JOHOR BAHRU - Kumpulan Slam yakin masih mempunyai peminat setia untuk menyokong Konsert Dua Dekad Slam Kembali Terjalin Bersama DMS yang akan diadakan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) pada 3 September depan.
Vokalisnya, Zamani Ibrahim berkata, sebanyak 24 lagu hit Slam akan dipersembahkan dan diberikan susunan muzik yang baharu antaranya Rindiani, Suratan dan Memori Cinta Semalam.
Menurutnya, konsert yang bermula pada jam 8.30 malam hingga 12.30 tengah malam itu merupakan tanda penghargaan kepada peminat Slam yang sentiasa menyokong perjalanan seni kumpulan berkenaan.
“Kami sedang menjalani latihan yang telah masuk minggu kedua kerana kami mahu sajikan persembahan terbaik buat peminat yang tetap setia menyokong kami dari awal penubuhan sekitar 1996 sehingga kini,” katanya pada sidang media di Hotel Grand Paragon, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengasas DMS 360, Datuk Seri Dr Mohamad Ruslan Shah yang merupakan penaja utama Konsert Dua Dekad Slam Kembali Terjalin Bersama DMS.
Sementara itu, Mohamad Ruslan berkata, beliau menyasarkan warga Johor dan Singapura daripada 4,000 penonton yang akan hadir.
Katanya, laporan diterima daripada pihak pemasaran Mewah Event Management yang dilantik sangat positif apabila sebanyak 68 peratus tiket dari harga RM73 sehingga RM353 telah berjaya dijual.
“Dalam tempoh tak sampai sebulan sahaja lagi ini kita harapkan jualannya akan sukses,” katanya.