: