Sunday, February 14, 2016

Telco perlu bertanggungjawab




Telco perlu bertanggungjawab
Nadzim (dua, kiri) dan Mohd Ali pada sidang media di ibu negara, kelmarin.
KUALA LUMPUR - Pihak syarikat telekomunikasi (telco) di negara ini perlu bertanggungjawab atas sebarang kegiatan sindiket judi dalam talian yang ditawarkan menerusi sistem perkhidmatan ‘SMS BLASTER’ yang semakin berleluasa.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sebelum ini PPIM mengemukakan desakan terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar menangani perkara tersebut, namun ia masih tidak selesai disebabkan wujud pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan khidmat itu untuk menawarkan aktiviti perjudian dalam talian.
Menurutnya, salah guna identiti pihak ketiga untuk pendaftaran nombor talian yang digunakan untuk penghantaran SMS berkenaan secara rambang ke talian mudah alih seluruh negara turut dikenal pasti.
“Perkara ini sangat berbahaya kepada generasi sekarang kerana dulu bila orang main judi, kita boleh nampak. Sekarang sesiapa saja termasuk anak-anak kita boleh main senyap- senyap sebab semua ada telefon bimbit.
“Ia sudah menular kerana mereka juga tawarkan kredit, malah ada yang hantar wang yang dimenangi hasil main judi ini secara peribadi.
“Semua ini berpunca daripada sindiket yang menghantar tawaran ini ke nombor telefon mudah alih tanpa sebarang sekatan,” katanya pada sidang media, kelmarin.
Nadzim berkata, kerajaan perlu mengkaji semula jumlah denda bagi mereka yang terlibat agar lebih serik.
“Letak denda hingga RM100,000 bagi setiap nombor yang dikenal pasti digunakan untuk sebaran kegiatan judi dalam talian ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pemilik-Pemilik Telefon Bimbit Malaysia (Perbit), Mohd Ali Ibrahim berkata, proses pendaftaran nombor talian mudah alih perlu diperketat bagi mengelak berlaku salah guna identiti pihak ketiga.
Katanya, terdapat kes di mana pemilik identiti tidak tahu menahu yang butiran dirinya digunakan untuk pendaftaran nombor talian terlibat.
“Desakan terhadap SKMM, hanya boleh sekat nombor berkenaan. Kemudian pihak tidak bertanggungjawab ini akan beli nombor baharu dan daftar guna identiti lain pula.
“Sepatutnya pendaftaran dibuat dengan lebih ketat menggunakan sistem biometrik bagi mengelak perkara ini berlarutan,” katanya.
Satu memorandum akan dihantar kepada SKMM dalam masa terdekat agar perkara berkenaan mendapat perhatian, termasuk bagi mengatasi masalah melibatkan pihak syarikat telekomunikasi yang dilihat umpama memberi ruang kegiatan itu berleluasa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: