Tuesday, March 22, 2016

Revolusi dron jadi kegilaan




Revolusi dron jadi kegilaan
Peminat dron terdiri daripada pelbagai peringkat umur, latar belakang serta profesion.
DUNGUN - Jika dahulu dron hanya digunakan pasukan tentera untuk operasi pemantauan, pengintipan dan melakukan serangan bagi mengelak kematian juruterbang, kini ia mampu dimiliki sesiapa sahaja.
Malah ia bukan sekadar alat permainan atau hobi kerana pemiliknya boleh membina kerjaya baharu atau menjadikannya sebagai punca pendapatan.
Fenomena dron semakin hangat sehingga tertubuhnya banyak kelab atau komuniti, tidak terkecuali di Terengganu.
TRG Drones Community ditubuhkan setahun lalu dan ahlinya terdiri daripada pelbagai latar belakang dan profesion.
Penaungnya, Mohd Hanafi Mohd Junaidi berkata, namun begitu ia tidak menjadi penghalang untuk mereka sama-sama mencari kepuasan menerusi alatan canggih itu.
Menurutnya, setakat ini, terdapat kira-kira 128 ahli berdaftar di bawah komuniti itu dari seluruh Terengganu.
“Kerana minat sama kami bernaung bawah satu komuniti sambil bertukar-tukar ilmu serta pengalaman. Bila bersama, baru kita tahu kemampuan sebenar alat ini.
“Pemilik dron mempunyai dua cabang iaitu lebih kepada aksi dan satu lagi menumpukan keupayaan dron bagi menghasilkan gambar serta video berkualiti,” katanya ketika pertemuan melibatkan ahli TRG Drones Community.
Katanya, pengendali dron harus mengetahui peraturan dan aspek penting ketika mengendalikan alat itu.
“Walaupun minat dan boleh mengemudi dron dengan bebas, kami perlu tahu aspek keselamatan termasuk di mana lokasi larangan untuk menerbangkan alat itu.
“Contohnya lapangan terbang adalah kawasan larangan, kami kena lihat persekitaran di udara termasuk tiada gangguan bangunan, menara selain faktor cuaca,” katanya.
Dron cabang kerjaya baharu
Mohd Hanafi berkata, sebahagian pemilik dron melihat ke arah bagaimana ia boleh mendatangkan hasil sampingan.
“Ada yang menjadikan dron sebagai sumber rezeki dan ruang untuk ekspresi bakat, sekali gus memberi khidmat terbaik kepada pelanggan.
“Ahli TRG Drones Community ada yang pakar dan profesional untuk membuat video atau menghasilkan gambar menarik. Khidmat mereka digunakan bagi video perkahwinan, video korporat, filem pengembaraan, perlawanan bola dan pelbagai lagi.
“Ia membuktikan alat ini boleh dijadikan satu cabang kerjaya baharu,” katanya.
Katanya, dari segi harga, dron boleh diperoleh bermula harga serendah RM120 dan boleh mencecah sehingga lebih RM36,000.
"Kalau sekadar untuk bermain, yang murah sudah memadai dan boleh didapati di kedai mainan biasa. Jika untuk mainan dan hobi, model yang biasa digunakan ialah Syma, Wltoys dan DJI Phantom.
"Yang lebih canggih dibeli atas talian serta syarikat diiktiraf. Untuk golongan profesional, mereka akan menggunakan dron yang harganya boleh mencecah lebih RM36,000. Selalunya model digunakan ialah DJI Inspires,” katanya.
Bukan permainan orang kaya
Dia berkata, selain berkongsi minat dan informasi terkini, TRG Droners Community turut menawarkan khidmat jual beli kepada ahli atau orang luar.
“Di media sosial Facebook, kami ada laman sendiri dengan nama sama, TRG Droners Community. Sesiapa sahaja boleh menyertai kami.
“Ada yang kerja guru, pegawai multimedia, bekerja sendiri kakitangan kerajaan dan swasta, tetapi dron telah menjadi penyatu kami.
“Kepada yang berminat, kami mempunyai ahli profesional yang boleh memberi tunjuk ajar mengenai dron," katanya.
Tambahnya, tanggapan segelintir pihak yang menganggap dron permainan untuk golongan berada adalah tidak benar kerana ia boleh didapati dengan harga mampu milik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: