Wednesday, March 2, 2016

Haiza Sedia Hadapi 'Badi' Penyanyi Jadi Deejay




Haiza kini bergelar penyampai radio di stesen radio terbaharu iaitu Kool FM. 
KUALA LUMPUR: Penyanyi Haiza sudah bersedia untuk menghadapi 'badi' lagu nyanyiannya tidak akan diputarkan di radio apabila dia memilih untuk bergelar deejay stesen radio baharu iaitu Kool FM.
Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 36, berkata, dia tidak melihat isu berkenaan sebagai halangan kerana sebelum bergelar penyampai radio lagu-lagu nyanyiannya memang jarang berkumandang di radio.
"Jujurnya kalau saya tidak bergelar seorang penyampai radio pun lagu saya memang jarang diputarkan, sekiranya ada pun lagu lama selain kebanyakkan stesen radio tidak memutarkan lagu bergenre dangdut.
"Jadi saya tidak lihat ia sebagai satu masalah kerana pada zaman teknologi hari ini, penyanyi tidak semata-mata bergantung kepada radio sebaliknya banyak menggunakan medium lain seperti Youtube dan laman sosial bagi mempromosikan lagu terbaharu," katanya kepada mStar Online.
Haiza berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran stesen radio berkenaan di sini, Selasa.
Haiza bakal bergandingan dengan AG menerusi segmen Pagi di Kool FM.
Bekas peserta program Gegar Vaganza 2 itu bakal bergandingan dengan AG menerusi segmen Pagi Di Kool FM yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 6 hingga 10 pagi.
Selain Haiza dan AG, empat lagi penyampai yang turut menyertai Kool FM adalah bekas deejay Hot FM iaitu AG, Liza dan Ikhwan manakala Farid dan Ezaq daripada Hot FM Pantai Timur selain pakar motivasi, Prof Dr. Muhaya Mohamad.

Tampil dengan tagline Temanmu, Muzikmu, Kool FM buat permulaan akan ke udara bermula 3 Mac ini menerusi frekuensi 101.3 FM di Lembah Klang manakala 90.2 FM di Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Haiza menyangkal dakwaan keputusannya meninggalkan Best FM kerana semata-mata ingin menyertai stesen di bawah Rangkaian Radio Media Prima (RRMP) itu.
Jelasnya, faktor dia terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Johor Baru adalah alasan utama dia tidak menyambung kontrak bersama stesen berkenaan yang tamat pada 1 Februari lalu.
"Selama setahun saya berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Johor Baru memandangkan saya bersiaran dari sana dan ia sebenarnya memenatkan selain terpaksa berjauhan dengan suami dan anak.
"Keputusan tidak menyambung kontrak telah saya buat pada tahun lalu lagi malah saya maklumkan kepada pihak pengurusan dan mereka pun faham situasi saya.
Barisan penyampai radio Kool FM.
"Saya memang tidak merancang langsung untuk menyertai stesen radio lain selepas Best FM kerana saya memang mahu kembali ke Kuala Lumpur kerana karier saya berpusat di sini," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai tawaran daripada Kool FM, Haiza berkata, dia dijemput untuk menghadiri uji bakat di Media Prima pada Januari lalu namun tidak diberitahu tentang butiran uji bakat berkenaan.
Malah kata Haiza, dia pada awalnya menyangka ia adalah uji bakat untuk program televisyen dan hadir sekadar untuk memenuhi undangan tersebut.
"Ketika dipanggil untuk uji bakat pihak pengurusan lama tahu mengenainya dan tiada halangan untuk saya hadir kerana ketika itu kontrak saya bersama Best FM hanya tinggal sebulan.
"Saya memang tidak tahu langsung uji bakat tersebut bertujuan untuk mencari penyampai radio kerana ia dibuat secara am.
"Hanya pada pertengahan Februari lalu baru pihak Media Prima memaklumkan saya terpilih sebagai deejay dan hanya menyatakan ia 'Projek K' kerana ketika itu informasi mengenai stesen baharu itu masih dirahsiakan," jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Haiza berkata, selain gemuruh dia juga teruja dapat bergandingan dengan AG yang disifatkan sebagai seorang yang berkaliber dan berpengalaman luas dalam bidang penyiaran radio.
Malah kata Haiza, dia juga ada meminta nasihat bekas penyampai radio Hot FM iaitu Fara Fauzana dalam memastikan kemunculannya sebagai deejay dapat diterima pendengar.
"Saya dipilih bergandingan dengan AG kerana pihak pengurusan melihat keserasian kami bersama dan saya sebagai orang baharu dalam bidang penyiaran saya bertuah kerana dapt belajar pelbagai perkara darinya sebelum kami bersiaran pada 3 Mac ini.
"Saya juga banyak bertanya dengan Fara dan saya cukup merendah diri kerana seorang figura yang hebat dalam penyiaran radio tidak lokek berkongsi ilmu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: