AJIL - Kesabaran menyimpan duit upah menoreh getah dan hasil jualan kelapa sawit selama 14 tahun, ternyata berbaloi buat seorang moyang 10 cicit dari Kampung Baru Ajil apabila hasratnya untuk menunaikan ibadah haji bakal menjadi kenyataan tahun ini.
Tambah menggembirakan Ismail Ali, 73, apabila impian disimpan sejak puluhan tahun lalu untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu akan direalisasikan bersama isteri tercinta, Botok Isa, 73 dan dijadualkan berangkat pada 20 Ogos depan.
Ismail berkata, dia tidak dapat menggambarkan kegembiraannya ketika menerima surat tawaran mengerjakan haji daripada Tabung Haji (TH), sekali gus berasa penat lelahnya membanting tulang mencari rezeki berbaloi.
“Niat untuk tunaikan haji sudah lama, cuma lebih kurang 14 tahun lalu baru pakcik buka akaun TH. Sejak itu pakcik akan cuba simpan setiap bulan, walaupun upah menoreh sekitar RM300 sebulan. Sebelum ke kebun getah selepas solat Subuh, pakcik sentiasa berdoa mudah-mudahan duit upah menoreh dapat disimpan agar ada rezeki ke sana (Makkah), biarpun pakcik sendiri tidak tahu bila akan sampai masa itu.
“Selain upah menoreh, pakcik buat pelbagai kerja kampung dan turut usahakan tanaman kelapa sawit kira-kira 2.4 hektar sejak lebih kurang 10 tahun lalu. Hasil jualan kelapa sawit, barulah pakcik dapat simpan lebih sikit. Tidak dinafikan adakala terlalu banyak kehendak, tetapi semua itu dilupakan demi untuk ke Tanah Suci. Alhamdulillah, duit simpanan pakcik dan isteri telah cukup dan tahun ini kami terpilih menjadi tetamu-NYA,” katanya.
Kegembiraan dirasakan Ismail yang mempunyai lima anak dan 17 cucu itu dikongsi ketika Majlis Meraikan Bakal Haji Dun Ajil oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas negeri merangkap Adun Ajil, Ghazali Taib, semalam.
Ghazali yang ditemani isteri, Bibi Nazima Mohamed Akbal turut menyampaikan sumbangan keperluan persiapan menunaikan haji seperti sejadah, telekung, pakaian ihram serta sejumlah wang tunai kepada seramai 27 bakal jemaah haji.
Bagi Botok yang merupakan suri rumah sepenuh masa, sebagai persediaan ke Makkah, dia dan suami bukan sahaja menghadiri kursus, tetapi turut mengulang kaji di rumah bagi mendalamkan lagi pengetahuan.
“Walaupun gembira, tapi ada juga rasa berdebar untuk ke sana. Lagipun ini pengalaman pertama makcik dan suami menunaikan ibadah haji. Mudah-mudahan segala urusan semua jemaah dipermudahkan ALLAH SWT,” katanya.
Sementara itu, Ghazali mengharapkan semua bakal jemaah haji bukan sahaja bersedia dari segi mental, tetapi juga fizikal kerana ibadah haji menuntut kedua-dua elemen tersebut, apatah lagi jumlah jemaah yang berada di Tanah Suci meningkat berbanding umrah.
“Pasti keadaan cukup berbeza, begitu juga suhu di sana berbanding di sini. Jadi, persediaan mental dan fizikal penting supaya jemaah tidak tertekan bagi membolehkan mereka melaksanakan ibadah dengan sebaik mungkin,” katanya.