Ashraf bersama keluarganya.
SETIAP umat Islam pasti memasang impian menjejakkan kaki ke bumi Baitullah sama ada untuk menunaikan umrah atau haji.
Namun, keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan membantutkan niat suci itu.
Jadi, demi mempermudahkan umat Islam, aktor Ashraf Muslim menyediakan pakej menunaikan umrah secara ansuran menerusi syarikatnya, Saujana Gemilang Travel & Tours Sdn Bhd.
Jelas pelakon berusia 35 tahun itu, umat Islam tidak perlu ragu-ragu dengan pakej itu.
"Selepas berbincang dengan ramai ustaz dan ulama, hukum menunaikan umrah secara berhutang adalah harus jika mampu.
"Sebenarnya, pakej ini untuk mereka yang tidak mempunyai wang, tetapi berhajat menunaikan umrah.
"Yang penting, mereka mampu bayar hutang sekembalinya ke tanah air. Itu sudah cukup," katanya kepada Zass ketika ditemui selepas majlis pelancaran teater muzikal, Randai Cindua Mato, baru-baru ini.
Katanya, pakej itu dilaksana berdasarkan konsep kewangan Islam menerusi kaedah Ijarah (perkhidmatan sewa-beli).
"Lebih lapan tahun saya timba pengalaman dalam mengendalikan jemaah umrah. Niat saya cuma beri kemudahan kepada mereka yang mahu menunaikan ibadah umrah.
"Kerap kali saya dengar ramai mahu mengerjakan umrah, tetapi alasannya adalah tidak cukup duit. Jadi, mungkin ini jalan penyelesaiannya," katanya.
Tambahnya lagi, rombongan pertama bermula pada 10 Mac ini.
Uji tahap lakonan
Dalam pada itu, berbicara soal karier seninya pula, Ashraf mengakui masih aktif berlakon meskipun sibuk menguruskan syarikat produksinya, Al-Hidayah Production yang ditubuhkan pada 2011.
Pun begitu, bintang filem Aku Masih Dara ini lebih selesa ambil pendekatan memilih watak dan skrip selain penuhi konsep patuh syariah.
"Jika watak ditawarkan tidak melanggar syariat Islam, maka saya akan terima.
"Saya terpaksa memilih kerana saya sendiri juga sudah mengalami perubahan dan ia haruslah sejajar dengan apa yang saya buat," katanya yang bakal menerbitkan drama bersiri, Gerimis Hati Asyikin untuk Ramadan nanti.
Terbaru, Ashraf terlibat pementasan teater muzikal Randai Cindua Mato yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 25, 26 dan 27 Mac ini.
Katanya, tawaran membintangi watak sebagai Raja Mudo tidak boleh dilepaskan kerana ia merupakan salah satu cara menguji keupayaannya sebagai pelakon.
"Jujurnya, teater ini sangat istimewa kerana ia adalah teater tradisional yang jarang diterbitkan secara komersial.
"Saya perlukan cabaran itu. Kalau tiada, di mana lagi saya mahu buat? Lagipun, drama epik agak sukar untuk berlakon. Jadi, ini adalah masa sesuai.
"Lagi pula, saya suka watak ini kerana sangat mencabar dan ia mengetengahkan adat-adat budaya masyarakat Minangkabau yang ramai tidak tahu," katanya.
Sebelum ini, Ashraf pernah bintangi teater tradisional, Tanah Gemilang Tanah Permata dan Patriot.
Tabah hadapi dugaan hidup
Bercakap mengenai sisi peribadinya pula, Ashraf mengakui semakin bahagia dengan dua isterinya, Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi serta tiga anaknya, Anas Ashraf, Adam Ashraf dan Sarah Ashraf yang kini berusia tiga bulan hingga dua tahun.
"Alhamdulillah. Mungkin Tuhan banyak dengar doa saya semuanya dalam keadaan yang baik-baik sahaja.
"Anak-anak juga semakin membesar dan itu bermakna cabarannya juga lagi besar.
"Saya tidak lagi hanya berfikir untuk dua atau tiga tahun ke depan sebaliknya untuk 20 tahun akan datang,” katanya.
Namun begitu, Ashraf mengakui tidak dapat lari daripada anasir luar yang kerap mencari kesalahannya lantaran berpoligami.
"Orang di luar sana selalu anggap kes poligami dan penceraian isu besar sedangkan ia kaedah atau jalan dinyatakan ALLAH," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: