Wednesday, March 2, 2016

Haiza, Prof Dr. Muhaya Antara Deejay Stesen Radio Baharu 'Kool FM'




Kool FM bakal ke udara bermula 3 Mac ini menerusi frekuensi 101.3 FM di Lembah Klang manakala 90.2 FM di Pulau Pinang.
KUALA LUMPUR: Penyanyi dangdut Haiza dan pakar motivasi Prof Dr. Muhaya Mohamad antara selebriti yang diumumkan sebagai deejay stesen radio baharu Rangkaian Radio Media Prima Berhad (RRMP) iaitu Kool FM.
Selain Haiza dan Dr. Muhaya, empat lagi penyampai yang turut menyertai Kool FM adalah bekas deejay Hot FM iaitu AG, Liza dan Ikhwan manakala Farid dan Ezaq daripada Hot FM Pantai Timur.

Haiza yang juga bekas peserta program Gegar Vaganza 2 itu sebelum ini adalah penyampai radio Best FM yang berpangkalan di Johor Baru, Johor.

Ketua Pegawai Ekskutif RRMP, Seelan Paul berkata, pemilihan Haiza dibuat selepas tertarik dengan keserasian penyanyi itu bersama AG ketika diundang menghadiri sesi uji bakat pada Januari lalu.

Selain itu, pihaknya turut melihat pengalaman penyanyi lagu Dag Dig Dug itu yang pernah bertugas di konti radio sebagai kriteria lain dalam pemilihannya menyertai stesen radio baharu berkenaan.

"Selain Haiza sudah mempunyai pengalaman sebagai deejay pihak kami memilihnya kerana melihat keserasian bersama AG cukup baik.

"Tambahan pula kami mencari penyampai yang boleh mengendalikan program pagi dan Haiza paling sesuai," katanya.

AG dan Haiza bakal mengendalikan segmen Pagi Di Kool FM pada setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi.

Tampil dengan tagline Temanmu, Muzikmu, Kool FM buat permulaan akan ke udara bermula 3 Mac ini menerusi frekuensi 101.3 FM di Lembah Klang manakala 90.2 FM di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Seelan berkata, hala tuju Kool FM akan lebih memfokuskan kepada pilihan pendengar dalam pemilihan seleksi lagu dari tahun 80-an, 90-an serta lagu hit terkini.

Tambahnya, ia menyasarkan pendengar berusia 22 hingga 44 tahun dengan pengisian menarik menerusi lima segmen utama yang diperkenalkan.

"Sebelum ini stesen radio lain dibawah RRMP lebih memberi fokus kepada Gen Y namun melalui Kool FM kami yakin dapat mengeksplorasi lebih banyak idea kreatif.

"Malah kami juga telah merancang pelbagai kempen termasuk kolaborasi bersama Hot FM yang bakal memberi impak positif kepada pendengar," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: