PETALING JAYA: Suami penyanyi Adira Suhaimi, Datuk Seri Adnan Abu mengesahkan isterinya kini sedang hamil tujuh minggu selepas membuat pemeriksaan doktor pada minggu lalu.
Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, 38, berkata, setakat ini penyanyi lagu Ombak Rindu itu tidak mengalami alahan yang teruk seperti kebiasaan wanita hamil.
"Alhamdulillah, doktor sudah sahkan dia hamil tujuh minggu selepas kami buat pemeriksaan di klinik minggu lepas."Dia tidak mengalami sebarang alahan yang teruk cuma peliknya setiap hari dia mahu makan kari mamak, walhal sebelum ini dia tidak suka," ujarnya.
Adnan juga berharap dikurniakan cahaya mata lelaki dengan isteri keduanya ini.
Adnan berkongsi imbasan kandungan isterinya Adira di laman sosial.
Adira berkahwin dengan ahli perniagaan itu sebagai isteri kedua di Songkhla, Thailand yang berlangsung pada 3 Disember 2015.
Sementara itu, Adnan berkata dia kini dalam perancangan untuk membawa isteri keduanya itu bercuti ke Eropah dalam masa terdekat.
"Saya memang sudah lama merancang untuk bawa dia bercuti tapi masih cari masa yang sesuai lagi. Adira suka pantai dan laut dan saya pula tidak suka.
"Insya-Allah, kalau dimurahkan rezeki saya ingin bawa dia bercuti ke Eropah," ujarnya.
Selain itu, tambah Adnan, dia juga meminta penyanyi itu untuk memerlahankan kerjaya seni sepanjang tempoh hamil.
"Saya suruh dia kurangkan kerja seninya, kesian dia bergerak sendiri kerana saya sekarang sedang sibuk tidak sempat untuk teman dia kerja," ujarnya.
Terdahulu, pada 22 Julai lalu gempar apabila video Adnan bersama seorang pelakon baharu iaitu Ruhainies keluar bersama tersebar.
Lelaki tersebut jujur memberitahu sedang mendekati pelakon baharu tersebut dan bersedia untuk berkahwin kali ketiga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: