BARU sahaja mendirikan rumah tangga, penyanyi dan pelakon, Nadia Haswani Hasnan mengakui rindu terhadap keluarganya terutama ibu, Jamaayah Sulong dan adiknya, Dianah Syazwani Hasnan.
Tambahan pula, selebriti berusia 26 tahun ini tidak pernah berenggang dengan keluarganya itu, sejak kecil.
"Hubungan kami satu keluarga sangat rapat. Lagipun, saya tidak pernah berpisah dengan keluarga sedari kecil lagi.
"Sebelum ini, saya menetap bersama ibu dan adik di Setiawangsa. Namun, selepas berkahwin, saya mengikut suami berpindah ke rumah sendiri di Sri Gombak.
"Tapi, jika ada masa, saya tetap meluangkan masa melawat dan bertanya khabar mereka," katanya kepada Zass.
Nadia sah bergelar isteri kepada pengurus pusat kecergasan, Mohammad Hafiz Mohd Hamdan, kira-kira jam 11.15 pagi pada 16 Julai lalu.
Majlis pernikahan dan persandingan yang bertemakan Country Sunflower oleh Elynnz Collection itu diadakan secara serentak di The Grand Campbell Hotel, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Pada masa sama, Mohammad Hafiz turut menyerahkan mas kahwin bernilai RM5,000 berserta wang hantaran RM20,000 selain berbalas lima dulang hantaran.
Nadia yang juga penyampai radio EraFM melahirkan rasa syukur kerana hubungan cinta yang terbina selama lapan tahun akhirnya disatukan dengan ikatan sah.
"Alhamdulillah, sifatnya yang kelakar dan bertanggungjawab telah memikat hati saya.
"Malah, selepas berkahwin, dia memperlihatkan sifat seorang suami yang sebelum ini tidak pernah ditunjukkan sepanjang kami bercinta.
"Ia benar-benar mengejutkan saya tetapi saya sangat menyukainya," katanya sambil tersenyum.
Teruja hias rumah baharu
Pada masa sama, Nadia cukup teruja apabila mengikut suaminya berpindah ke rumah sendiri di Sri Gombak.
"Sekarang ini, saya dan suami teruja menghias dan ‘memenuhkan’ rumah baharu dengan kabinet dan perabot.
"Kerana itu, saya pun hanya sempat masak yang ringkas-ringkas sahaja terutamanya untuk sarapan,” katanya.
Bahkan, dek kesibukan dalam merencana rumah baharunya itu, bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu mengakui tidak berkesempatan untuk berbulan madu.
"Selepas berpindah rumah, fokus kami hanya untuk mendekorasi rumah tersebut.
"Kami langsung tidak terfikir akan perkara (berbulan madu) itu. Lagipun, kami pun sudah mula bekerja.
"Insya-ALLAH, jika berkelapangan, kami akan pergi juga, tapi mungkin di dalam negara sahaja," katanya yang mahu bercuti ke Armsterdam.
Rancang soal anak
Dalam pada itu, setiap pasangan yang telah berkahwin, pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai penambah seri keluarga.
Bagi Nadia dan Mohammad Hanif, kedua-duanya mengakui merancang dalam soal anak, namun sentiasa menerima dengan hati yang terbuka jika dikurniakan zuriat dalam waktu yang terdekat.
"Sememangnya, kami merancang untuk tidak mempunyai anak dalam tempoh setahun ini.
"Lagipun, saya masih belum puas memegang peranan sebagai isteri, jadi biarlah satu-satu dahulu.
"Namun, rezeki di tangan Tuhan. Kalau ditakdirkan ALLAH SWT memberi kami anak cepat, kami terimanya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nadia kini sibuk menjalani penggambaran sebuah travelog, 3 Ke 5 Jer dan telefilem, Kembali Pada Fitrah terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Insya-ALLAH, saya akan terus aktif dalam bidang seni kerana tiada halangan daripada suami," katanya.